Followers

Monday, March 8, 2010

ILIM Peneraju Latihan Islam

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Monday, March 08, 2010

PEMBANGUNAN negara bukan sahaja memerlukan kepakaran daripada aspek teknikal dan ekonomi malah meliputi bidang keagamaan yang menjadi pemangkin kepada pemikiran intelektual, sekali gus menjana kemajuan negara sebagai sebuah negara Islam di rantau ini.

Justeru, penubuhan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) adalah simbol kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap kecekapan para pegawai agama dengan menjadi penyambung kepada peranan sebuah universiti dalam melahirkan sumber manusia berpengetahuan.

Hakikatnya, 13 tahun penubuhan, ILIM telah berjaya memainkan peranan pentingnya dalam meningkatkan kualiti dan integriti para pegawai agama hal ehwal Islam demi mengembangkan syiar Islam ke seluruh pelosok dunia.

Pengarahnya, Paimuzi Yahya berkata, ILIM merupakan sebuah institusi tunggal di Malaysia yang melatih para pegawai hal ehwal Islam dengan tujuan untuk melahirkan profesional dalam pentadbiran, penyelidikan, dakwah, pengurusan zakat dan baitulmal, kehakiman syarie, pentadbiran undang-undang, pembangunan keluarga serta pentadbiran masjid.

"Ini berdasarkan kepada objektif, misi dan visi ILIM yang berusaha untuk muncul sebagai institusi bertaraf dunia di dalam aspek pengurusan dan melatih pegawai hal ehwal Islam dengan menggunakan pendekatan bersepadu berteraskan prinsip-prinsip Islam," ujar beliau yang mula bertugas di ILIM sejak 12 Disember 2007.

Terang beliau lagi, dunia global hari ini bukan sahaja memerlukan para profesional yang terlatih dalam bidang perakaunan, kejuruteraan, seni bina dan perubatan. Yang pastinya, kerjaya bidang keagamaan juga harus bersaing bagi meningkatkan taraf profesional mereka.

Sejarah ILIM bermula pada 1 Januari 1997, apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dinaikkan taraf menjadi sebuah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Fungsi utama ILIM ialah melahirkan para profesional dalam pengurusan hal ehwal Islam melalui latihan, bengkel, seminar, simposium dan sebagainya.

Sebelum kewujudan ILIM fungsi latihan dilaksanakan oleh Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH), Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri (JPM). INDAH ditubuhkan pada April 1974 iaitu hasil Persidangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Keenam pada 16 Disember 1971 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Tun Abdul Razak Hussein.

Selaras dengan pembesaran fungsi Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) kepada Jakim, maka pada 1 Januari 1997, INDAH telah bertukar dan diwujudkan tiga bahagian iaitu Dakwah, Latihan dan ILIM.
ILIM mula beroperasi di Bandar Baru Bangi Selangor mulai Julai 1999 dengan penubuhan dua pusat pengajian iaitu;

  • Pusat Pengajian Hal Ehwal Islam (PPHEI)
  • Pusat Pengajian Undang-Undang dan Mahkamah Syariah (PPUMS)
  • Selaras dengan perkembangan struktur organisasi dan pertambahan perjawatan baru, Bahagian Latihan ILIM mempunyai tujuh pusat satu unit yang bertanggungjawab melaksanakan program latihan iaitu;
  • Pusat Bahasa (PB)
  • Pusat Pengajian Sains Dakwah (PPSD)
  • Pusat Pengurusan dan Undang-undang Islam (PPUI)
  • Pusat al-Quran dan Ilmu Teras (PQIT)
  • Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam (PEKI)
  • Pusat Pembangunan Keluarga Islam (PKKI)
  • Pusat Teknologi Maklumat (PTM)
  • Unit Pembangunan Latihan dan Penerbitan (UPLP)
  •  
  • Manakala Bahagian Khidmat Pengurusan dilengkapi dengan unit berikut bagi memantapkan pentadbiran dan pengurusan ILIM iaitu:

  • Unit Pentadbiran
  • Unit Perpustakaan
  • Unit Sumber Manusia
  • Unit Kewangan
  • Unit Domestik
  • Unit Perhubungan Awam
  •  
  • Dibina di atas tanah seluas 21 hektar di Sungai Merab, Bangi, proses pembangunan di ILIM terbahagi kepada tiga fasa. ILIM fasa pertama membabitkan blok pentadbiran yang menempatkan Unit Pentadbiran dan Kewangan, Pusat Pengajian Hal Ehwal Islam, Pusat Pengajian Undang-undang dan Mahkamah Syariah, Bilik Mesyuarat Syura, Pejabat Pengarah dan Dewan Muktamar.

    Perpustakaan, makmal komputer, mahkamah moot, bilik-bilik kuliah, bengkel dan bilik pensyarah berada di blok akademik. Blok asrama pula mempunyai 73 bilik untuk perempuan yang boleh memuatkan seramai 136 peserta, manakala satu lagi blok untuk asrama lelaki dengan jumlah yang sama.

    Projek ILIM fasa kedua yang siap pada 2007 melibatkan penambahan kemudahan blok akademik, blok asrama, kuarters untuk pegawai dan kakitangan dan kemudahan riadah.

    Menurut Paimuzi lagi, di Blok Akademik menempatkan dua auditorium iaitu Auditorium As-Syafie dan Auditorium Al-Ghazali, 12 bilik kuliah dan 10 bilik pensyarah. Auditorium ini boleh menampung 200 peserta manakala sebuah bilik kuliah boleh memuatkan 40 peserta. Blok asrama pula mempunyai 100 bilik.

    Kemudahan riadah yang disediakan ialah gelanggang sepak takraw, bola jaring, bola tampar dan padang bola sepak.

    Manakala pembangunan fasa ketiga yang sedang dalam pembinaan iaitu sebuah Dewan Persidangan yang berkapasiti 700 orang pada satu-satu masa dengan kos RM4.6 juta. Ia dijangka siap pada 29 September ini.

    Tambah beliau, kini dengan penubuhan ILIM Zon Timur di Bukit Keluang, Besut, Terengganu di atas tapak seluas 26 hektar dan telah mula beroperasi pada awal 2010 ini, dijangka menjadi pencetus kepada pembudayaan ilmu yang lebih mantap di kalangan umat Islam di wilayah berkenaan.

    "Kalau sebelum ini apa sahaja bentuk kursus akan dilakukan di Bangi tetapi semenjak beroperasinya ILIM di wilayah Pantai Timur yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan, kursus-kursus utama sahaja akan dilaksanakan di ILIM Bangi manakala kursus-kursus biasa dibuat di sana sendiri.

    "Diharapkan usaha yang dirintis oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat itu akan membolehkan golongan sasaran ILIM di wilayah tersebut untuk menimba lebih banyak ilmu agama," ujar Paimuzi usaha ini selaras dengan permintaan dan keperluan semasa sewaktu diwawancara di pejabatnya pada Khamis lalu.

    Pada tahun ini juga dijangka satu lagi cawangan baru akan ditubuhkan iaitu ILIM Cawangan Utara iaitu di Kuala Kangsar, Perak.

    Akui Paimuzi setelah lebih 10 tahun beroperasi, peranan dan pencapaian ILIM sudah tidak boleh disangkal lagi malah ILIM itu sendiri sudah semakin dikenali bukan sahaja di Malaysia, bahkan dari luar negara.

    Sehingga kini, ILIM telah berjaya melaksanakan sebanyak 186 kursus termasuk 4 seminar dan 5 muhadharah berbanding 138 kursus pada tahun 2008. Ia sekali gus mempengaruhi jumlah peserta kursus yang meningkat kepada 9,402 orang pada tahun 2009, berbanding 7,233 pada tahun sebelumnya.

    "Kita juga banyak menerima kunjungan ziarah daripada pelawat luar dan yang terakhir, kita ada menerima kunjungan delegasi dari Universiti of Melbourne, Australia. Hasilnya, mereka berminat dengan kursus-kursus yang dilaksanakan di ILIM ini.

    "Di samping itu, kita juga pernah melatih para peserta dari luar negara. Contohnya; kita menyediakan latihan kepada imam-imam dari negara Maldives menerusi penganjuran Kursus Profesionalisme Imam pada tahun lepas.

    "Pada tahun ini, satu program latihan yang akan dibuat secara besar-besaran akan diadakan iaitu Kursus Pengurusan Masjid kepada wakil negara serantau seperti; Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja. Kursus ini bermula 20 Mac dan berlangsung selama tiga minggu," kata Paimuzi ILIM turut melakar sejarah menjadi institut latihan Islam yang pertama mendapat pengiktirafan Persekitaran Berkualiti dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

    Kata beliau lagi, kursus-kursus yang sedang berlangsung sekarang ini juga menerima penyertaan peserta tempatan dan negara jiran.

    "Minggu lalu sahaja, ILIM baru menamatkan tiga kursus yang berjalan serentak iaitu; Kursus Tarannum Al-Quran, Kursus Pengurusan Masjid dan Kursus Profesionalisme Imam di mana disertai oleh lima peserta dari Singapura dan dua peserta dari Brunei.

    "Satu lagi program yang terbaru dan akan bermula tahun ini di ILIM iaitu Diploma Pengurusan Islam. Kursus ini khusus kepada Pegawai Hal Ehwal Islam yang baru dilantik. Kursus selama enam bulan ini akan dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 15 Mac ini," kata Paimuzi yang berbangga dengan kejayaan ILIM melaksanakan program Sijil Tinggi Pengajian Sains Dakwah untuk pendakwah bukan Melayu.

    Ujar Paimuzi, sungguhpun kumpulan sasaran ILIM ialah pegawai dan kakitangan kerajaan terutamanya yang bertugas di agensi agama, menyampaikan namun ini tidak bermakna pintu ILIM tertutup untuk orang awam lain.

    Untuk itu, ILIM turut menyediakan program secara berkala. Contohnya, pada bulan Ramadan akan diadakan Seminar Penghayatan Ramadan yang mana ia melibatkan orang ramai serta sentiasa menerima kunjungan pelawat luar terutama dari pusat pengajian tinggi.

    Sumber : Utusan 

    0 comments on "ILIM Peneraju Latihan Islam"

    Post a Comment

    Ulama'

    Blogger Tricks Habib Omar Dr.Yusuf
    Dr.Wahbah Zuhaily Dr.Ramadhan Buoti Harun Yahya Darul Ifta' darussyifa' PUM

    Tolabah

    pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya

    Akhbar

    Harakah keadilan TranungKite tkodaily detikdaily PahangDaily suarakampus Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan jazeera jazeera MyKKK

    Tv Online

    tvkltan tvpas tvceramah RTM tv3 tv7 8TV tv9 tvseries
     

    Mohamad Mustakim Bin Sarmuji Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez