Manfaat Buku

Sebelum balik Malaysia nanti, anta kena siapkan paling kurang sebuah buku untuk rakyat Malaysia. Kalau mampu tambah lagi, buat untuk ringkasan madah paling susah untuk kuliah anta. Mungkin Balaghah ke? Apa sahaja boleh"

Semanis Tawakkal

"Alhamdullilah, akhirnya imtihan dah selesai, Bolehlah ana balik selepas Asar nanti" sapaku kepada Hanif yang baru keluar dari pintu gerbang Al-Azhar. " Iya, tapi anta kena ingat kita ada syafawi ( ujian lisan) lagi. Kiranya aku bersyukur banyaklah", jawabnya sambil memandang ke arah ladang gandum.

Imam Bukhari

Imam al-Bukhari, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju'fi al-Bukhari (194H-256H) adalah seorang tokoh hadis yang paling unggul dalam sejarah perkembangan ilmu Hadis sehinggalah ke hari ini, ketokohan beliau masih tiada tolok bandingnya.

Followers

Wednesday, April 28, 2010

Rasuah 10 Bilion Setahun, Apa Cerita Menteri-Menteri Semua

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Wednesday, April 28, 2010 0 comments

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkongsi kebimbangan rakyat di atas kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam berpotensi untuk menyumbang kerugian bernilai RM 10 bilion setahun.


10 billion setahun mampu menghasilkan 400 buah sekolah baru yang bernilai 25 juta sebuah atau membantu 333,333 pelajar untuk melanjutkan pelajar ke universiti jika dijadikan biasiswa. 10 bilion ini juga mampu dijadikan modal untuk membina jalanraya sepanjang 1000 kilometer dari Selatan hingga ke Utara tanahair. 10 bilion ini juga mencukupi untuk membina 10 lagi jambatan Pulau Pinang. Banyak yang boleh dibelanjakan dengan 10 bilion ini.

Jika pegawai perkhidmatan awam juga korup, bagaimanakah rakyat ingin mempercayai sistem pentadbiran negara kini. PAS berharap Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilaung-laungkan mampu membasmi masalah ini. Namun disebalik usaha murni itu, timbul tanda tanya kalangan rakyat. Bagaimana jika Menteri dan Timbalannya rasuah atau menyalah gunakan kuasa mereka dengan mengkambing hitamkan kakitangan awam untuk meluluskan projek demi kroni-kroni mereka?

Adakah SPRM dan program GTP ini mampu untuk menyelongkar jenayah ini atau sekadar membiarkan kambing hitam dibuat ‘gulai’ bagi mengaburi mata rakyat. Kita tidak lupa dengan skandal PKFZ yang akhirnya siasatan ke atas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat ditutup begitu sahaja dengan alasan tiada bukti.

PAS mempersoalkan prosedur dan ketelusan SPRM dalam membuat siasatan termasuk juga laporan rasuah Mahathir, Pak Lah, Najib, Rafidah dan ramai lagi yang pernah diberikan oleh Ezam Mohd Noor ketika beliau bersama Gerak satu ketika dahulu. Ke mana laporan-laporan itu dibawa. Adakah laporan dan fail berkotak-kotak itu sudah dicampak ke laut selepas Ezam kembali pada Umno.

Apakah program GTP ini juga mempunyai pelan untuk menyiasat skandal rasuah Najib dalam kes pembelian dua unit kapal selam dari Perancis. Kes ini sedang dibawa ke Mahkamah Perancis oleh Suaram memandangkan SPRM tidak berminat untuk menyiasat kes ini.
Ini adalah sesuatu yang amat memalukan bila mana kambing-kambing hitam dan ikan-ikan bilis dalam agensi Kerajaan dikejar sampai ke lubang cacing sedangkan Menteri-menteri bebas sebagai pemimpin maksum yang tidak boleh disiasat dan didakwa.

PAS berharap agar KSN tidak menjadi badut sekadar untuk menghibur pemimpin-pemimpin BN, dan mahu GTP dilaksanakan dalam maksud yang sepenuhnya sama seperti yang rakyat inginkan.

Kita memang khuatir dengan apa yang berlaku pada negara Greece yang kini mempunyai hutang yang sudah dilabelkan bertaraf ‘sampah’ atau memang mustahil untuk dibayar balik ekoran gejala rasuah yang berleluasa kalangan pemimpin dan penjawat awamnya.

Negara anggota EU itu menjadi negara paling miskin di Eropah ekoran jenayah kapitalisme yang bermula dari pemimpin mereka sendiri. Hari ini Malaysia boleh ketawa, tapi tidak mustahil esok lusa negara jiran akan ketawakan rakyat Malaysia kerana membiarkan amalan rasuah di negara ini terus menerus berlaku dan merugikan pendapatan negara lebih dari RM 10 bilion setahun.

PAS berharap rakyat membuka mata dan sentiasa peka dengan apa yang berlaku sebelum membuat keputusan dalam pilihanraya akan datang.

Saturday, April 24, 2010

Pengundi Wajar Tolak Pemimpin Tidak Bermoral

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Saturday, April 24, 2010 0 comments

PEMIMPIN adalah suatu amanah yang harus diserahkan kepada seseorang yang ahli untuk memimpin. Kerana bila kepemimpinan diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, akan mengalami kegagalan bahkan kerosakan serta kehancuran yang akan dialaminya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Merujuk hadis di atas, dapat difahamkan dengan jelas Islam menganjurkan, apabila memilih seorang pemimpin hendaknya harus diketahui kemampuan dan kejujurannya memimpin. Kejujuran sebagai kata lawan daripada kedustaan yang memang mudah untuk diucapkan, tetapi payah untuk dilaksanakan.

Nilai kejujuran adalah ibarat mutiara yang indah harus diamalkan dalam diri setiap insan kerana kejujuran akan membawa kedamaian dan rasa aman dalam masyarakat. Ertinya, siapapun yang menjadi pemimpin yang mempunyai sifat jujur akan dapat melahirkan kedamaian dan rasa aman sejahtera.

Seorang pemimpin yang jujur pasti akan disayangi rakyat, kerana mereka menikmati rasa aman, damai, dan mendapatkan perlindungan daripada penindasan dan penganiayaan. Sebaliknya pemimpin dusta akan dibenci dan dicemuh oleh rakyatnya, kerana mereka berasa tidak aman daripada penindasan dan ketidakadilan. Mereka sentiasa menunggu pemimpin itu jatuh daripada kerusi kepemimpinannya. A

ntara kriteria pemimpin yang terbaik itu ialah: # Mencintai rakyat dan dicintai rakyat. Seorang pemimpin yang baik akan dicintai oleh rakyatnya disebabkan perilakunya yang baik, bertanggungjawab dengan jabatannya sebagai pemimpin dan ia bekerja gigih dengan mencurahkan segenap tenaga serta fikirannya untuk mendatangkan kemaslahatan terhadap rakyatnya.

Beliau sangat disayangi rakyat sehingga terjalin ikatan kasih sayang antara pemimpin dengan rakyatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik pemimpin ialah yang kamu sayangi dan sayang pada kamu, dan kamu doakan mereka dan mereka mendoakan kamu.” (Hadis riwayat Muslim). Seterusnya, pemimpin yang baik itu akan didoakan oleh rakyatnya semoga ia sentiasa dilimpahkan Allah dengan rahmat dan pertolongan-Nya, kesihatan dan kekuatan dalam menjalankan tugasnya sebagai pemimpin yang penuh bertanggungjawab untuk kemaslahatan rakyatnya. Dengan demikian saling mendoakan kebaikan antara pemimpin dan rakyatnya. # Memiliki teladan (uswah hasanah) yang baik.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya sudah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Surah al-Ahzab, ayat 21). # Bersifat istiqamah (konsisten). Jika ada peraturan, undang-undang ditetapkan, maka harus dipatuhi bersama. Peraturan itu harus konsisten di laksanakan.

Bagaimana rakyat boleh mematuhi kepada pemimpin atau undang-undang, kalau undang-undang yang dibuatnya itu sering diubah tanpa kompromi atau musyawarah dengan sesuka hatinya oleh yang berkuasa hanya untuk kepentingan kekuasaannya. Pemimpin yang baik selalu melaksanakan kejujuran dan istiqamah dalam melaksanakan peraturan dan undang-undang yang dibuatnya

Wednesday, April 21, 2010

Pembentangan Tesis Master Ustaz Zamzaini

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Wednesday, April 21, 2010 2 comments

            
Assalamualaikum. Semalam kami sekeluarga berkesempatan menyaksikan pembentangan tesis master Ustaz Zamzaini yang begitu mantap dan bertenaga di Cairo. Alhamdulillah segala perancangan berjalan dengan lancar. Tajuk tesisnya adalah Ahkam Hadithil 'Aadii Islami Dirasat Fiqhiyyah Muqaranah  ( hukum hakam kepada muallaf yang baru Islam dari sudut perbandingan fiqhiyyah ).


Munaqasyah ini berlangsung selama hampir 2 jam setengah. Hampir dalam 30 orang yang datang untuk memberikan sokongan kepada beliau lebih-lebih lagi dengan kedatangan Syeikhuna Ustaz Akli Ahmad, pelajar PhD Azhar dalam bidang Muamalat dan beberapa pelajar master yang lain.


Alhamdulillah, akhirnya berkat kegigihan Ustaz zamzaini dan segala penat lelah dalam penulisan tesisnya hampir setahun yang lepas telah berbaloi apabila 3 orang profesor doktor yang memunaqasyah telah mengumumkan natijah master beliau mendapat pangkat MUMTAZ. Alhamdulillah.Mudah-mudahan apa yang telah beliau usahakan selama ini akan diterima olehNYA dan hasil daripada kajian tersebut boleh dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam umum dan khususnya kepada muallaf fi qulubihim. Amin Ya Rabb.


Dan tidak terlambat lagi untuk kami sekelaurga mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Ustaz Zamzaini. Semoga kejayaan beliau dapat menaikkan dan membakar semangat kami untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam mengangkat martabat Islam di bumi Malaysia.

Monday, April 19, 2010

Permulaan Tahun Dukacita Nabi SAW

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Monday, April 19, 2010 0 comments

TAHUN ke-10 selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW itu banyak mencatatkan peristiwa bersejarah selepas berakhirnya tempoh sekatan ekonomi terhadap umat Islam. Ini kerana sedikit sebanyak sekatan yang menyebabkan penderitaan umat Islam itu turut memberi kesan terutamanya kepada mereka yang berusia lanjut, seperti bapa saudara kesayangan nabi, Abu Talib.

Bapa saudara baginda menghembus nafas terakhirnya pada tahun tersebut iaitu pada bulan Rejab, enam bulan selepas berakhirnya episod memboikot umat Islam itu.

Di samping usianya yang begitu lanjut iaitu dikatakan 80 tahun, Abu Talib bukan sahaja lemah kerana ditelan usia tetapi pelbagai tekanan dan ujian yang beliau tanggung kerana selama ini, iaitu selama 42 tahun yang begitu melindungi anak saudaranya itu.

Taraf kesihatan Abu Talib yang semakin membimbangkan itu sampai ke pengetahuan orang ramai. Kalangan para pembesar Quraisy yang masih kafir terus beranggapan bahawa saat keuzuran Abu Talib inilah peluang terakhir mereka bagi menyekat kegiatan dakwah Islam yang diterajui oleh anak saudara Abu Talib itu.

Sekali lagi mereka mengunjungi Abu Talib untuk diajak berunding mengenai Nabi Muhammad di hadapan Abu Talib supaya menyerahkan sahaja baginda kepada mereka.

"Demi Allah kita tidak akan selamat jika mereka terlepas daripada kita. Kita bimbang kalau orang tua itu mati, lalu terjadi sesuatu kepada Muhammad maka akan semakin tercemarlah nama baik kita di kalangan orang Arab," kata para pembesar Quraisy itu.

Lalu terdiri dari kalangan para pembesar yang terkenal seperti Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Abu Jahal bin Hisham, Ummayyah bin Khalaf dan Abu Sufyan bin Harb mereka pun beramai-ramai menemui Abu Talib yang sedang sakit itu.

Mereka pun berkata: "Hai Abu Talib, kedudukan kamu di kalangan kami adalah seperti yang kamu tahu tetapi sekarang kamu dalam keadaan sakit.

"Kami amat bimbangkan kamu dan engkau sendiri tahu persoalan antara kami dengan anak saudaramu.
"Oleh itu tinggalkanlah dia, ambillah apa-apa daripada kami untuknya dan ambillah apa-apa daripadanya untuk kami agar dia berhenti mengancam kami dan kami juga berhenti mengancamnya. Biarlah kami dengan agama kami".

Setelah mendengarkan itu, Abu Talib hanya mampu menyerahkan segala keputusan kepada anak saudaranya sendiri bagi menentukannya.

Lalu Nabi Muhammad pun dipanggil dan diberitahu akan segala niat para pembesar Quraisy itu. Setelah memahami tawaran pihak Quraisy itu dan kini tiba giliran baginda pula membuat tawaran terhadap mereka.
"Apakah pandangan kamu jika aku berikan kepada kamu satu kalimah untuk kamu ucapkan. Iaitu apabila kamu mengucapkan kalimah itu kamu akan menguasai semua orang Arab dan semua orang Ajam akan tunduk dan membayar jizyah kepada kamu?" kata baginda.

Mereka yang hadir terus terdiam dan kebingungan dengan kata-kata tawaran Nabi SAW itu kerana mereka tidak tahu bagaimana hendak menolak satu kalimah yang manfaat atau faedahnya begitu menarik dan lumayan sekali.
Abu Jahal pun berkata: "Apakah kalimah itu? Demi Bapamu, kami sanggup memberikan kepadamu sepuluh kali ganda seumpamanya".

Lantas baginda terus menjawab: "Katakan bahawa tiada tuhan selain Allah dan tinggalkan sembahan yang kamu sembah selain dari Allah".

Mendengarkan itu mereka terus bersorak marah dan bertepuk tangan serta berkata: "Hai Muhammad, apakah kamu hendak menjadikan tuhan-tuhan yang banyak itu menjadi satu tuhan sahaja? Sesungguhnya urusan tawaran kamu ini menghairankan".

Mereka kemudiannya berkata sesama sendiri, iaitu: "Demi Allah lelaki ini (Muhammad) ini tidak akan memberi apa-apa kepada kamu seperti yang kamu mahu. Ayuhlah beredar dan teruslah kekal dengan agama nenek moyang kamu sehingga Allah menjatuhkan keputusan antara kita dan dia".

Mereka kemudiannya beredar meninggalkan Muhammad dan bapa saudaranya, Abu Talib yang semakin lemah itu.

Sehubungan perkara inilah Allah kemudiannya menurunkan ayat al-Quran iaitu dari surah al-Sad, ayat 1-7. yang bermaksud: Sadd: demi al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi peringatan dan pengajaran. (Orang yang mengingkari kerasulanmu - Wahai Muhammad - tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong, angkuh dan suka menentang kebenaran. (Tidakkan mereka menyedari) berapa banyak umat-umat (yang engkar) yang terdahulu dari mereka kami binasakan?

Namun Rasulullah kini mempunyai usaha yang lebih mencabar untuk dilaksanakan.

Tidak sahaja berada di sisi bapa saudara di saat-saat akhir riwayatnya tetapi yang lebih penting lagi, agar Abu Talib turut bersamanya untuk mengimani Allah sepenuhnya dengan Islam sebagai agama yang mesti dianuti.
Namun saat-saat Abu Talib semakin nazak, berita keadaannya itu sampai kepada Abu Jahal, cepat-cepat orang yang paling kuat menentang Islam itu datang melihat Abu Talib yang ketika itu Nabi SAW berada di sisi bapa saudaranya yang sedang bertarung dengan maut.

Tanpa mempedulikan kehadiran Abu Jahal, Nabi Muhammad pun berkata: "Wahai bapa saudaraku, ucapkanlah Tiada Tuhan Melainkan Allah! Perkataan yang membolehkan aku membela kamu pada hari akhirat kelak".

Namun jahatnya Abu Jahal, beliau cuba menghalang Abu Talib dari mengucap dua kalimah syahadah dengan diracunnya bapa saudara Nabi itu dengan kata-kata: "Hai Abu Talib, adakah kamu tidak suka dengan agama (menyembah berhala) Abdul Mutalib, bapa kamu sendiri?"

Begitulah setiap kali Nabi Muhammad cuba mengajarkan Abu Talib yang nazak untuk mengucap, tiap kali itu jugalah Abu Jahal menganggu.

Kata Abu Jahal lagi kepada Abu Talib: "Demi Allah wahai Abu Talib, kalau kamu melafazkan kalimah itu kami akan memalukan kamu selama-lamanya!"

Lalu akhirnya yang terjadi seperti menjadi pertikaian oleh ramai pihak namun dikatakan Abu Talib akhirnya meninggal dunia tanpa sempat beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Walaupun dalam banyak peristiwa dan perkataan sebelum ini mengenai kepercayaan tinggi yang ditunjukkan oleh Abu Talib terhadap Allah dan lebih-lebih lagi pembelaannya terhadap Nabi Muhammad, dengan sentiasa membenarkan kata-kata baginda itu.

Ini dikatakan apabila Abu Talib berkata sebelum menutup mata buat selama-lamanya: "Aku takut nanti bangsa Arab memalukan aku dengan hal ini lalu aku memilih di atas agama Abdul Mutalib!"

Jadi benarlah Abu Talib akhirnya meninggal tanpa sempat beriman atau dengan perkataan lain, meninggal dalam keadaan kafir.

Itulah permulaan kisah 'Tahun Dukacita' yang Rasulullah alami, kerana yang berlaku tiga hari kemudian selepas bapa saudara kesayangan baginda meninggal itu, adalah lebih menyedihkan.

Saturday, April 17, 2010

Waspada Riwayat Israiliyyat

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Saturday, April 17, 2010 3 comments

Kalangan umat Islam sendiri termakan malah langsung tidak menolak kisah-kisah yang dibawakan oleh kaum Yahudi, hanya kerana ada kalangan kaum itu yang telah memeluk Islam. Sedangkan mereka memeluk Islam itu pada sekadar zahirnya sahaja.

Mereka inilah digelar sebagai antara golongan zindik (selain Nasrani, Parsi dan Rom) yang berusaha dengan pelbagai jalan untuk merosakkan agama dan menimbulkan keraguan di kalangan manusia terhadap Islam.
Pernahkah anda mendengar nama Abdullah bin Saba'? Seorang Yahudi yang hina merayau ke seluruh kawasan dan menghasut orang ramai.

Beliau telah menyembunyikan racun yang disebarkannya kononnya cintakan Saidina Ali Abi Talib Karamallahu Wajhah dan Ahli Bait (keluarga Rasulullah).

Abdullah menyebarkan Saidina Ali adalah orang yang memegang wasiat dari Rasulullah, yang kononnya paling layak menjadi Khalifah mengatasi Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khattab.

Abdullah telah menciptakan hadis mauduk (palsu) mengenai Saidina Ali yang berbunyi: "Setiap Nabi adalah aku dan waris aku adalah Ali".

Bukan setakat itu sahaja yang dilakukan oleh Yahudi ini malah dia turut mendakwa bahawa menantu Rasulullah itu adalah Tuhan.

Selaku pemerintah ketika itu Saidina Uthman ibn Affan walaupun terkenal sebagai seorang yang lembut hati, beliau telah mengusir Abdullah bin Saba' yang telah menyebabkan dia lari manakala pada zaman pemerintahan Saidina Ali sendiri, beliau telah menghalalkan darah Yahudi ini untuk dibunuh.

Namun yang menyedihkan ada kalangan umat Islam yang tidak bertapis-tapis lagi terus percaya kepada cerita-cerita Yahudi itu sedangkan ia tidak sahaja suatu pembohongan yang sangat besar dan sedikit sebanyak telah menyebabkan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam itu sendiri sedangkan api perpecahan ini sentiasa marak kerana Yahudi tidak pernah diam yang kesemuanya dilakukan kononnya atas nama 'Islam'.

Ketika begitu hebat melanda di zaman pemerintahan Saidina Uthman dan Saidina Ali iaitu sekitar tahun 40-an hijrah, tersebarnya fitnah-fitnah sehingga menjadi satu bencana besar kepada umat Islam. Pertikaian itu sehingga membawa kepada pembunuhan sesama umat yang sehingga zaman itu dikenali sebagai Sighar Al Sahabah dan Kubbar al Tabiiin.

Itu hanya baru satu kisah dari begitu banyak sekali kisah-kisah Israiliyyat dan hadis-hadis mauduk dalam kehidupan umat Islam.

Walaupun sesetengah menganggap kisah-kisah Israilliyyat mahupun hadis mauduk itu tidak lebih sebagai bidaah hasanah namun masih lagi, kedua-dua unsur ini sangat bahaya kepada umat Islam, jika kita tidak berhati-hati.

Ini kerana bayangkan sahaja menurut Hamad bin Zaid, golongan Zindiq sahaja telah menciptakan 14,000 ribu hadis (mauduk) yang menurut Ibnu Qutaibah hadis dari golongan ini sengaja diada-adakan dan mengenai perkara mustahil seperti hadis peluh kuda, hadis malaikat datang untuk ziarah, bekas emas atas unta, hadis Nur al-Ziraian dan sebagainya lagi.

umat Islam

Persoalan mengenai kisah-kisah Israiliyyat dan hadis-hadis mauduk dikupas dengan begitu baik oleh penulis buku ini. Kisah-kisah Israiliyyat itu sendiri seperti dihurai panjang lebar dari aspek makna dan sejarahnya telah sekian lama begitu membarah dalam darah daging umat Islam.

Ini kerana sesetengah meluaskan ruang lingkup Israiliyyat itu sebagai merangkumi semua yang terkandung dalam buku-buku pengetahuan orang Yahudi dan Nasrani yang berkisar sekitar huraian mereka terhadap kitab-kitab Injil, sirah, perjalanan nabi-nabi, rasul dan sebagainya.

"Hanya ini dinamakan sebagai Israiliyyat kerana kebanyakannya adalah datang dari ilmu pengetahuan Bani Israil atau daripada kitab-kitab mereka atau dari cerita dongengan dan batil yang mereka ada-adakan," kata Dr. Muhammad.

Sementara hadis Mauduk atau al Maudhuat mengikut istilah ahli-ahli hadis merupakan hadis-hadis yang sengaja diada-adakan atau direka-reka secara dusta ke atas Rasulullah atau ke atas para sahabat dan para tabiin selepas baginda.

Seseorang itu kata penulis, akan mencipta satu-satu susunan kalam yang kemudian menisbahkannya kepada Nabi Muhammad atau kepada para sahabat dan para tabiin ini tadi.

Sebagai contoh, 'hadis' berikut: "Cintailah orang yang engkau cintai seberapa ringan yang boleh kerana boleh jadi pada suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang engkau benci dan bencilah orang yang engkau benci seberapa ringan yang boleh kerana boleh jadi pada suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang engkau cintai".

Yang sebenarnya kata-kata itu adalah daripada ucapan Saidina Ali bin Abi Talib.
"Perut ialah rumah penyakit dan perut yang kosong adalah kepala segala ubat". ('Hadis' ini pula sebenarnya adalah kata-kata yang diungkapkan dari seorang doktor Arab yang bernama al Haris bin Kalidah).

Contoh lain lagi yang merupakan kisah-kisah Israiliyyat yang dijadikan hadis (mauduk): "Aku tidak dapat disaingi oleh langit dan bumi-Ku akan tetapi Aku disaingi oleh keluasan hari orang Mukmin".
Imam Ibnu Taimiyyah berkata: Ia adalah dari Israiliyyat kerana tidak mempunyai punca yang diketahui berasal daripada Nabi Muhammad SAW.

"Sesungguhnya umur dunia ialah tujuh ribu tahun". 'Hadis' ini adalah termasuk dalam Israiliyyat.
Buku yang diterjemah dengan baik ini adalah hasil penulisan gigih Dr. Muhammad. Semasa menulis buku ini, beliau ialah Ketua Jabatan Kuliah Usuluddin di Universiti Al Azhar Cawangan Asyut.
Bagi Dr Muhammad, umat Islam amat memerlukan buku yang seperti ini untuk mereka jadikan rujukan utama bagi membolehkan mereka menghilangkan cerita-cerita dongenagan yang dikaitkan dengan tafsiran kitab suci al Quran.

"Golongan Orientalis adalah 'tokoh-tokohnya' dalam kisah-kisah Israiliyyat yang mereka dapati, rekaan-rekaan ini boleh memenuhi keinginan mereka, memuaskan ketaksuban dan marah mereka yang keji serta mengubati jiwa mereka yang sakit dan hasad terhadap Islam, nabinya dan al-Quran.

"Kedengkian dan dendam ini dianggap sebagai lanjutan kepada siri Peperangan Salib yang telah mereka lancarkan terhadap Islam yang masih berlaku sehingga zaman kita ini dengan pelbagai bentuk," kata beliau.
Buku yang ditulis dalam tujuh bab yang utama yang dipecahkan kepada tajuk-tajuk kecil yang sangat relevan. Mungkin Bab 4 adalah yang paling menarik untuk dibaca apabila penulis tidak sahaja memberikan lagi contoh-contoh kisah Israiliyyat seperti Kisah Harut dan Marut, Pembinaan Kaabah Baitullah dan Hajar Aswad dan banyak lagi yang kesemua itu kemudiannya dijelaskan kebenaran sebenar yang seharusnya kita 'imani'.

Penulis benar-benar bertanggungjawab untuk membersihkan nama Rasulullah, para sahabat dan umat Islam amnya dari menjadi bahan fitnah oleh pihak yang berkepentingan sempit dan niat buruk terhadap Islam itu.

Begitu pun seperti yang beliau harapkan bahawa umat Islam hari ini adalah mereka yang mesti mengetahui segala serba aspek kehidupan dan ilmu-ilmu dunia dan akhirat supaya tidak mudah terpedaya terhadap pengaruh-pengaruh Israiliyyat dan hadis maudhuk ini.

"Mereka hendaklah mempunyai pengetahuan tentang kemajuan ilmu dalam bidang perubatan, astronomi, alam semesta, ilmu sosial, ilmu jiwa, ilmu mengenai bangsa-bangsa dan sebagainya supaya ia dapat menguatkan senjata bagi menghapus dan melenyapkan kebatilan Israiliyyat itu," kata Dr. Muhammad.

Benar, jika tidak selama bilapun, jadilah mereka umat yang tertipu dek kejahilan mereka sendiri!
"...demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji."

(surah Al Fussilat, ayat 41-42)

Sumber : Utusan

Thursday, April 15, 2010

Masalah Sosial Runtuhkan Tamadun Manusia

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Thursday, April 15, 2010 0 comments

APA dah jadi dengan masyarakat kita kini? Semakin dikutuk perbuatan membuang bayi, semakin menjadi pula perlakuannya. Hari ini dilancarkan kempen kesedaran untuk menyelamatkan bayi yang dikandung atas rasa ihsan dan perikemanusiaan, namun keesokannya lain pula cerita dipaparkan di dada akhbar.

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasi gejala negatif ini. Namun, apa yang berlaku seolah-olah bukan menjadi kesalahan kepada mereka yang membuang bayi dikandung sendiri. Bayi yang terhasil daripada hubungan haram itu suci dan tidak berdosa. Yang berdosanya mereka yang terjebak dengan gejala tidak bermoral itu.

Moral amat berkait rapat dengan akhlak dan sahsiah seseorang yang melambangkan tahap peradaban. Moral sering dinilai dari sudut agama tanpa mengira masa dan zaman. Apabila manusia melakukan perbuatan tidak bermoral, bermakna mereka menghancurkan tamadun yang dibina.

Seorang penyair Mesir yang terkenal, Shauki Bik pernah berkata: “Suatu bangsa ditentukan kualiti akhlaknya, jika akhlak rosak maka hancurlah bangsa itu.” Moral manusia boleh roboh dan runtuh apabila mereka tidak menjaga keturunan, seperti berlakunya penzinaan secara berleluasa, pergaulan bebas dan hal-hal yang kebiasaannya membabitkan golongan remaja, hubungan songsang, perlakuan lucah dan sumbang, meminum arak sebagai lambang kemegahan dan macam-macam perlakuan yang bertentangan dengan tata moral manusia yang beragama.

Gejala buang anak yang berlaku hari ini adalah bukti paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda masalah keruntuhan moral serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan masyarakat kita sedang sakit jiwa dan rohaninya amat parah.

Mental mereka kehilangan radar berfikir untuk bertindak secara rasional. Hukum agama yang menjadi disiplin kehidupan manusia tidak dipedulikan lagi demi kebebasan seperti dipromosikan dunia barat. Hari ini perzinaan berlaku di depan mata dalam keadaan yang mengaibkan, namun dirasakan bangga oleh pelakunya. Ada pula perawan menceritakan kepada orang lain akan kehilangan mahkotanya dengan penuh rasa bangga. Jauh sekali rasa berdosa dan malu.

Memang betul bahawa moral itu sering dicabar oleh faktor perubahan masa dan persekitaran. Namun nilai moral mesti dipertahankan. Jangan sekali-kali digadaikan seperti menjual barang murahan di pasaran terbuka. Kita bukan berkiblatkan Barat dan semua pembawaan perilaku dan moral mereka mesti dipertimbangkan demi memelihara moral kita.

Pastikan ikatan moral tidak berubah walaupun masyarakat mengalami evolusi mental. Caranya dengan mengamalkan tuntutan agama. Maknanya, agama adalah pengikat kepada kebebasan moral dan tingkah laku manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Menurut Muhammad al-Qutb dalam bukunya Jahiliah Abad ke-20, konsep jahiliah bukan berdasarkan masa, tempoh atau zaman tertentu, sebaliknya disebabkan individu atau masyarakat tidak mengakui Islam sebagai syariat hidup yang cukup sempurna.

Perbuatan berjudi, minum arak, berzina dan membunuh anak sendiri adalah perbuatan tidak bermoral yang boleh meruntuhkan ketamadunan bangsa. Sebagai contoh, dengan meminum arak seseorang akan rasa bangga. Mereka anggap sebagai suatu nilai kepuasan sama seperti bangsa Arab zaman jahiliah yang menjadikan arak sebagai minuman terhormat.

Masyarakat Arab jahiliah sebelum kelahiran Nabi membunuh anak perempuan semata-mata kerana malu dan dianggap tidak setanding dengan anak lelaki yang diperlukan untuk persiapan perang. Dunia mereka adalah peperangan dan memerlukan tenaga lelaki untuk kemenangan, sedangkan perempuan itu dianggap lemah yang menyumbang kekalahan.

Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup di dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Sumber : Bharian

Thursday, April 8, 2010

Jenayah Seksual Wajar Dibendung Elak Maruah Islam Tercemar

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Thursday, April 08, 2010 0 comments

APABILA saban hari laporan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak dipapar dalam akhbar mahupun di laman maya, ada beranggapan ia sememangnya nasib yang perlu diterima sebagai golongan yang lemah, seolah-olah mengiyakan jenayah yang berleluasa sebagai lumrah dunia moden dan menidakkan hakikat setiap hamba Allah dicipta dengan maruah dan kehormatan tanpa mengira jantina serta harus dipelihara.

Kejadian kanak-kanak hilang, dirogol dan dibunuh atau dikahwinkan dan wanita dizina serta dihamilkan seterusnya menjadi pembunuh zuriat sendiri bersilih ganti dengan paparan isteri didera mental dan fizikal, cukup menggerunkan golongan hawa. Ia menjadi fenomena global, kerana perkara seperti ini bukan saja berlaku di negara maju, malah negara membangun, termasuk negara Islam atau majoriti warganya Muslim.

Bahkan di Barat, jenayah domestik di kalangan keluarga Muslim menjadi bahan jenaka sesama mereka. Kerana tidak memahami sunnah poligami, mereka mentertawakan wanita Islam kerana sanggup menjadi ‘hamba’ amalan perkongsian suami yang rata-ratanya berakhir dengan penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita serta anak kecil, bukan seperti diperintahkan Allah dan Rasul.
Walaupun ada di kalangan mereka yang memahami Islam tidak pernah mengajar umatnya menzalimi wanita atau menganiaya kanak-kanak, tindak tanduk umat Islam lebih nyata di mata mereka, sedangkan apa yang dilakukan bertentangan ajaran Islam sebenar. Ada beranggapan Islam mendiskriminasi wanita dan kanak-kanak serta mengangkat tinggi lelaki dalam segala hal sehingga membenarkan wanita dan kanak-kanak dizalimi secara seksual, malah suami boleh membunuh isteri jika perlu.

Hari ini, pesalah laku seksual bukan saja lelaki malah wanita. Kerana zina, wanita yang melahirkan anak tidak syari’e sanggup membuang bayinya merata-rata seperti membuang sampah. Jenayah ini semakin ketara sejak akhir-akhir ini malah tentu jumlahnya lebih banyak termasuk yang tidak dilaporkan media atau bayi tidak ditemui.

Sudahlah berzina, mereka membunuh pula. Tetapi ramai ibu yang terbabit, masih bebas di luar sana.

Lebih menakjubkan lagi, mereka sanggup melahirkan anak sendirian di tandas awam selain tidak pernah mendapat rawatan sewaktu hamil. Sedangkan isteri yang hamil bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat.
Kerana takut, malu dan aib mereka sanggup berbuat apa saja. mereka harus ingat setiap yang bernyawa berhak hidup. Hatta janin dalam kandungan mempunyai hak. Justeru, membunuh tanpa hak di sisi Allah adalah jenayah yang wajar dihukum setanding dengan apa yang dilakukan.

Setiap ibu harus berfikir panjang sebelum melakukan perkara itu. Banyak cara mengelak membuang bayi. Sama ada meninggalkan bayi itu di hospital, diserahkan kepada orang lain atau memeliharanya dengan penuh kasih sayang. Memang benar masyarakat sukar menerima ‘anak luar nikah’ seperti masyarakat tidak boleh menerima perbuatan zina. Tetapi perbuatan membunuh tidak boleh dikompromi.

Paling penting, bukan soal bagaimana menghadapi situasi sebegini, tetapi bagaimana untuk mengelak situasi itu daripada berlaku. Cadangan mengkanunkan Akta Pendaftaran Pesalahlaku Seksual amat bertepatan dengan senario hari ini memandangkan ramai wanita menjadi mangsa kerana perbezaan biologi, bahkan kanak-kanak perempuan juga menerima bahana sama.

Selagi ada yang rela menjadi mangsa, selagi itulah wanita akan terus dianiaya. Maruah dan kehormatan diri sendiri tidak akan dapat dipertahankan orang lain, sebaliknya pemiliknya saja yang patut tahu menghargai, dan menjadikannya harta yang tidak terjual beli.

Penulis ialah pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

Sunday, April 4, 2010

Elakkan Taasub Dan Fanatik

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Sunday, April 04, 2010 0 comments

Taasub dan ketaasuban seringkali difahami sebagai berpegang kepada sesuatu tanpa melihat kepada kebenaran yang terangkum di dalamnya. Perkataan fanantik kerap digunakan untuk menggantikan perkataan taasub. Perkataan fanatik mengikut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995: 476) bermaksud taasub, tegar hati, kuat pegangan, kuat keyakinan dan kuat kepercayaan. Fanatisme pula ialah kepercayaan yang sangat kuat, terlampau kuat atau kepercayaan yang kuat.


Fanatik juga didefinisikan sebagai seorang yang menunjukkan keghairahan yang melampau dan kegigihan terhadap ketaatan membabi buta khususnya terhadap beberapa perkara kontroversi (sebagaimana dalam agama, politik atau falsafah). Biasanya seseorang itu menyeru terhadap pegangannya secara bersemangat dan ia adalah suatu desakan tanpa alasan dan tanpa tolak-ansur (Webster's Third New International Dictionary, 1986).


Masyarakat Islam berdepan dengan banyak sikap taasub sama ada taasub dari sudut politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. Taasub dengan parti politik akan membuat pendokongnya 'mentakwilkan' atau 'mempositifkan' tindakan pemimpin, walaupun tindakan tersebut nyata salah dan membawa kerugian pada umat. Taasub kepada individu pula, namun memuliakan individu sama ada guru atau orang-orang soleh adalah dibenarkan, tetapi mungkin juga membuatkan seseorang mendewa-dewakan individu tersebut dan pendewaan inilah yang ditolak.


Taasub kepada sesuatu sistem ekonomi membuatkan seseorang sukar berubah kepada sistem ekonomi yang lain iaitu sistem ekonomi Islam. Golongan ini lebih selesa dan taasub dengan sistem ekonomi konvensional dan unsur ribawi sehingga memandang sinis kepada sistem ekonomi Islam.


Dari sudut sosialnya, sejarah peradaban Islam kerap membentangkan adanya budaya taasub mazhab di kalangan umat Islam. Pada tahap itu, pengikut-pengikut setiap mazhab bertelingkah mempertahankan mazhab masing-masing sehinggalah berlakunya pertelingkahan dan perpecahan. Namun telah berlaku kematangan sehingga ummah boleh menerima perbezaan pendapat dari sudut amalan-amalan fiqh. Hasilnya ummah dapat melihat berlakunya 'kematangan' dan setiap mazhab fiqh bertolak ansur terhadap perbezaan amalan-amalan fiqh di tengah-tengah masyarakat.


Kesan daripada kematangan ini ialah:

• Perbezaan mazhab dapat diterima secara harmoni. Dalam konteks Malaysia, umat Islam boleh menerima kehadiran Masjid India, Masjid Pakistan dan Masjid Cina Muslim.

• Pengajaran-pengajaran fiqh sunni dalam empat mazhab tersebut dapat diterima oleh majoriti negara Islam di institusi-institusi pengajian tinggi dan masjid-masjid, kecuali ada sedikit negara Islam bersikap tertutup dan meruntuhkan pengajian empat mazhab.

• Penekanan pegangan satu mazhab untuk sesuatu negara juga untuk mengelakkan ketidakselarasan telah diterima ummah. Sebagai buktinya, khilafah Uthmaniah terkenal dengan mazhab Hanafi tanpa mengenepikan hak masyarakat meyakini mazhab fiqh sunni yang lain.


Walaupun masyarakat ini dilabelkan sebagai taasub mazhab, namun mereka telah bersedia menerima perbezaan ini dengan berlapang dada tanpa sesat-menyesat atau kafir mengkafir. Oleh itu, di dalam lingkungan fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah atau Sunni, kita tidak pernah mendengar pengikut Imam Shafie Rahimahullah menyesatkan pengikut Imam Abu Hanifah Rahimahullah..


Pada situasi yang lain, telah lahir golongan yang menyeru supaya tidak bermazhab. Mereka melabelkan golongan yang bermazhab dengan berbagai label, antaranya:

• Taasub kepada mazhab.

• Mengikut imam-imam dan bukan mengikut al-Quran dan sunnah.

• Perbezaan amalan fiqh membawa kepada bid'ah dan sesat. Habis disesatkan masyarakat yang beramal hukum fiqh secara berbeza seperti qunut, talkin, zikir berjemaah dan sebagainya.


Itulah antara tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka yang bermazhab. Mereka gagal melihat atau tidak mahu melihat bahawa imam-imam mazhab dan murid-murid mereka sebenarnya mengeluarkan hukum hasil daripada kajian mendalam terhadap al-Quran dan al-sunnah. Bahkan mereka adalah generasi ulama Salaf yang disebut sebagai khayrul ummah (sebaik-baik ummah). Imam-imam tersebut tidak sekali-kali menuduh sesat kepada masyarakat pada persoalan cabang atau furuk. Bahkan mereka belajar dari ulama-ulama pelbagai mazhab untuk mendapatkan satu kepastian hujah bagi setiap mazhab tersebut. Pegangan inilah yang diwarisi kepada anak-anak murid mereka zaman berzaman. Pada keadaan tertentu, mereka bersetuju mengambil pandangan mazhab lain disebabkabkan dalil yang kuat, atau keperluan mendesak umat.


Kelihatannya, pihak yang membawa laungan untuk tidak bermazhab, mereka sebenarnya jatuh ke dalam 'taasub untuk tidak bermazhab'. Mereka sudah meletakkan satu ketetapan di dalam pemikiran mereka bahawa

• Hanya pandangan mereka benar.

• Memandang sinis kepada orang-orang yang bermazhab.

• Pandangan yang bertentangan adalah salah, sesat, bid'ah dan sebagainya. Pada banyak keadaan, mereka mendakwa pandangan berlawanan sebagai fahaman Syiah, Jahmiyyah dan sebagainya.

• Mereka tidak mahu mengikut fatwa Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafi'i dan Imam Ahmad dan anak-anak murid mereka kerana tidak mahu bertaqlid. Namun secara hakikatnya, mereka adalah pentaklid kepada Sheikh Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad Abdul Wahhab, Albani dan lain-lain. Kebanyakan hadis yang mereka keluarkan, bukan usaha mereka, tetapi dengan bertaklid kepada Albani. Lebih membimbangkan, pandangan imam-imam sebelumnya ditakwil supaya selaras dengan pandangan sheikh-sheikh rujukan mereka.

• Melarang pembelajaran mazhab-mazhab lain selain dari mazhab mereka atas alasan mazhab-mazhab tersebut tidak berpegang kepada dalil.

• Seruan supaya semua orang berijtihad walaupun secara hakikinya pengikut mereka sebenarnya tidak mampu berijtihad, sebaliknya mereka mengubah taklid dari bertaklid kepada imam-imam mazhab kepada bertaklid dengan pentafsiran mereka.


Mereka sebenarnya telah melahirkan mazhab kelima yang lahir selepas kurun ke 7 Hijrah, dan membawa pengikutnya mengikut pentafsiran orang yang jauh zamannya (al-Nazil) dari Rasulullah SAW, berbanding Imam-Imam mazhab (al-'ali)yang lahir dan hidup di sekitar tiga kurun pertama Hijrah.


Lebih membimbangkan, sekiranya ketaasuban golongan ini membawa kepada menganggap wajib memerangi perbezaan pandangan tersebut, kerana perbezaan amalan fiqh tersebut adalah sesat dan kedudukannya adalah mesti diperangi kerana ia setaraf dengan ijmak para sahabat iaitu kewajipan memerangi golongan yang tidak membayar zakat.


Inilah antara ketaasuban yang sedang menghantui masyarakat. Sikap keterbukaan dalam berbeza pendapat menjadi semakin tertutup dan sempit. Kesan ketaasuban ini telah mula dirasai secara mendalam oleh masyarakat Islam di Malaysia. Justeru, menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin masyarakat, pendakwah-pendakwah dan para ustaz memperbetulkan keadaan ini supaya pertelingkahan dan perpecahan tidak melarat dan membawa kerugian kepada majoriti tipis masyarakat Islam di Malaysia. Semoga Allah SWT menyelamatkan umat ini daripada perpecahan yang semakin kritikal. Wallahu a'lam.

Sumber : DrAsmadi

Saturday, April 3, 2010

Sekitar Majlis Maulidur Rasul UMI

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Saturday, April 03, 2010 0 comments

Syeikhuna Us Akli menyampaikan ceramahnya.Pelajar Muamalat PhD Azhar tue..kna amik mnfaat sblum trlewat. Amin Ya Rabb.

Khusyuknyer semua org. Fadil, hang tgh wat ape tue? haha.yg aku,Hazin,Zaki ,Majdi, pulak, tgh cover mcho.hihi.Yg lain, pon khusyuk.

2 periuk pon dah habis. Nasi Kabsah dan sup tulang katakan.Sedap sgt, sampai mjilat jari.

 
Kawan2 kiter, dok bersandar kekeyangan. Syukran chef2 utama.

Smgtnyer kwan kiter nie mkn. Mmg kna hbiskan. Xelok mmbazir..

Friday, April 2, 2010

Sains, teknologi dalam membina ketamadunan

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Friday, April 02, 2010 0 comments

Ilmuwan Islam perlu lebih berdaya saing dalam proses pencarian pelbagai ilmu

KAEDAH saintifik menekankan bagaimana untuk melakukan uji kaji, penyelidikan dan mengesahkan penemuan yang dimulakan saintis Islam dulu menjadi sumbangan besar kepada pembangunan peradaban hingga ke hari ini.

Acuan asas yang diguna pakai oleh saintis dalam pelbagai bidang penyelidikan itu juga bukti kegemilangan umat Islam yang jika tidak disebarkan kepada Barat maka tidak wujud apa yang dinamakan zaman pembaharuan.  
Acuan asas yang diguna pakai oleh saintis dalam pelbagai bidang penyelidikan itu juga bukti kegemilangan umat Islam yang jika tidak disebarkan kepada Barat maka tidak wujud apa yang dinamakan zaman pembaharuan.
Bagaimanapun, Naib Canselor Universiti Tenggara Dhaka, Bangladesh, Prof Dr M Shamsher Ali, berkata ketamadunan yang berkembang bukan hasil satu bangsa sahaja, sebaliknya sumbangan semua negara di dunia ini.

“Semua negara, lelaki dan wanita sejak berabad lalu menyumbang kepada pembangunan peradaban moden dan Islam mempunyai asas yang baik memulakannya. Hari ini saya bercakap mengenai sains dan teknologi untuk menunjukkan apa yang kita panggil ketamadunan.

“Saintis kontemporari perlu diberitahu perkara ini bukan untuk melihat ke belakang tetapi maju ke depan kerana apa orang lain boleh buat, kita pun boleh,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sumbangan Muslim kepada Sains dan Teknologi’ di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) di ibu negara baru-baru ini.

Katanya, kelebihan saintis Islam ialah keimanan yang menjadi tonggak proses pencarian pelbagai ilmu serta rasa tanggungjawab untuk melaksanakan tugas, menyampaikannya sebagai ibadat kepada Allah SWT.
Shamsher yang juga Presiden Akademi Sains Bangladesh berkata, nama besar dalam bidang sains dan teknologi sering merujuk sumbangan ilmuwan Islam terdahulu yang berjaya menghasilkan penemuan menjadi sebutan serta rujukan hingga kini.

Antaranya, Ibn Haitham yang dikenali Bapa Optik Moden berjaya membuktikan manusia melihat objek daripada pantulan cahaya dan masuk ke dalam mata mengetepikan teori mengatakan manusia melihat daripada cahaya dihasilkan dalam mata sendiri.

Sementara sumbangan Al-Khawarizmi ialah kitab matematik al-Jabr yang memperkenalkan sistem angka termasuk angka sifar yang kemudian diterjemahkan kepada bahasa lain untuk memudahkan penguasaan ilmu matematik.

Justeru katanya, cabaran ahli sains sekarang ini ialah untuk berusaha gigih menggunakan kaedah saintifik yang asas dimulakan saintis dulu untuk menangani masalah lebih kompleks dalam dunia persaingan lebih hebat.

“Cabaran kita lebih besar kerana jika kita boleh buat dan temui seperti saintis pada masa dulu ia tidak mencukupi disebabkan dunia sekarang makin mencabar dan jurang persaingan terus berkembang. Bagi saintis Islam kontemporari mereka memerlukan kerja keras dan keyakinan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, jumlah saintis Islam kontemporari hari ini begitu membanggakan melihat kepada jumlah golongan muda yang bekerja di makmal maju di seluruh dunia serta pembabitan mereka dalam bidang penting.

Malah katanya, tahap kebijaksanaan dan kemahiran pelajar dari Asia Tenggara, Asia Barat dan Latin Amerika menunjukkan mereka mempunyai peluang menguasai sains dan teknologi dengan syarat bersedia mengambil peluang serta mendapat latihan dengan baik.

Sementara itu, menjawab kepada persoalan penggunaan kaedah saintifik dalam bidang lain contohnya pengajian agama, Shamsher berpendapat tiada pembahagian atau perbezaan kerana pencarian ilmu memerlukan pendekatan menyeluruh.

“Baca surah al-Alaq dan kita akan faham bahawa ilmu adalah cahaya dan kejahilan bermakna kegelapan. Oleh itu gunakan apa juga cara mendalami ilmu termasuk menggunakan pendekatan saintifik.

“Tidak dinafikan ada juga kaedah tidak baik yang dicipta daripada ilmu dipelajari tetapi sebagai manusia kita perlu tahu tanggungjawab kepada orang lain. Saintis adalah ilmuwan tetapi mereka ada tanggungjawab perlu dipenuhi kepada Pencipta-Nya,” katanya.
Sumber : Bharian 

Ulama'

Blogger Tricks Habib Omar Dr.Yusuf
Dr.Wahbah Zuhaily Dr.Ramadhan Buoti Harun Yahya Darul Ifta' darussyifa' PUM

Tolabah

pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya

Akhbar

Harakah keadilan TranungKite tkodaily detikdaily PahangDaily suarakampus Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan jazeera jazeera MyKKK

Tv Online

tvkltan tvpas tvceramah RTM tv3 tv7 8TV tv9 tvseries
 

Mohamad Mustakim Bin Sarmuji Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez