Followers

Monday, April 19, 2010

Permulaan Tahun Dukacita Nabi SAW

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Monday, April 19, 2010

TAHUN ke-10 selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW itu banyak mencatatkan peristiwa bersejarah selepas berakhirnya tempoh sekatan ekonomi terhadap umat Islam. Ini kerana sedikit sebanyak sekatan yang menyebabkan penderitaan umat Islam itu turut memberi kesan terutamanya kepada mereka yang berusia lanjut, seperti bapa saudara kesayangan nabi, Abu Talib.

Bapa saudara baginda menghembus nafas terakhirnya pada tahun tersebut iaitu pada bulan Rejab, enam bulan selepas berakhirnya episod memboikot umat Islam itu.

Di samping usianya yang begitu lanjut iaitu dikatakan 80 tahun, Abu Talib bukan sahaja lemah kerana ditelan usia tetapi pelbagai tekanan dan ujian yang beliau tanggung kerana selama ini, iaitu selama 42 tahun yang begitu melindungi anak saudaranya itu.

Taraf kesihatan Abu Talib yang semakin membimbangkan itu sampai ke pengetahuan orang ramai. Kalangan para pembesar Quraisy yang masih kafir terus beranggapan bahawa saat keuzuran Abu Talib inilah peluang terakhir mereka bagi menyekat kegiatan dakwah Islam yang diterajui oleh anak saudara Abu Talib itu.

Sekali lagi mereka mengunjungi Abu Talib untuk diajak berunding mengenai Nabi Muhammad di hadapan Abu Talib supaya menyerahkan sahaja baginda kepada mereka.

"Demi Allah kita tidak akan selamat jika mereka terlepas daripada kita. Kita bimbang kalau orang tua itu mati, lalu terjadi sesuatu kepada Muhammad maka akan semakin tercemarlah nama baik kita di kalangan orang Arab," kata para pembesar Quraisy itu.

Lalu terdiri dari kalangan para pembesar yang terkenal seperti Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Abu Jahal bin Hisham, Ummayyah bin Khalaf dan Abu Sufyan bin Harb mereka pun beramai-ramai menemui Abu Talib yang sedang sakit itu.

Mereka pun berkata: "Hai Abu Talib, kedudukan kamu di kalangan kami adalah seperti yang kamu tahu tetapi sekarang kamu dalam keadaan sakit.

"Kami amat bimbangkan kamu dan engkau sendiri tahu persoalan antara kami dengan anak saudaramu.
"Oleh itu tinggalkanlah dia, ambillah apa-apa daripada kami untuknya dan ambillah apa-apa daripadanya untuk kami agar dia berhenti mengancam kami dan kami juga berhenti mengancamnya. Biarlah kami dengan agama kami".

Setelah mendengarkan itu, Abu Talib hanya mampu menyerahkan segala keputusan kepada anak saudaranya sendiri bagi menentukannya.

Lalu Nabi Muhammad pun dipanggil dan diberitahu akan segala niat para pembesar Quraisy itu. Setelah memahami tawaran pihak Quraisy itu dan kini tiba giliran baginda pula membuat tawaran terhadap mereka.
"Apakah pandangan kamu jika aku berikan kepada kamu satu kalimah untuk kamu ucapkan. Iaitu apabila kamu mengucapkan kalimah itu kamu akan menguasai semua orang Arab dan semua orang Ajam akan tunduk dan membayar jizyah kepada kamu?" kata baginda.

Mereka yang hadir terus terdiam dan kebingungan dengan kata-kata tawaran Nabi SAW itu kerana mereka tidak tahu bagaimana hendak menolak satu kalimah yang manfaat atau faedahnya begitu menarik dan lumayan sekali.
Abu Jahal pun berkata: "Apakah kalimah itu? Demi Bapamu, kami sanggup memberikan kepadamu sepuluh kali ganda seumpamanya".

Lantas baginda terus menjawab: "Katakan bahawa tiada tuhan selain Allah dan tinggalkan sembahan yang kamu sembah selain dari Allah".

Mendengarkan itu mereka terus bersorak marah dan bertepuk tangan serta berkata: "Hai Muhammad, apakah kamu hendak menjadikan tuhan-tuhan yang banyak itu menjadi satu tuhan sahaja? Sesungguhnya urusan tawaran kamu ini menghairankan".

Mereka kemudiannya berkata sesama sendiri, iaitu: "Demi Allah lelaki ini (Muhammad) ini tidak akan memberi apa-apa kepada kamu seperti yang kamu mahu. Ayuhlah beredar dan teruslah kekal dengan agama nenek moyang kamu sehingga Allah menjatuhkan keputusan antara kita dan dia".

Mereka kemudiannya beredar meninggalkan Muhammad dan bapa saudaranya, Abu Talib yang semakin lemah itu.

Sehubungan perkara inilah Allah kemudiannya menurunkan ayat al-Quran iaitu dari surah al-Sad, ayat 1-7. yang bermaksud: Sadd: demi al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi peringatan dan pengajaran. (Orang yang mengingkari kerasulanmu - Wahai Muhammad - tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong, angkuh dan suka menentang kebenaran. (Tidakkan mereka menyedari) berapa banyak umat-umat (yang engkar) yang terdahulu dari mereka kami binasakan?

Namun Rasulullah kini mempunyai usaha yang lebih mencabar untuk dilaksanakan.

Tidak sahaja berada di sisi bapa saudara di saat-saat akhir riwayatnya tetapi yang lebih penting lagi, agar Abu Talib turut bersamanya untuk mengimani Allah sepenuhnya dengan Islam sebagai agama yang mesti dianuti.
Namun saat-saat Abu Talib semakin nazak, berita keadaannya itu sampai kepada Abu Jahal, cepat-cepat orang yang paling kuat menentang Islam itu datang melihat Abu Talib yang ketika itu Nabi SAW berada di sisi bapa saudaranya yang sedang bertarung dengan maut.

Tanpa mempedulikan kehadiran Abu Jahal, Nabi Muhammad pun berkata: "Wahai bapa saudaraku, ucapkanlah Tiada Tuhan Melainkan Allah! Perkataan yang membolehkan aku membela kamu pada hari akhirat kelak".

Namun jahatnya Abu Jahal, beliau cuba menghalang Abu Talib dari mengucap dua kalimah syahadah dengan diracunnya bapa saudara Nabi itu dengan kata-kata: "Hai Abu Talib, adakah kamu tidak suka dengan agama (menyembah berhala) Abdul Mutalib, bapa kamu sendiri?"

Begitulah setiap kali Nabi Muhammad cuba mengajarkan Abu Talib yang nazak untuk mengucap, tiap kali itu jugalah Abu Jahal menganggu.

Kata Abu Jahal lagi kepada Abu Talib: "Demi Allah wahai Abu Talib, kalau kamu melafazkan kalimah itu kami akan memalukan kamu selama-lamanya!"

Lalu akhirnya yang terjadi seperti menjadi pertikaian oleh ramai pihak namun dikatakan Abu Talib akhirnya meninggal dunia tanpa sempat beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Walaupun dalam banyak peristiwa dan perkataan sebelum ini mengenai kepercayaan tinggi yang ditunjukkan oleh Abu Talib terhadap Allah dan lebih-lebih lagi pembelaannya terhadap Nabi Muhammad, dengan sentiasa membenarkan kata-kata baginda itu.

Ini dikatakan apabila Abu Talib berkata sebelum menutup mata buat selama-lamanya: "Aku takut nanti bangsa Arab memalukan aku dengan hal ini lalu aku memilih di atas agama Abdul Mutalib!"

Jadi benarlah Abu Talib akhirnya meninggal tanpa sempat beriman atau dengan perkataan lain, meninggal dalam keadaan kafir.

Itulah permulaan kisah 'Tahun Dukacita' yang Rasulullah alami, kerana yang berlaku tiga hari kemudian selepas bapa saudara kesayangan baginda meninggal itu, adalah lebih menyedihkan.

0 comments on "Permulaan Tahun Dukacita Nabi SAW"

Post a Comment

Ulama'

Blogger Tricks Habib Omar Dr.Yusuf
Dr.Wahbah Zuhaily Dr.Ramadhan Buoti Harun Yahya Darul Ifta' darussyifa' PUM

Tolabah

pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya

Akhbar

Harakah keadilan TranungKite tkodaily detikdaily PahangDaily suarakampus Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan jazeera jazeera MyKKK

Tv Online

tvkltan tvpas tvceramah RTM tv3 tv7 8TV tv9 tvseries
 

Mohamad Mustakim Bin Sarmuji Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez