Pembunuhan Dato' Sosilawati :
Mencari Keadilan
Menurut Undang2 Jenayah Syariah
MUQADIMAH.
Kes
jenayah semakin menjadi-jadi di negara kita. Peristiwa pembunuhan Dato’
Sosilawati bersama beberapa orang yang lain antara peristiwa jenayah
yang paling menggemparkan yang bukanlah jenayah pembunuhan episod
pertama di dalam negara kita dan juga pastinya bukanlah yang terakhir.
Peristiwa yang cukup mengejutkan apabila penjenayah terbabit dikaitkan
dengan beberapa siri jenayah pembunuhan yang belum dapat diselesaikan
sebelum ini. Ini menunjukkan betapa banyaknya kes jenayah pembunuhan
yang tidak mampu dibongkar di negara ini. Persoalan yang perlu
difikirkan bersama ialah, sampai bilakah jenayah melibatkan pembunuhan
akan berakhir dan adakah ianya akan menjadi kebiasaan sebagaimana
kes-kes kecurian, pecah rumah dan rompakan bersenjata?
ASPEK PENILAIAN.
Antara
aspek yang perlu difikirkan bersama ialah aspek perundangan. Ini
kerana, perundangan antara aspek yang memberikan kesan pertambahan dan
pengurangan jenayah itu sendiri. Setelah polis berjaya menangkap
penjenayah setelah berhempas pulas mempertaruhkan nyawa dan jiwa mereka,
ianya akan diserahkan kepada mahkamah untuk dibicarakan. Apabila
dibicarakan, akhirnya hakim akan membuat keputusan berdasarkan ruang
lingkup perundangan yang sedia ada, bukan menurut kehendak dan keinginan
hakim itu sendiri. Di sinilah titik terakhir dalam proses penyelesaian
kes-kes yang melibatkan jenayah. Jika ia berjaya, maka mangsa jenayah
akan terbela, penjenayah akan insaf dan serik, penjenayah yang belum
ditangkap berhenti daripada aktiviti jenayah mereka bahkan menjadi
penamat bagi kelahiran bakal-bakal penjenayah yang baru.
Di
samping kecekapan anggota keselamatan serta sistem kawalan keselamatan
individu yang perlu dikaji dan dipertingkatkan, DPPP merasakan bahawa
undang-undang yang menjadi titik penamat bagi sesuatu kes jenayah adalah
amat penting untuk dinilai bersama. Jika undang-undang berjaya menjadi
pendidik, pengancam dan pencegah jenayah, maka pihak polis tidak perlu
bertungkus lumus mempertaruhkan jiwa dan nyawa mereka serta meletakkan
isteri, anak-anak dan keluarga mereka di dalam kebimbangan.
Begitu
juga halnya dengan hakim, peguam-peguam dan seumpamanya. Mereka juga
bukanlah golongan yang bertanggungjawab sepenuhnya apabila penjenayah
yang mereka jatuhi hukuman tidak serik atau hukuman itu tidak
menginsafkan atau tidak mencegah jenayah baru daripada berlaku sekalipun
sudah terlalu banyak penjenayah dijatuhkan hukum. Ini kerana, mereka
tidak boleh menjatuhkan hukuman sesuka hati mereka justeru mereka juga
terikat dengan undang-undang yang sedia ada, khususnya sistem kehakiman
dan undang-undang itu sendiri.
Oleh
itu, penting untuk dibuat penilaian terhadap sistem kehakiman dan
undang-undang negara supaya ianya lebih berperanan dan lebih berkesan di
dalam menurunkan atau mengsifarkan kadar jenayah. Atau dengan kata
lain, lebih bersifat mencegah daripada berlaku, menginsafkan yang dah
dilakukan, membela keluarga mangsa dan mengamankan negara, iaitu
ciri-ciri perundangan Syari’ah Islam.
HUDUD DAN QISAS SEBAGAI PERBANDINGAN.
Alternatif
dan perbandingan yang boleh kita fikirkan bersama ialah berkenaan Hudud
dan Qisas yang sudah terbukti keberkesanannya di dalam bukan sahaja
menyelesaikan masalah jenayah, bahkan mencegahnya daripada berlaku.
Sekalipun pada hari ini hukum itu sudah tidak wujud di negara kita dan
dunia amnya, tetapi penamatan perlaksanaannya bukan kerana terbukti
kegagalannya, tetapi akibat daripada penjajahan yang ‘memaksa’ untuk
merubah sistem perundangan tersebut kepada sistem mereka.
Berterusan
di dalam mempertahankan undang-undang konvensional yang terbukti
kegagalannya di dalam mencegah jenayah membuktikan bahawa sebenarnya
kita masih berada di dalam minda penjajahan. Kegagalan undang-undang
penjajah sudah cukup terbukti dan sepatutnya sekaranglah masa sesuai
untuk berfikir undang-undang terbaik yang berkesan mengatasi jenayah.
Saranan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru, tetepi telah
diluahkan oleh beka Ketua Hakim negara, Tun Ahmad Fairuz Syeikh Abdul
Halim yang pernah menyifatkan penggunaan Common Law hanya menggambarkan
minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah. Beliau tidak
berseorangan di dalam cadangan ini, bahkan juga turut disertai oleh
Peguam Negara, Tan Sri Abd. Ghani Patail. Beliau pernah berkata bahawa
undang-undang Syari’ah adalah yang terbaik kerana ia menekankan kepada
keadilan dan pembahagian hak yang sama.
Penerimaan
undang-undang Syari’ah pada hari ini sudah semakin tersebar hanya di
negara kita, tetapi sehingga ke negara barat sendiri. Pernah seorang
paderi bernama Dr Rowan Williams telah meminta agar Undang-undang
Syari’ah dilaksanakan di Barat. Rowan adalah Archbishop Canterbury iaitu
pemimpin terhadap 77 juta pendokong Anglican di seluruh dunia. Tapi,
beliau tiada kuasa untuk menjadikan 38 bishop bawahannya akur di bawah
kekuasaannya. Sekalipun undang-undang Syari’ah yang dicadangkannya
bukanlah qisas yang sedang kita perbincangkan, tetapi ianya menunjukkan
bahawa undang-undang Syari’ah adalah undang-undang yang relevan untuk
dilaksanakan bukan sahaja di dalam negara umat Islam seperti di
Malaysia, bahkan di Britain yang merupakan negara rujukan kepada
undang-undang negara kita. Tetapi disebabkan oleh penyakit Islamfobia,
maka akhirnya pintu cadangan yang telah dibuka oleh Dr Rowan tersebut
ditutup tanpa perbahasan dan pengkajian yang lebih mendalam.
Oleh
itu, kita sebagai sebuah negara merdeka, merdeka tubuh badan dan
pemikiran sepatutnya kita bersedia untuk keluar dari kepompong tersebut
untuk kita mula memikirkan alternatif kepada undang-undang pada hari
ini. Antaranya ialah, dengan kita membuka minda kita terhadap
undang-undang jenayah Syari’ah, khususnya Qisas yang relevan untuk
diaplikasikan dalam kes seperti pembunuhan Dato’ Sosilawati. Di sini
kita akan dapat lihat dengan jelas perbezaan-perbezaan asas yang penting
di antara undang-undang Syari’ah Qisas dan undang-undang yang sudah
sedia di amalkan, iaitu perbezaan dari sudut pendakwaan dan penyiasatan,
penghukuman dan perlaksanaan dan juga pengampunan dan pampasan.
Di
dalam undang-undang Syari’ah, kes pembunuhan lebih bersifat hak
individu. Ini bermaksud, apabila berlaku jenayah yang membabitkan
kematian, maka hak untuk mendakwa dan menyiasat adalah hak yang dipunyai
oleh keluarga si mangsa. Oleh itu, para keluarga si mangsa berhak
membuat pendakwaan sendiri jika mereka berkemampuan, atau melantik pihak
lain yang berkemampuan. Jika keluarga si mangsa tidak mampu untuk
membuat pendakwaan seperti tiada kepakaran atau kebolehan serta tidak
mampu untuk mencari pihak yang boleh mewakili mereka disebabkan kos atau
seumpamanya, maka pendakwaan itu menjadi kewajipan ke atas pihak
pemerintah bagi pihak keluarga mangsa.
Dalam
keadaan keluarga si mangsa tidak mampu untuk menjalankan penyiasatan
dan pendakwaan secara bersendirian, maka pihak kerajaan wajib memainkan
peranan membantu keluarga si mangsa. Ketidakmampuan ini termasuklah
seperti ketidak upayaan untuk menanggung kos siasatan, seperti kos
membuat forensik berkaitan keesahan tandatangan yang boleh mencecah
RM2000, kos selaman dan lain-lain. Tuntasnya, leader siasatan ialah
keluarga mangsa, manakala kerajaan pula wajib membantu aspek-aspek yang
tidak diupayai oleh keluarga si mangsa.
Firman Allah swt bermaksud:
dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia Yang diharamkan oleh
Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang
dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya
berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam
menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat
sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). – (Al-Israa’: 33).
Dalam
konteks perundangan di Malaysia pada waktu ini, ada baiknya kuasa
mutlak Peguam Negara untuk mendakwa itu diintegrasikan dengan keluarga
mangsa, di mana Peguam Negara perlu mendapatkan pandangan keluarga si
mangsa sebelum meneruskan pendakwaan. Ini adalah sebagai pendekatan yang
lebih adil dan perubahan mampu yang paling dekat boleh dilaksanakan,
sekalipun ia tidak seratus peratus bertepatan dan seadil hukum Islam.
Dalam
sistem hari ini jelas boleh membuka pintu penyelewengan khususnya
apabila penjenayah melibatkan golongan atasan yang mempunyai kuasa
politik, atau pihak yang korup terlibat di dalam pendakwaan dan
seumpamanya. Maka kes-kes jenayah berat seperti ini boleh diabaikan
begitu sahaja, atau akan tertangguh sehingga tempoh yang tidak
berkesudahan.
Jika
perlaksanaan undang-undang Syari’ah ini, maka kes Memali tidak akan
bertangguh begitu lama, keluarga mendiang Al-Tantuya akan pulang dengan
hati lebih puas dan juga nescaya isu kepada punca kematian Teoh Beng Hok
tidak akan berbangkit.
Tetapi
di dalam realiti hari ini, keluarga si mangsa bukan setakat tidak
mempunyai hak pendakwaan bahkan tiada hak untuk akses maklumat berkaitan
kes, tidak sebagaimana di dalam hukum Syari’ah Islam.
PENGHUKUMAN DAN PERLAKSANAAN.
Apabila
si tertuduh di dapati bersalah, maka hak untuk menjatuhkan hukuman
adalah merupakan hak keluarga si mangsa. Menurut hukum Syari’ah, jika si
mangsa mati dibunuh oleh seseorang penjenayah, maka keluarga mangsa
sendiri berhak untuk menjatuhkan hukuman balas terhadap penjenayah
terbabit. Firman Allah swt bermaksud: maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. – (Al-Israa’: 33).
Jika
pembalasan balik terhadap penjenayah tidak mampu dilakukan sama seperti
yang dilakukan, keluarga mangsa berhak membalas dalam bentuk yang lebih
minimum. Islam tidak membenarkan pembalasan yang dilakukan oleh
keluarga mangsa melebihi perbuatan jenayah yang telah dilakukan oleh si
penjenayah bagi memastikan hak keadilan si penjenayah juga mesti
dipelihara. Firman Allah swt: oleh itu sesiapa yang melakukan
pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang
dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu
kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah beserta orang-orang
yang bertaqwa. – (Al-Baqarah: 194),
Seringkali
apabila kita bercerita tentang cara hukuman di laksanakan di dalam
Islam, umum seolah-oleh melihat Islam itu keras. Tetapi sebenarnya
apabila dibandingkan dengan jenayah yang dilakukan, kesakitan yang
dirasakan oleh mangsa, kesan kepada masyarakat dan bebanan yang dipikul
oleh keluarga, maka kita akan melihat hukuman itu cukup adil. Justeru
itu, masyarakat tidak perlu fobia dengan hukuman ini kerana hukuman ini
bukan dijatuhkan kepada mereka yang tidak bersalah, tetapi hukuman ini
adalah setimpal dijatuhkan kepada mereka yang melakukan kesalahan
membunuh, satu jenayah berat yang boleh meletakkan masyarakat di dalam
ketakutan.
Bagi
keluarga mangsa, tentulah cara Islam ini lebih dicenderungi justeru ia
boleh mengubat perasaan dendam dan perasaan tidak puas hati terhadap
penjenayah yang menjadi punca kepada kehilangan orang yang tersayang
atau individu yang menjadi tempat pergantungan hidup jika si mangsa
adalah bapa kepada keluarga terbabit.
Apabila
keluarga mangsa tidak mampu melaksanakan hukuman tersebut, maka ia
boleh mewakilkan kepada pihak kedua atau mewakilkan kepada pihak
kerajaan untuk melaksanakan hukuman ini.
PENGAMPUNAN DAN PAMPASAN.
Setelah
si penjenayah di dapati bersalah, jika keluarga si mangsa menuntut
pembalasan untuk membunuh balas, maka tidak ada pihak termasuk kerajaan
atau Khalifah yang boleh memberikan keampunan dan pembebasan si
penjenayah.
Dalam
masa yang sama, keluarga mangsa juga berhak untuk memberikan
pengampunan kepada si penjenayah sama ada pengampunan yang bersyaratkan
pampasan atau dikenali sebagai Diat menurut istilah Fiqh Islam, atau
pengampunan tanpa apa-apa balasan.
Apabila
keluarga si mangsa memberikan pembebasan dan pengampunan kepada si
penjenayah dan menuntut wang pampasan Diat, maka wang itu hanya berhak
diterima oleh keluarga si mangsa, bukan pihak yang lain. Firman Allah
swt yang bermaksud: maka sesiapa (pembunuh) yang mendapat keampunan
dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang
mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa),
dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu
dengan sebaik-baiknya. Yang
demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat
kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas
dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. – (Al-Baqarah: 178)
Kerajaan
menurut Syari’ah Islam, adalah dilarang keras memberikan keampunan
kepada si penjenayah tanpa izin daripada keluarga mangsa dan mengambil
wang bayaran tertentu daripada si penjenayah tanpa diberikan kepada
keluarga mangsa. Ini di istilahkan sebagai Suhtun, iaitu wang keampunan
bagi mengabaikan hak keluarga mangsa. Suhtun dianggap seperti rasuah,
iaitu kerajaan menerima bayaran daripada penjenayah, membebaskannya
serta melindunginya daripada balas dendam keluarga mangsa.
Dengan
kata lain, jika seseorang pembunuh yang di dapati bersalah diampunkan
oleh lembaga pengampunan, jika keluarga mangsa masih tidak berpuas hati
dan seterusnya mengambil tindakan membunuh atau mencederakan si
penjenayah tadi, maka keluarga si mangsa pula akan menerima hukuman
akibat perbuatan membalas dendam tersebut. Oleh itu, Islam menganggap
ianya adalah bentuk rasuah, tetapi mengistilahkannya sebagai Suhtun,
iaitu istilah khusus bagi pembayaran wang yang melibatkan kezaliman,
sebagaimana tafsiran Ibnu Masud yang diriwayatkan oleh Imam Tabari di
dalam tafsirnya.
Walau
apapun istilahnya, perbuatan mengambil wang oleh kerajaan tanpa izin
keluarga mangsa adalah merupakan kesalahan yang besar menurut Islam
kerana telah menceroboh hak keluarga si mangsa dan juga bercanggah
dengan hak yang diberikan oleh Allah kepada mereka melalui ayat 33,
surah Al-Israa’ dan ayat 178 surah Al-Baqarah.
KESAN PERLAKSANAAN HUKUM ISLAM.
Daripada
penjelasan di atas, jelas menunjukkan kepada kita kesan daripada
perlaksanaan hukum Syari’ah Qisas yang tidak terdapat di dalam
undang-undang Inggeris pada hari ini. Antara terpenting ialah:
1. Menutup pintu rasuah:
apabila keluarga mangsa adalah pihak yang paling bertangungjawab untuk
melakukan pendakwaan dan pengumpulan bukti, maka tidak ada ruang untuk
rasuah boleh berlaku. Maka tidak ada ruang untuk orang politik, orang
kaya dan orang yang berpengaruh untuk merasuah pendakwaraya, pegawai
penyiasat dan seumpamanya, jika kes pembunuhan membabitkan golongan
seperti ini. Mereka tidak ada ruang untuk merasuah pendakwaraya kerana
pendakwa itu adalah keluarga mangsa yang menuntut pembalasan, mereka
tidak ada ruang untuk merasuah pegawai penyiasat kerana pegawai
penyiasat adalah lantikan yang dipercayai oleh keluarga mangsa atau
penyiasat itu adalah keluarga mangsa sendiri. Cara Islam ini bukan
setakat menutup ruang-ruang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa,
tetapi ia juga dapat menghindari wasangka perlakuan rasuah dan salah
guna kuasa.
2. Bebas daripada penipuan dan penyembunyian fakta kes:
Setelah diyakini siasatan dan dakwaan bebas daripada rasuah, maka
sepastinya ianya akan bebas daripada penipuan dan penyembunyian fakta
kes. Ini kerana, apabila pihak yang berhak untuk membuat pendakwaaan dan
penyiasatan adalah keluarga si mangsa sendiri sebagaimana disebutkan
sebelum ini, maka sudah tentu mereka akan mengorek dan mencari bukti
pembunuhan sehingga ke lubang cacing. Kesungguhan mereka sepastinya
kesungguhan yang maksimum justeru mangsa adalah orang yang tersayang.
Ini berbeza jika penyiasatan pendakwaan dan pencarian bukti dibuat oleh
orang lain yang bukan kerabat atau suku sakat kepada si mangsa,
sekalipun ianya bergelar kerajaan atau polis. Sepastinya usaha mereka
tidak semaksimum usaha yang dilakukan oleh keluarga mangsa itu sendiri.
3. Membela nasib keluarga mangsa:
Jika keluarga si mangsa sangat bergantung kewangan dan sumber
pendapatan kepada al-marhum atau mendiang dan jika mereka ingin
memberikan peluang kedua kepada si penjenayah, maka nasib mereka akan
terbela dengan wang Diat pampasan yang diperolehi daripada si
penjenayah. Ini secara langsung dapat menjadikan keluarga mangsa
terbela, bukan sahaja dari sudut hak tuntutan darah, tetapi ia juga
melibatkan pembelaan kewangan.
4. Memuaskan
hati keluarga mangsa dan mengelakkan daripada membalas dendam: antara
yang terpenting di sebalik undang-undang jenayah Syari’ah ialah,
keluarga mangsa akan berpuas hati dengan hukuman dan perlaksanaanya.
Istilahnya disebutkan sebagai Al-Jabr di dalam Fiqh Islam. Apabila puas
hati berlaku di kalangan keluarga mangsa, maka tidak timbul isu balas
dendam terutamanya apabila penjenayah dibebaskan dengan pengampunan
bukan keluarga mangsa atau dibebaskan dengan bukti yang keluarga mangsa
tidak berpuas hati terhadap bentuk siasatannya.
5. Menghalang golongan yang berkuasa daripada terbebas:
apabila jenayah dilakukan oleh mereka yang mempunyai kuasa di dalam
negara, seperti pemimpin-pemimpin politik tertinggi di dalam negara,
atau mereka yang mempunyai pertalian darah atau pertalian kroni dengan
mereka, atau melibatkan pihak polis sendiri atau seumpamanya, maka ruang
untuk mereka terlepas adalah terbuka justeru mereka mempunyai kuasa
sekalipun secara tidak lansung dengan pihak-pihak yang terbabit dengan
pendakwaan. Tetapi di dalam sistem Islam, sistem yang telus dan adil
adalah mustahil bagi golongan seperti ini untuk terlepas justeru kuasa
pendakwaan, penyiasatan dan penemukaan bukti adalah di bawah kuasa
keluarga mangsa sebagai kuasa pendakwa.
KESAN PENCEGAHAN.
Antara
yang menjadi Maqasid Syariyyah di dalam perlaksanaan hukum hudud Islam
ialah konsep pencegahan. Menurut keyakinan golongan yang beriman,
apabila hukuman ini dilaksanakan, maka yang mencegah daripada berlakunya
jenayah bukannya hakim, bukannya polis dan bukannya kerajaan, tetapi
yang mencegahnya ialah Allah swt. Di sinilah sebenarnya letaknya paksi
dan rahsia utama kurangnya jenayah di dalam negara yang mengamalkan
hukum Syari’ah.
Ini
dilogikkan dengan punca sebenar kepada berlakunya jenayah ialah
disebabkan tiada sifat dan perasaan takut di dalam diri mereka untuk
melakukan jenayah. Justeru itu, mereka tidak pernah terfikir dua kali
untuk memukul, menikam dan menembak orang lain apabila tiada perasaan
takut di dalam diri mereka. Hakikatnya,
perasaan takut bukan perkara yang boleh dengan senang difaktorkan oleh
perbuatan manusia, hatta dengan undang-undang itu sendiri. Lihat sahaja
undang-undang gantung mandatori bagi pengedar-pengedar dadah, ia tidak
menggerunkan para pengedar sekalipun hukumannya cukup berat.
Justeru
itu, yang mampu memasukkan perasaan takut di dalam diri penjenayah
adalah tuhan yang mencipta manusia itu sendiri, iaitu Allah swt. Maka
dengan ini, masyarakat akan terus hidup di dalam aman dan damai, tidak
takutkan keselamatan nyawa mereka atau keluarga mereka yang tersayang,
justeru jaminan Allah swt yang bermaksud: dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa. – (Al-Baqarah: 179). Inilah kepercayaan yang wajib diimani oleh setiap mukmin yang beriman.
Walau
bagaimanapun, ini bukanlah satu paksaan untuk golongan bukan Islam
untuk mempercayainya. Tetapi mereka berhak untuk membuat
penilaian-penilaian terhadap perbandingan antara undang-undang Islam
dengan undang-undang konvensional yang disebutkan di atas jika si mangsa
adalah keluarga mereka, kerabat mereka, sahabat mereka atau orang yang
mereka sayangi.
KESIMPULAN.
Daripada
perbincangan di atas, sudah tiba masanya untuk masyarakat di dedahkan
dengan hukum hakam perundangan Islam sebagai alternatif penyelesaian
kepada kemelut jenayah yang berlaku pada hari ini.
Dengan
ini juga kita dapat melihat dengan jelas, bahawa jika keluarga mangsa
diberikan pilihan antara hukum Islam dengan hukum yang bukan Islam,
nescaya hukum Islam adalah pilihan mereka, bukan kerana pemilihnya
adalah Islam atau tidak, tetapi kerana hukum ini lebih dekat dengan hati
mereka, lebih dilihat bersifat membela hak mereka, tanpa mengira sama
ada mereka Islam atau bukan Islam.
Hukum
Islam yang hakikatnya lebih bersifat dekat dengan hati masyarakat
pernah dibuat kajian sekitar 279 responden yang terdiri daripada
pelbagai bangsa dan agama oleh Majlis Penyelidikan dan Pengkajian Hukum
(MPPH), Dewan Ulama PAS pusat pada tahun 2006. Tanpa menyebut ini
undang-undang Islam dan undang-undang konvensional, MPPH membuat survey
manakah satu pilihan mereka jika mereka menjadi keluarga kepada mangsa
langgar oleh pelumba-pelumba haram, atau pemandu cuai.
Yang
menariknya ialah, dalam point ini kesemua seratus peratus responden
memberikan respon memilih hukum Syari’ah Qisas tanpa menyedari
sebenarnya pilihan mereka sebenarnya adalah hukum Islam. Hasil kajian
ini juga secara tidak lansung menunjukkan, bahawa mereka yang menolak
undang-undang Islam sebenarnya akibat terpengaruh dengan serangan
Islamfobia dan sebahagiannya lebih bersifat sentimen justeru mereka
sebenarnya tidak mengenali hukum Syari’ah Islam dengan lebih dekat.
Antara sebab yang diberikan oleh responden kenapa mereka memilih hukum
tersebut, sebab yang diberikan ialah kerana hukum yang mereka pilih
lebih membela nasib mereka sebagai keluarga mangsa justeru mendapat
pampasan, berbeza dengan hukum konvensional.
Malangnya,
sebenarnya masyarakat berbilang kaum yang membuat pilihan tersebut,
yang mereka anggap sebagai adil dan membela nasib mereka, tidak memahami
sebenarnya mereka sedang memilih hukum Qisas. Justeru itu, PAS
khususnya dan semua peringkat pendakwah Islam amnya, sama ada individu
atau NGOs Islam perlu mempergiatkan dakwah memperkenalkan kepada
masyarakat sama ada muslim atau non-muslim tentang hukum Qisas yang
sebenar berbanding undang-undang konvensional, supaya masyarakat bebas
berfikir dan membuat pilihan yang lebih adil untuk mereka.
Hukum
ini sebenarnya tidak boleh ditanya kepada penjenayah, menteri atau
kerajaan sahaja, tetapi lebih utama hukum ini ditanyakan kepada keluarga
mangsa, justeru mereka adalah penanggung kesan jenayah, berbanding
menteri atau pihak kerajaan.
Bagi
penjenayah dan mereka yang terlibat dengan korupsi, penyalahgunaan
kuasa, penyelewengan dan jenayah semestinya dan sepastinya mereka
menolak hukum Islam justeru mereka tidak berpeluang untuk lepas,
sebaliknya mereka akan lebih suka dan selamat dengan sistem
undang-undang yang membuka ruang kepada mereka.
Justeru
itu, DPPP sangat bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am PAS, YB. Tuan
Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya kita menyelesaikan masalah
kemelut negara yang disebungi masalah jenayah dengan kembali kepada
perlaksanaan hukum Qisas.
Sumber : Ketua Pemuda PAS
