SISTEM Kewangan Islam bukan lagi sebagai alternatif kepada sistem
konvensional sebaliknya sekarang ini sistem yang bertunjangkan al-Quran
dan sunnah ini telah diterima menjadi satu kemestian dan kewajipan.
Perkembangan yang sihat ini akhirnya mendorong kepada
institusi-institusi kewangan Islam khususnya bank Islam dan takaful
berlumba-lumba untuk mengeluarkan produk dan menyediakan perkhidmatan
kepada pelanggan dan pengguna.
Namun, dalam keghairahan mengetengahkan produk dan servis terbaik
kepada masyarakat, kadang-kadang institusi kewangan Islam terlepas
pandang banyak perkara yang akhirnya menjejaskan sifat patuh syariah
yang sepatutnya menjadi elemen utama yang perlu dipelihara. Di sinilah
bermulanya kepentingan audit syariah.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Abdul Aziz dalam
ucapannya di Persidangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam Yang Kedua
bertajuk 'Peningkatan dan Keberkesanan Tadbir Urus Korporat dalam
Industri Perkhidmatan Kewangan Islam' berkata: "Ciri utama sistem
kewangan Islam terletak pada nilai etika yang tinggi yang menyokong
tadbir urus dan operasi perniagaan kewangan Islam.
"Dengan perkembangan industri tersebut yang sangat pesat dan dengan
persekitaran yang menjadi semakin kompleks dan lebih mencabar,
merealisasikan sistem kewangan yang mantap dan berdaya tahan memerlukan
wujudnya satu struktur tadbir urus yang kukuh bagi institusi kewangan
Islam.
"Pada asasnya, cabaran yang dihadapi adalah untuk mengembangkan
strategi yang akan menggalakkan pelaksanaan amalan tadbir urus korporat
yang mantap dan efektif yang juga menyokong inovasi dan operasi
perniagaan.
"Perkara penting dalam visi bersama ini adalah untuk
mewujudkan rangka kerja tadbir urus yang komprehensif bagi institusi
kewangan dan untuk merangka strategi pelaksanaan Islam yang sesuai yang
mampu memenuhi keperluan industri yang dinamik di samping meningkatkan
keyakinan dan kestabilan dalam sistem kewangan Islam".
Majlis Pengawasan Syariah (MPS) adalah entiti yang sangat penting
dalam proses membuat keputusan pengeluaran produk di institusi kewangan
Islam. MPS diberi mandat dan kuasa untuk meluluskan sesuatu produk itu
sebelum dipasarkan.
Biasanya, MPS akan membuat analisis terhadap kontrak yang
digunapakai, rukun-rukun dan syarat-syarat yang diperlukan untuk
menyempurnakan kontrak berkenaan.
MPS juga akan melihat sejauh mana produk berkenaan menepati
maqasid syariah (objektif Syariah) dan boleh mendatangkan maslahah dan menolak kemudaratan.
Namun begitu, persoalannya adalah bagaimana MPS dapat memastikan
syarat-syarat dan prosedur yang ditetapkan dapat dipatuhi sepenuhnya
oleh pengurusan syarikat dan warga kerjanya? Penyelesaian yang paling
tepat adalah dengan mengaplikasikan audit syariah.
Audit didefinisikan sebagai pemeriksaan dan pengesahan kira-kira
manakala syariah adalah hukum Islam (rujuk Kamus Dewan). Pengauditan
pula adalah proses di mana individu yang kompeten, bebas mengumpul dan
menilai segala bukti mengenai maklumat yang berhubung rapat dengan
entiti ekonomi yang spesifik.
Ia bertujuan mengenal pasti dan seterusnya melaporkan tahap
pertalian antara maklumat yang dikenal pasti dan kriteria yang
ditetapkan.
Syarikah al-Rajhi al-Masrafiyyah lil Istismar mendefinisikan audit
syariah sebagai "Pihak yang memastikan sejauh mana sesebuah institusi
kewangan Islam mematuhi syariah Islam berdasarkan keputusan yang dibuat
oleh MPS institusi terbabit.
"Justeru, audit syariah adalah satu proses untuk menganalisis,
menyemak dan memeriksa operasi dan urus tadbir sesebuah institusi
kewangan Islam itu bertepatan dengan prinsip dan garis panduan
syariah".
Sebagaimana yang digambarkan sebelum ini, institusi kewangan Islam
perlu berusaha memastikan segala urus tadbir dan operasi syarikat
bertepatan dengan syariah. Keputusan MPS sangat diperlukan di samping
bimbingan dan garis panduan untuk mengeluarkan sesuatu produk.
Justeru, fungsi audit syariah yang pertama adalah untuk memastikan
semua garis panduan dan keputusan yang dikeluarkan oleh MPS dan
dipersetujui bersama tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Secara umumnya, audit syariah ini diperlukan untuk memastikan semua
aktiviti yang berlaku di sesebuah institusi kewangan Islam itu sah dan
menepati kehendak syariah. Di samping itu, ia untuk memastikan sesebuah
institusi kewangan Islam itu memenuhi objektif dan tanggungjawabnya
sebagai sebuah entiti perniagaan Islam.
Tanpa audit syariah yang mantap sesebuah institusi kewangan Islam
itu terdedah kepada berlakunya ketidakpatuhan syariah. Hal ini perlu
dipandang serius kerana impak tidak mematuhi syariah sangat besar. Di
antaranya, melanggar perintah Allah yang memerintah supaya sesuatu
aktiviti yang hendak dilakukan mestilah mengikut syariah.
Ketidakpatuhan kepada syariah boleh menyebabkan hilangnya berkat
daripada Allah SWT. Malah ia akan merosakkan reputasi baik sesebuah
institusi kewangan Islam. Dan akhirnya, apabila menjalankan aktiviti
atau transaksi yang tidak mematuhi syariah boleh membawa kepada
penjanaan pendapatan yang tidak halal.
Audit syariah juga berperanan mengenal pasti kesilapan dan kesalahan
yang berlaku dalam urus tadbir syarikat. Justeru, ia tidak boleh hanya
dalam ruang lingkup berkaitan produk sahaja, tetapi secara menyeluruh
meliputi proses pengeluaran, pemasaran, pentadbiran dan sebagainya.
Sebagai contoh, di syarikat takaful, audit syariah perlu terlibat
mengaudit proses pengunderaitan, pembangunan produk, kelulusan produk,
pemasaran, tuntutan dan sebagainya.
Ia untuk memastikan semua perjalanan syarikat takaful tidak
mempunyai sebarang unsur yang bercanggah dengan syariah di samping
tidak menjejaskan kepentingan semua pihak termasuk para pemegang saham.
Disiplin ilmu
Oleh sebab itu, seorang juruaudit syariah bukan sahaja perlu
memahami perjalanan dan operasi syarikat yang diaudit secara
keseluruhannya, bahkan dia juga perlu menguasai beberapa disiplin ilmu
berkaitan syariah seperti fiqh dan usul fiqh.
Ini sangat penting kerana terdapat proses ataupun prosedur yang
bertepatan dengan garis panduan yang dikeluarkan syarikat, namun
bercanggah dengan prinsip dan nilai-nilai syariah.
Ini kerana, di samping mengenalpasti sebarang kesilapan dan
kesalahan, juruaudit syariah juga perlu berfungsi dalam menyediakan
cadangan penambahbaikan kepada syarikat berkenaan. Ini juga menuntut
juruaudit tersebut mengetahui aplikasi sistem dan operasi
syarikat-syarikat lain dalam pasaran untuk dibuat perbandingan dan
penilaian.
Bertitik tolak dari sini, maka juruaudit syariah akan membuat persediaan terlebih dahulu sebelum melakukan proses audit.
Di samping itu, juruaudit syariah perlu bebas dan telus dalam
melakukan proses audit. Proses pengauditan perlu dielakkan dari
unsur-unsur yang boleh menyebabkan dapatan-dapatan yang dihasilkan
tidak telus dan berat sebelah.
Ini bagi memastikan laporan audit yang dikeluarkan pada akhir proses
nanti mempunyai kualiti dan dapat digunakan oleh pihak syarikat untuk
membuat pemulihan dan penambahbaikan
Pihak syarikat juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada
juruaudit dalam melaksanakan proses pengauditan dengan memberikan ruang
masa yang mencukupi, tempat yang kondusif untuk menyimpan bahan, sampel
dan data yang ditemui.
Justeru, sebelum proses pengauditan bermula, adalah menjadi
kemestian kepada pihak pengurusan syarikat untuk mengetahui kehendak
dan keperluan juruaudit sepanjang proses pengauditan.
Mereka juga perlu membuat persefahaman tentang masa, tempoh dan
metodologi yang dilaksanakan. Ini untuk mengelakkan sebarang masalah
dari berlaku sewaktu pengauditan berlangsung.
Bagi memastikan audit syariah berlaku dengan lancar dan fokus, maka
juruaudit syariah perlu memahami terlebih dahulu keputusan-keputusan
MPS yang telah dibuat. Juruaudit boleh meminta bantuan sekretariat atau
jabatan syariah menyediakan kompilasi keputusan MPS dan bahan-bahan
lain yang boleh menjadi sumber rujukan untuk juruaudit seperti manual
syariah, syariah
checklist, laporan audit syariah pada tahun lepas dan sebagainya.
Audit syariah tidak boleh bersifat terlalu spesifik atau sempit
kepada pengeluaran produk semata-mata. Ia perlu selari dengan konsep
Islam yang menyeluruh dan merangkumi segenap aspek dan operasi syarikat.
Ini termasuklah hal ehwal pengurusan dan penerapan nilai-nilai Islam
dalam semua aspek. Ia bagi memastikan institusi berkenaan bukan sahaja
Islam dari sudut produk, tetapi juga merangkumi juga aspek-aspek yang
lain.
Rujukan utama untuk merealisasikannya adalah al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.
Audit syariah hendaklah diwujudkan sebagai satu aspek dan ciri yang
perlu dalam struktur tadbir urus institusi kewangan Islam. Ini penting
kerana ia bukan sahaja dapat menanam keyakinan orang ramai terhadap
kesucian operasi institusi kewangan Islam malah yang lebih penting
daripada itu mendapat keberkatan Allah SWT.
Institusi kewangan Islam perlu memastikan audit syariah dilaksanakan
di syarikat masing-masing supaya semua urus tadbir dan operasi syarikat
menepati prinsip-prinsip syariah. Sekali gus dapat memberikan gambaran
yang jelas bahawa sistem muamalat Islam adalah yang terbaik sesuai
dengan maksud hadis riwayat al-Baihaqi: "Islam itu tinggi dan tiada
yang lebih tinggi daripada Islam".
Sumber :
Utusan