Followers
Tuesday, March 9, 2010
Nabi Ibrahim meninggalkan Babylon
RAJA Namrud berasa amat khuatir dan risau dengan kedudukan dan kekuasaannya. Dia risau peranannya sebagai penguasa negeri Babylon akan terancam. Walau bagaimanapun, Raja Namrud tidak menunjukkan kebencian kepada Nabi Ibrahim.
Dia sedar Nabi Ibrahim merupakan seorang yang cerdik dan pintar ketika berhujah dengannya. Kini dia berasakan bukan senang untuk mengalahkan Nabi Ibrahim. Dia perlu bijak mengatur strategi supaya tindakannya tidak diketahui oleh Nabi Ibrahim.
Raja Namrud masih membiarkan Nabi Ibrahim tinggal dalam negerinya dengan bebas. Tidak ada sedikit pun ditunjukkan tanda-tanda untuk mengusir Nabi Ibrahim. Kini Nabi Ibrahim masih mampu menyampaikan dakwahnya sesuka hati tanpa diganggu oleh sesiapa.
Namun begitu, dalam diam-diam Raja Namrud mengatur pelbagai rancangan untuk memusnahkan dakwah yang disebarkan oleh Nabi Ibrahim. Dia mula mengintip setiap pergerakan Nabi Ibrahim.
Dia tidak mahu semua rakyatnya terpengaruh dengan ajaran baru yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan meninggalkan ketaatan terhadapnya. Dia takut akan ditumpaskan.
Raja Namrud mula berasakan dia perlu mengambil langkah yang bijak jika ingin mengusir Nabi Ibrahim. Setiap langkah perlulah dijalankan dengan teliti agar tidak memberi kesan yang buruk terhadap kekuasaannya selama ini. Jika tersalah langkah pastinya akan membawa kesan yang buruk terhadap dirinya sendiri.
Oleh sebab itu, Raja Namrud tidak mahu menggunakan kekerasan ketika berhadapan dengan Nabi Ibrahim. Dia mahu menyingkirkan Nabi Ibrahim dengan cara yang bijaksana dan teliti.
Tindakan Raja Namrud sedikit sebanyak telah dapat dihidu oleh Nabi Ibrahim. Baginda mula berasa curiga dengan layanan dan kebebasan yang diberikan oleh Raja Namrud kepadanya selama ini. Segala gerakgerinya kini sentiasa mendapat perhatian pihak berkuasa.
Nabi Ibrahim juga sedar Raja Namrud sedang menunggu peluang yang baik untuk menyingkirkannya dari negeri itu. Raja Namrud bukan sahaja akan menyingkirkan Nabi Ibrahim, malah akan membunuhnya dengan kejam kerana menyampaikan dakwah yang bertentangan dengan anutan rakyatnya.
Setelah beberapa ketika berada di Babylon, Nabi Ibrahim berasa perbuatannya tidak membawa apa-apa manfaat kepada agama dan dirinya sendiri. Walaupun Babylon mempunyai penduduk yang ramai, namun mereka masih kuat berpegang teguh kepada agama anutan nenek moyang.
Nabi Ibrahim berasa dakwah yang disampaikan olehnya selama ini sia-sia sahaja. Kebanyakan hati penduduk Babylon telah tertutup rapat untuk menerima sesuatu yang baru.
Demi mengembangkan dakwah dan ajaran yang dibawanya itu, Nabi Ibrahim pun mengambil keputusan untuk keluar dari negeri berkenaan. Baginda benar-benar berharap agar bertemu dengan penduduk yang sanggup menerima ajaran yang dibawanya.
Baginda juga sentiasa berdoa kepada Allah agar ajaran yang dibawanya itu akan mendapat perhatian dan diterima oleh penduduk setempat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments on "Nabi Ibrahim meninggalkan Babylon"
Post a Comment