Followers

Monday, March 22, 2010

Haramkah Anak Haram?

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Monday, March 22, 2010
Sumber : Faridrasyidi
Boleh tak ustaz beri komen tentang kes ibu yang melahirkan anak tetapi tidak mempunyai pertalian sah dengan ‘bapa’ kepada anak itu, senang kata anak haram. Harap ustaz dapat komen tentang:
1. Apa yang harus ibu itu lakukan?
2. Peranan orang disekitar, keluarga dan kawan..
3. Bagaimana Islam menguruskan masalah ini?
Itu soalannya.

Sebelum menjawab persoalan yang diberikan, mari kita lihat dan perhatikan apa yang berlaku disekeliling masyarakat kita. Lihat jiran-jiran kita, lihat masyarakat kampung ataupun taman perumahan, lihat lebih jauh lagi. Negeri dan negara kita.

Dahulu, orang kampung akan bising riuh sekampung jika terlahir seorang anak luar nikah. Dengan istilah mereka dilabelkan sebagai ‘anak haram’. Tidak cukup dengan cemuhan dan ejekan pada si ibu, sikap kutukan ini menjadi warisan zaman berzaman. Hebatnya penangan orang berzina bukan?

Hidup si ibu itu seperti ‘cicak tersepit di dedaun pintu’. Mahu lari, sudah tersepit. Akhirnya, mati mengering tanpa dipedulikan orang. Dipandang jelek dan hina. Pandangan dari sisi masyarakat Melayu mengenai perlakuan zina suatu ketika dahulu dianggap jijik dan sensitif.

Malangnya, si anak luar nikah hasil perlakuan ibu dan bapa yang tak dikenal pasti identiti mengalami nasib yang lebih teruk. Masyarakat langsung melabelkan anak itu adalah HARAM secara qat’ei. Perlakuannya, dan sikapnya selalu menjadi buah bicara awam. Hatta si anak itu seolah-seolah bakal menjadi cicak yang akan mati tersepit juga.

Kini, dunia berlari begitu pantas ke hadapan. Bukan lagi pantasnya seperti pelari pecut, tetapi menyamai kepantasan keretapi laju tercanggih di negara bunga sakura – matahari terbit di celahan gunung fuji. Cara fikir manusia kian tenggelam dimamah usia tua dunia. Mereka sudah membudayakan kehidupan kapitalisme.

“Eh, apa yang berlaku kat jiran kita tu?” Tanya si suami pada isterinya suatu malam.
“Entahlah bang, agaknya nak kenduri kahwin kot.” Jawab si isteri sambil menekan alat kawalan TV. Siaran astro menjadi lebih menarik dari cerita jiran sebelah. Walhal bukan kenduri kahwin, tetapi anak jiran meninggal dunia akibat tercekik biji nangka.

Tidak tahu. Sudahlah tidak tahu. Segan pula bertanya khabar. Bimbang takut kalau-kalau beras rumah semakin berkurangan.

Aku adalah aku. Engkau adalah engkau. Engkau mahu mati? Silakan mati tanpa melibatkan aku!


DUNIA KINI

Jika anak luar nikah tiba-tiba muncul di kawasan bandar dan kampung kini, masing-masing mendiamkan diri dan membatu. Alasannya mudah, tanpa analogi yang berjela. Mangsa rogol. Lalu lelaki dihadapkan ke mahkamah, atas alasan merogol anaknya sehingga terlanjur melahirkan manusia lengkap anggota badan dan perasaan. Sedangkan pada asalnya adalah ‘suka sama suka‘.

Si anak itu menjadi bahan eksperimen yang paling kejam. Bayangkan bayi putih bersih, matanya bulat berbinar-binar memerhati ibunya, pipinya gebu, tangannya menggapai wajah si ibu untuk menagih simpati. Lalu ibunya membuang anak diperdu pokok pisang, di parit dan longkang, di kaki lima rumah setinggan dan digantung pula pada jeriji besi masjid. Itu eksperimen pertama.

Eksperimen kedua ialah membiarkan anak itu membesar, lalu tiada pembelaan dilakukan padanya. Sehinggalah tersisih pada pandangan masyarakat dek pecah tembelang perlakuan busuk si ibu bersama jantan murahan.

Justeru, HARAMKAH ANAK ITU?

TIDAK. Anak itu sama sekali tidak bersalah. Anak itu tidak haram. Dia tetap seperti insan-insan lain tanpa ada cacat celanya. Yang begitu bersalah adalah orang yang melahirkannya tanpa ‘bin’. Di sini ada beberapa persoalan lain perlu diselesaikan sebelum menjawab persoalan di atas.

1. Betulkah anak luar nikah itu akan mewarisi sikap dan perbuatan ibunya selama tujuh keturunan?

Jawapannya, adalah tidak. Menurut Syeikh Nuruddin al-Banjari, hadis mengatakan hal itu adalah maudu’. Ini berdasarkan kepada kitab tulisan Syeikh Ismail Uthman Zain di dalam kitabnya bertajuk Qurratul Ain yang mengatakan anak luar nikah yang akan mewarisi perlakuan ibunya selama tujuh keturunan itu adalah maudu’. Apalah salahnya hingga anak itu dihukumi sebegitu, sedangkan anak itu lahir bersama sebuah perasaan yang keliru – mengapa harus dia menanggung kejanggalan ibunya bukan?

2. Bagaimana kedudukan anak itu, adakah dia dan keturunan selepasnya boleh menjadi wali?

Boleh. Berkata Syeikh Nuruddin lagi, “Dia akan menjadi wali, tidak ada masalah, dia akan jadi wali kepada anak cucu keturunannya, jadi status dia sama seperti anak normal. Tidak ada perbezaan hukum. Yang ada perbezaan hanya dipandangan masyarakatnya sahaja mereka akan memandang sinis.”

TINDAKAN IBU

Sewajarnya ibu tidak harus berlepas tangan dalam hal ini. Ibu hendaklah berusaha membesarkannya dengan apa cara sekali pun. Adalah tersangat kejam jika menyambung dosa besar dengan pengakhiran sebuah episod pembunuhan. Sudahlah mendedahkan aurat, melakukan hubungan terlarang dan membunuh pula – bukan cara terbaik!

Carilah sesiapa yang mampu menjaganya agar dia kenal Allah Yang Esa dan tahu agamanya. Jangan biarkan dia mewarisi lahanat perbuatan silam si ibu.
Ibnu Zubair berkata: “Aku tidak mengetahui seseorang yang lebih alim dalam ilmu jururawat, fiqih dan juga syair selain daripada Ummul Mukminin Aisyah r.a.
Aturan Islam sudah menetapkan (baca pada pandangan syariat). Apabila lengkap bukti dan penyaksiaan, Allah SWT menetapkan bahawa penzina lelaki dan perempuan belum berkahwin wajib dikenakan hukuman 100 rotan dan dibuang daerah (negeri). Hikmahnya mencakupi ruang lingkup duniawi dan ukhrawi. Dosa zinanya akan diampunkan Allah SWT dan membersihkan titik noda hitam yang zulmat itu. Jika disabitkan hukuman kepada lelaki dan wanita sudah berkahwin – dikenakan rejam sehingga menemui ajal.

Kedudukan umat Islam sekarang yang tidak punya sistem dan negera keseluruhan mengamalkan peraturan syariat Allah SWT menyukarkan manusia menuju ke arah kemurniaan beragama. Lalu, bagaimana nasib si ibu itu dengan dosa-dosanya? Bertaubatlah nasuha, selebihnya Allah SWT sahaja menghakimi kelak. Wallahu a’lam.
 
PERANAN MASYARAKAT

Masyarakat perlu disedarkan. Jika masyarakat masih enak tidur tanpa sedikit pun rasa sakit dicubit bermakna kepekaan itu belum sampai ke kemuncak. Tanpa masyarakat yang sedar dan faham hakikat agama secara total, amat mustahil kita akan melihat suatu kehebatan bakal berlaku.

Saya menghantar kesedaran kepada kalian yang membaca, lalu tugas itu menjadi amanah untuk kalian sampaikan kepada mereka yang belum sedar. Kerana setiap bahu-bahu kita terpundak segunung amanah. Jika amanah ini tidak diletakkan pada tingkatan sewajarnya, maka jawablah dihadapan Allah SWT kelak.
Biarkan dakwah dan ilmu terus berjalan tanpa henti. Kerana ilmu adalah alat pembanteras kebodohan dan kemunduran. Bantulah agar ianya berjalan tanpa halangan. Kerana Islam tidak akan kembali terlaksana jika kita terus membenci cara hidup dan kemurnian sistem Islam itu.
Kata sebuah syair arab:
Ilmu itu membangun rumah-rumah yang tidak memiliki pondasi # Dan kebodohan itu menghancurkan bangunan yang kukuh dan mulia.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:
“Allah akan meninggikan beberapa darjat bagi orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang berilmu.”
Justeru, usahlah membenci anak luar nikah, tetapi bencilah kepada perlakuan yang menyebabkannya wujud di dunia.
 
PERSPEKTIF AGAMA

Sebenarnya subtopik di atas sudah pun menjawab persoalan menurut pandangan Islam. Namun begitu, suka untuk saya bawakan bagaimana pula pandangan Islam tentang hak anak luar nikah menurut permasalahan dalam faraid harta dan status penjagaannya.

Mazhab yang empat iaitu Syafie’, Maliki, Hanbali dan Hanafi sepakat mengatakan bahawa anak luar nikah hukum warisan dan hubungan dengan ayahnya seperti hal mula’anah (masalah li’an). Yakni tiada hubungan apa-apa dalam perwarisan harta. Manakala bagi pihak sebelah ibu – hubungan anak luar nikah dengan ibunya adalah boleh waris mewarisi.

Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 32 bermaksud:
“Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seseorang seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia kesemuanya.”
Manakala ayat ini pula mensyariatkan agar manusia mengambil ataupun memelihara anak yang berstatus buangan. Barangsiapa yang menjumpai anak luar nikah yang terbuang tanpa penjagaan, maka hendaklah dia mengambil anak itu lalu menjaga dan mendidiknya sebaik mungkin. Seandainya tiada siapa mengendahkan, sedangkan sudah tahu, maka keseluruhan penduduk kawasan itu dikira berdosa. (Hukumnya fardhu kifayah bagi yang menjumpai).

Diriwayatkan dari Jarir bin Abdullah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, dia tidak akan dikasihi oleh Allah.” (Riwayat Tirmizi)
Nafkah bagi anak itu terpundak dibahu pemerintah yakni Baitul Mal. Jika si anak tersebut mempunyai harta, maka hal pengurusannya tetap saja menjadi milik pemerintah dan penjaga diberi keizinan Baitul Mal untuk mengagihkannya dengan adil.

Cukup lengkap, cukup indah aturannya.

Pokok pangkalnya, sebagai mengakhiri lampiran jawapan ini. Mari setkan minda-minda kita bahawa ANAK HARAM adalah TIDAK HARAM.

Rujukan:
Fiqh Manhaji, Bab Anak Buangan.
Fiqh Mazahibul Khamsah, Bab Faraid.
Adab-adab Islam Dalam Kehidupan Seharian Jilid 2, Mohamad Zulkifli Abd Ghani.
Rahsia kesukksesan Wanita Dalam Berumahtangga, H. Teuku Muhammad Iskandar LC.



0 comments on "Haramkah Anak Haram?"

Post a Comment

Ulama'

Blogger Tricks Habib Omar Dr.Yusuf
Dr.Wahbah Zuhaily Dr.Ramadhan Buoti Harun Yahya Darul Ifta' darussyifa' PUM

Tolabah

pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya

Akhbar

Harakah keadilan TranungKite tkodaily detikdaily PahangDaily suarakampus Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan jazeera jazeera MyKKK

Tv Online

tvkltan tvpas tvceramah RTM tv3 tv7 8TV tv9 tvseries
 

Mohamad Mustakim Bin Sarmuji Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez