Manfaat Buku

Sebelum balik Malaysia nanti, anta kena siapkan paling kurang sebuah buku untuk rakyat Malaysia. Kalau mampu tambah lagi, buat untuk ringkasan madah paling susah untuk kuliah anta. Mungkin Balaghah ke? Apa sahaja boleh"

Semanis Tawakkal

"Alhamdullilah, akhirnya imtihan dah selesai, Bolehlah ana balik selepas Asar nanti" sapaku kepada Hanif yang baru keluar dari pintu gerbang Al-Azhar. " Iya, tapi anta kena ingat kita ada syafawi ( ujian lisan) lagi. Kiranya aku bersyukur banyaklah", jawabnya sambil memandang ke arah ladang gandum.

Imam Bukhari

Imam al-Bukhari, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju'fi al-Bukhari (194H-256H) adalah seorang tokoh hadis yang paling unggul dalam sejarah perkembangan ilmu Hadis sehinggalah ke hari ini, ketokohan beliau masih tiada tolok bandingnya.

Followers

Showing posts with label Pedoman. Show all posts
Showing posts with label Pedoman. Show all posts

Monday, August 23, 2010

Nikah Khitbah satu Alternatif

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Monday, August 23, 2010 0 comments

Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

  • Masih menuntut di kolej atau uniersiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .

Sumber : Us Nasrudin Hassan Ketua Pemuda PAS Pusat


Saturday, August 14, 2010

Perkara yang harus dilakukan bila batal puasa

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Saturday, August 14, 2010 0 comments

Orang yang batal puasanya harus melakukan empat perkara:


1.   Qadha’: Kewajibannya umum ke atas setiap Muslim Mukallaf yang meninggalkan puasa dengan uzur ataupun tanpa uzur. Umpamanya, perempuan yang datang darah haidh harus mengqadha’kan puasanya, demikian pulalah orang yang murtad. Adapun orang kafir, anak kecil dan orang gila tidak wajib mengqadha’kan puasanya. Dan hukum mengqadha’kannya tidak wajib berturut-turut, tetapi bolehlah mengqadhakannya sesuka hatinya sama ada terpisah-pisah ataupun terkumpul.

2.   Kaffarah: Kewajibannya berlaku hanya ke atas orang yang bersetubuh pada siang Ramadhan, selainnya tidak dikenakan kaffarah. Adapun kaffarahnya ialah memerdekakan seorang hamba. Kiranya ia tidak mempunyai wang untuk menebus seorang hamba, maka berpuasalah ia dua bulan berturut-turut. Jika ia tidak mampu, maka hendaklah ia memberi makan kepada 60 orang miskin setiap seorang satu mud.

3.   Berhenti dari makan-minum dan sebagainya pada sisa harinya. Ini diwajibkan ke atas orang yang menderhaka perintah Allah, kerana tiada berpuasa ataupun kerana cuai pada perintah puasa (berbuka tanpa sebab atau seumpamanya). Maka hendaklah ia berhenti dari makan-minum, apabila ternyata ada seorang adil yang menyaksikan anak bulan pada hari syak (iaitu 30 Sya’ban), sedangkan orang ramai semuanya tiada berpuasa pula, maka hendaklah sekaliannya berhenti dari makan-minum dan sebagainya. Bagi orang yang sedang dalam pelayaran, berpuasalah adalah lebih utama daripada berbuka,

4.   Mengeluarkan fidyah, iaitu bagi orang yang mengandung atau ibu yang masih menyusukan bayinya, kerana khuatir kemudharatan ke atas bayi jika ia berpuasa. Maka dikeluarkan fidyah kerana tiada berpuasa itu, setiap hari satu mud gandum/beras kepada seorang miskin, kemudian puasa itu diqadha’kan. Begitu pula dengan orang tua yang sudah lanjut umurnya, tiada mampu untuk berpuasa, dikeluarkan fidyah satu mud juga.

Sumber : blogtraditionalislam

Friday, August 13, 2010

Ramadhan , Penyucian Diri Kembali Pada Fitrah

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Friday, August 13, 2010 1 comments
Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit.
Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.
Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.
Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.
Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185
Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.
Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.
Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah
Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bertarikh: 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

Saturday, July 31, 2010

Puasa Selepas Nisfu Sya'ban

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Saturday, July 31, 2010 1 comments

Soal : Syeikh apakah hukumnya puasa setelah nisfu Sya`ban, ada yang mengatakan haram karena adanya hadis yang melarang, saya mohon penjelasan?.

Jawab : Sebelum saya menjawab hukum puasa setelah pertengahan bulan sya`ban sebaiknya saya mengungkapkan hadis yang melarang puasa setelah pertengahan bulan Sya`ban, hadisnya sebagai berikut :

إذا انتصف شعبان فلا تصوموا

Artinya : Apabila setelah pertengahan bulan Sya`ban maka janganlah kamu berpuasa.

Takhrij Hadis :

1- Hadis ini telah di keluarkan oleh Abu Daud dari riwayat al-Ala` bin Abdurrahman dari ayahnya, dari Abu Hurairah disebutkan didalam kitab as-Saum Bab Fi Karahiyati Dzalika. no hadis 2334.

2 - Dikeluarkan juga oleh Tirmizi di dalam Sunannya dari riwayat al-`Ala` juga dari ayahnya, dari Abu Hurairah, didalam kitab as-Saum Bab Ma Ja`a Fi Karahiyati as-Saum Fi Nisfi Sani Min Sya`ban Lihali Ramadhan no hadis : 738, tetapi dengan lafaz sebagai beriku:

إذا بقي نصف من شعبان فلا تصوموا


Artinya : Jika sudah tinggal setengah bulan Sya`ban maka janganlah kamu berpuasa.

3 - Dikeluarkan juga oleh Ibnu Majah dari riwayat al-`Ala` bin Abdurrahman, dari ayahnya, dari Abu Hurairah didalam kitab as-Siyam, Bab Ma Ja`a Fi Nahyi `an Aiyataqaddam RAmadhan Bi Saum Illa Man Soma Fawafaqahu, no hadis : 1651. dengan lafaz :

إذا كان النصف من شعبان فلا صوم حتى يجيء رمضان

Artinya : Apabila telah berada pada pertengahan bulan Sya`ban maka tidak ada lagi puasa sehingga datangnya bulan Ramadhan.

4 - Dikeluarkan juga oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya no hadis : 9414.

5 - Dikeluarkan juga oleh ad-Darimi didalam Sunannya didalam kitab Saum, no hadis : 1691.

Pendapat ulama tentang hadis ini

Para ulama berbeda pendapat memandang derajat hadis ini

1 - Berkata Abu Isa ( Imam Tirmizi ) : Hadis Abu Hurairah adalah hadis hasan Sohih, kami tidak mengetahuinya kecuali jalan sanad ini dengan lafaz seperti ini.

2 - Menurut pendapat Imam Abdurrahman Ibnu Mahdi hadis ini mungkar.

3 - Menurut Imam Ahmad Hadis ini mungkar.

4 - Menurut Imam Ibnu Ma`in hadis ini hadis mungkar.

Mereka memandang hadis ini mungkar karena menyalahi hadis yang sohih dan kuat tentang Rasulullah menyambung puasa Sya`ban kepada puasa bulan Ramadhan dan hadis yang melarang mendahulukan puasa bulan Ramadhan dengan dua hari atau satu hari puasa.

Sementara Imam al-Qurtubi memandang hadis ini tidak bertentangan dengan hadis puasanya nabi pada bulan Sya`ban sampai ke bulan Ramadhan karena makna keduanya masih bisa dikumpulkan dengan cara larangan tersebut bagi orang yang tidak memiliki kebiasaan puasa pada sebelum pertengahan Sya`ban.

Dengan begitu kita boleh mengumpulkan dua pendapat mengenai kedudukan hadis ini

1 - Ulama yang mendoifkannya

a - Tidak adanya seorang pun yang meriwayatkan seperti riwayat al-Ala`, bahkan dia sendiri yang meriwayatkan seperti itu, bagaimana bisa para murid Abu Hurairah tidak mengetahui hadis ini.

b - Hadis al-Ala` ini bertentangan dengan hadis yang di riwayatkan oleh Sayyidah Aisyah dan Ummi Salamah.

2 - Ulama yang mengsohihkannya.

Para ulama yang mensohihkan hadis ini menjawab seluruh pertanyaan orang yang mendho`ifkan :

a - Tidak ada sebab yang bisa mendo`ifkan hadis ini, karena hadis ini diriwayatkan dengan Syarat Muslim, karena Muslim mengeluarkan beberapa hadis di kitab Sohihnya dari riwayat al-Ala` bin Abdurrahman dari ayahnya, dari Abu Hurairah.

b - Adapun al-`Ala` meriwayatkan hadis ini dengan sendiriannya tidak termasuk `illat yang merusakan hadis ini karena ini termasuk Ziyadah Tsiqah .

c - Adapun orang yang menganggap bahwa hadis ini bertentangan dengan hadis yang menunjukkan boleh puasanya pada bulan Sya`ban sebenarnay tidaklah bertentangan, karena larangan itu bagi orang yang puasa setelah pertengahan bulan Sya`ban yang dianya tidak berpuasa sebelum pertengahan Sya`ban, tapi jika sebelum pertengahan bulan Sya`ban dia telah berpuasa maka tidak mengapa dia berpuasa setelah pertengahan bulan Sya`ban.

Hukum yang terkandung didalam hadis ini.

Jamhur ulama berpendapat bolehnya puasa sunnah setelah pertengahan bulan Sya`ban, dan mereka mendo`ifkan hadis yang melarang berpuasa setelah pertengahan bulan sya`ban.

Sementara kebanyakkan ulama Syafi`iyyah melarang puasa dari tanggal 16 Ramadhan samapai akhirnya dengan dalil hadis al-`Ala` bin Abdurrahman.

Sementara Imam ar-Ruyani dari kalangan ulama Syafi`iyyah berpendapat makruhnya puasa sunnah setelah pertengahan bulan Sya`ba.

Imam Mula Ali al-Qari berkata didalam kitabnya al-Maraqat al-Mafatih : Larangan tersebut adalah makruh tanzih sebagai rahmat untuk umat islam, karena dapat melemahkan mereka dari melaksanakan puasa Ramadhan denagn cara bersemangat, adapum orang yang berpuasa pada bulan Sya`ban seluruhnya maka dia telah terbiasa dengan berpuasa sehingga hilang rasa kepayahan.

Kesimpulannya :

Silahkan anda berpuasa setelah pertengahan bulan Sya`ban jika anda berpuasa sebelumnya, karena tidak ada seorang pun yang melarang jika anda telah puasa sebelum pertengahan bulan sya`ban, tapi jika anda berpuasa hanya setelah pertengahan bulan puasa maka anda harus mengikuti pendapat jamhur yang mengatakan hadis itu do`if dan tidak diamalkan. Wallahu A`lam.

Rujukkan :
1 - Fathu al-Bari Sarah Sohih Bukhari : 151 / 4,karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-`Asqalan, cetakan Dar al-Manar , Cairo, ceakan pertama 1999 - 1419.

2 - Badzlul Majhud Fi Hilli Abi Daud : 130 / 11, Karangan Muhaddis Syeikh Khalil Ahmad as-Saharnafuri, cetakan Dar al-Fikr.

3 - Aunu al-Ma`bud Syarah Sunan Abi Daud : 423 / 4, Karangan Syeikh Muhammad Syamsul Haq al-`Azim Abadi, cetakan Dar al-Hadis Cairo tahun 2001 - 1422.

4 -Tuhfatu al-Ahwadzi Bisyarhi Jami` at-Tirmizi , karangan Syeikh Muhammad Abdurrahman bin Abdurrahim al-Mubarakfuri : 159 / 3 , cetakan Dar al-Hadis Cairotahun 2001 - 1421.

5 - Sunan Ibnu Majah : 81 /2 , karangan al-Hafiz Abu Abdillah Muhammad bin Yazid al-Qazuweini terkenal dengan Ibnu Majah,terbitan Dar al-Hadis Cairo, cetakan pertama 1419 - 1998.

6 Maraqatu al-Mafatih Syarah Misykati al-Masobih : 409 /4 , karangan al-`Allamah Mula Ali bin Sulton al-Qari, cetakkan : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah cetakkan kedua 1428 - 2007.

Sumber : Us Husni Al-Langkati

Monday, July 12, 2010

Pemimpin PAS Selayaknya Sederhana

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Monday, July 12, 2010 0 comments

Pemimpin PAS :
Ambillah Gaya Hidup
Yang Sederhana


1. Sebaik - baik perkara ialah pertengahannya [ sederhana ]
خير الأمور أوسطها.
Tidak melampau [ ifrat ] dan tidak terlalu bermudah - mudah . [ tafrit ] .

2. Sederhana adalah lambang keutuhan dan kemuliaan peribadi . Pemimpin yang hidup dalam kesederhanaan adalah pemimpin yang berjiwa besar justeru ia tidak dipengaruhi oleh nafsu tamak dan gelojoh .

3. Pemimpin yang mengambil gaya dan cara hidup secara sederhana juga merupakan pemimpin yang hebat justeru ia tidak terpedaya dengan bujukan nafsu dan syaithan untuk bermudah - mudah atau meringan - ringankan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang hamba terhadap tuhannya .

4. Kini rata - rata pemimpin PAS menang pilihanraya menjadi wakil rakyat samaada diperingkat DUN atau parlimen malah ada yang bergelar Menteri Besar dan exco kerajaan negeri . Alhamdulillah , ianya satu penghormatan dan kepercayaan rakyat kepada PAS . Namun berwaspadalah , agar lifestyle kalian masih kekal utuh dalam frame seorang pemimpin yang beriman , bertaqwa , berakhlak dan sederhana .

5. Usah terpedaya dan terpengaruh dengan cara hidup orang lain apatah lagi musuh . Sekalipun kalian memang layak dan memiliki kekayaan melalui cara yang benar dan halal , namun ambil lah hukum wara' atau zuhud dalam kepimpinan dan penampilan kalian . Usah bermewah dengan harta yang dimiliki tetapi tidaklah sampai kelihatan selekeh , lusuh dan tidak ceria . Sederhanalah dalam segalanya .

6. Wara' bukan bermaksud berjalan tunduk tanpa mendongak wajah dan zuhud pula bukan bermakna selekeh tanpa set pakaian yang baru dan kemas . Tetapi wara' dengan maksud tidak berlebih - lebih menggunakan nikmat kekayaan halal yang kita miliki sementara zuhud pula ialah menggunakan nikmat kekayaan yang dimiliki tanpa hati terpengaruh dan terpaut padanya.

7. Gerakan Islam seperti PAS selayaknya mendokong feqh wasatiah [ kesederhanaan ] ini dalam usaha mendapatkan tempat di sisi Allah swt dan menarik sokongan rakyat kepada perjuangan suci yang didokong . Rata -rata manusia tidak senang dan muak dengan manusia yang berlebih - lebihan dalam penampilan gaya hidup serta menunjuk kaya dan mewah mereka.

8. Feqh wasatiah bukan hanya dipakai dalam aliran pemikiran dan prinsip hidup tetapi juga dalam penampilan , cara dan gaya hidup [ lifestyle ] . Janganlah setahun dua jadi wakil rakyat , perubahan ketara dan mendadak berlaku dalam hidupnya seperti membina rumah besar , memiliki kenderaan baru dan mahal .

9. Bukanlah salah memiliki rumah luas dan kenderaan yang baik , tetapi bersederhanalah . Jika tidak , pemimpin PAS akan kehilangan haibah [ kehebatan ] dan quwwah [ kredebiliti ]. Sifat dan amalan sederhana mendekatkan pemimpin PAS dengan rakyat marhain. Mudahnya amalan bersederhana ini ialah mengambil sesuatu seperlunya . Jika ia perlukan rumah 5 bilik dengan jumlah keluarganya yang ramai maka milikilah , ia menepati keperluan . Demikianlah kenderaan , jika perlukan kenderaan yang baik kerana keperluannya berjalan jauh saban hari mengambil undangan amal islami yang diperjuangkan , maka ambillah justeru ia menepati keperluan . Apa yang tidak disenangi ialah berlebih - lebihan dari had keperluan dan bermewah - mewah .

10. Kita tidak mahu menjadi pemimpin parti yang petah mengungkap serta meriwayat contoh zuhud dan wara'nya Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz , Tuan Guru Hj Abd Hadi dan Ust Azizan Razak , walau mereka dipuncak kuasa tetapi tetap :

  • tinggal di kediaman asal yang serba sederhana ,
  • nilai pakaian mereka seperti rakyat awam ,
  • mereka mengamalkan jimat cermat dalam kehidupan sehariannya ,
  • keraian mereka tidak mewah
  • elaun mereka dikembalikan kekantung pembendaharaan negeri
tetapi malang , jika kita sendiri gagal untuk mencontohinya .

Sumber : Us Nasrudin Hassan

Saturday, July 10, 2010

Rondaan Hisbah Iskandariah

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Saturday, July 10, 2010 2 comments


1) ISKANDARIAH 8 JULAI. Satu rondaan Hisbah telah dijalankan sekitar Iskandariah pada malam jumaat kelmarin. Tugas ini telah disertai 11 orang pakdam yang terdiri daripada beberapa orang ahli jawatan kuasa Hisbah,pakdam-pakdam dan exco-exco UMI.

2) Sasaran rondaan ini khusus untuk akhwat Iskandariah sama ada Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura yang keluar malam tanpa musyrif.

3) Malam tersebut, Hisbah telah berjaya menjejaki akhwat yang keluar malam jumlah keseluruhannya adalah lebih kurang 10 orang. Mereka kebanyakkannya keluar tanpa musyif.

4) Tindakan Hisbah ketika itu menasihati mereka tentang faktor keselamatan yang melibatkan maruah dan sebagainya. SEWAJIBNYA kepada mereka tidak keluar selepas Maghrib atau sebelum Maghrib tetapi tidak diyakini dapat pulang ke rumah masing-masing sebelum Maghrib. Kalau difikirkan kembali, adakah keluarga di Malaysia membenarkan anak-anak gadis mereka keluar malam walaupun dalam berkumpulan dengan tanpa musyrif?


5) JAGALAH DIRIMU, WAHAI MUSLIMAH SEJATI DENGAN TIDAK KELUAR MALAM TANPA MUSYRIF. JANGANLAH BERLAGAK SOMBONG DENGAN MENGERASKAN KEPALA DAN HATI ANDA SEMUA. ANDA SEMUA BIJAK DAN TAHU TENTANG PELBAGAI KES-KES MERBAHAYA YANG TELAH BERLAKU DI KAHERAH DAN SEBAGAINYA. ROMPAK , CUBAAN MERABA DAN MEROGOL SERTA PELBAGAI BENTUK KEJAHATAN YANG KITA TIDAK UNDANG. ANDA TAHU DI MUSIM PANAS INI, SIANGNYA PANJANG ( MAGHRIB 8.10 MALAM). APA PERLU KELUAR MALAM?

6) JAGALAH DIRIMU, WAHAI MUSLIMAH SEJATI. DAN KEPADA AKHWAT YANG KELUAR DENGAN BERMUSYRIF YANG BUKAN TAULIAH IAITU KEKASIHNYA YANG SANGGUP BERMUSAFIR JAUH HINGGA KE ISKANDARIAH. WALAUPUN KELUAR BERSAMA DENGAN AKHWAT LAIN. APA PERLU MENGAMBIL MUSYRIF LUAR TANPA MEMPEDULIKAN MUSYRIF BERTAULIAH (PAKDAM-PAKDAM ALEX WALAUPUN KAMI DI SINI BERJUMLAH 39 PASANGAN). BERUSAHALAH UNTUK MENCARI JALAN KELUAR.

7) JAGALAH DIRIMU, WAHAI MUSLIMAH SEJATI. DAN KEPADA YANG BERCINTA SEPENUH JIWA KATAKAN ( YANG BELUM BERKAHWIN DAN YANG BELUM TETAP PENDIRIAN UNTUK KAHWIN). ADAKAH ANDA YAKIN DIA PASANGAN ANDA DI HARI PERKAHWINAN WALAUPUN BERATUS WANG TELAH DIHABISKAN, WALAUPUN TELAH KE HULU KE HILIR BERSAMA-SAMA DAN SEBAGAINYA. JAGALAH DIRIMU SEMUA DARIPADA TIPUDAYA NAFSU DAN SYAITAN. DAN BERMANJA-MANJA WALAUPUN ANDA TAHU BERTENTANGAN DENGAN APA YANG DIAJARKAN OLEH TUHAN DAN RASULMU DAN BERSEKONGKOL SEBENTAR DENGAN MAKSIAT YANG TOTALY WRONG.

8) InsyaAllah Hisbah akan mengetatkan rondaan secara langsung atau tidak untuk keselamatan dan kesejahteraan akhwat Iskandariah. Kerja Hisbah adalah kerja yang mulia di sisi Allah S.W.T walaupun ada manusia-manusia yang sensitif dengan perkataan HISBAH. Berkerja kerana ALLAH.

Sumber : UMI

Sunday, July 4, 2010

Sifat pemaaf Rasulullah

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Sunday, July 04, 2010 0 comments

NABI Muhammad SAW ialah seorang nabi dan rasul yang memiliki akhlak terpuji. Baginda seorang insan mulia yang sanggup memaafkan kesalahan orang lain.

Pada suatu hari, ketika baginda sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang.

Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah amat gemar kambing panggang.
Bahagian kegemaran baginda ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu.

Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.
Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan dengan berselera sekali.

Baginda makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu baginda sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati.

Rasulullah pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah.
Ternyata suara hati baginda itu benar. Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut.

Rasulullah pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata: "Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."

Rasulullah mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, baginda pun memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda.

Baginda sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh baginda.

Sumber : Utusan

Friday, July 2, 2010

Pray Hard, Work Smart

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Friday, July 02, 2010 0 comments


“Kami menghadapi masalah dua ekstrem dalam organisasi ni,” kata seorang pengurus bahagian sumber manusia.

“Ekstrem? Fahaman melampau? Militan?” tanya saya bergurau.
“Bukan. Tapi pertentangan antara dua golongan. Satu workaholic dan satu lagi solatholic.”
Saya terkejut dengan istilah itu. Workaholic memang selalu saya dengar tetapi kalau solatholic itulah kali pertama saya mendengarnya.
“Encik tahu apa maksud workaholic?” tanyanya.
“Orang yang gila atau mabuk kerja,” jawab saya merujuk kepada makna yang diberi dalam kamus seperti yang pernah saya baca dahulu.

“Solatholic pula orang yang gila solat!” jelasnya tanpa dipinta.
“Jadi apa masalahnya?’
“Dua golongan melampau ini boleh menjejaskan operasi organisasi ini.”
“Bagaimana?”
“Yang workaholic mabuk kerja hingga tinggal solat. Dan encik tentu tahu apa akibatnya orang yang tinggal solat…”

Belum sempat saya membalas katanya, dia bersuara lagi, “mereka ini kerja beres tetapi ada masalah dengan rakan sekerja yang lain.”
“Yang solatolic bagaimana?”
“Rajin solat tetapi kerja tak beres. Kerja sambil lewa. Bagus beragama tetapi culas kerja.”
“Itu kira tak bagus beragamalah, “pintas saya perlahan.
“Mengapa?”

“Agama itu kan cara hidup yang sempurna? Termasuk solat, kerja dan seluruh sistem hidup. Jadi, orang yang culas kerja ertinya culas juga beragama. Begitu juga orang yang rajin bekerja tetapi malas solat. Itu pun tidak sempurna dalam beragama,” jelas saya agak panjang.
“Bagaimana nak tangani masalah dengan kelompok solatolic ni?”
“Solatholic bukan masalah, “ ujar saya.
“Tak masalah kata awak. Orang ini mabuk sembahyang!”
“Apa maksud dengan mabuk sembahyang?”
“Banyak sembahyang?’
“Kalau begitu tak salah mabuk sembahyang sebab nabi Muhammad pun begitu…”



“Maksud awak?”
“Nabi Muhammad terlalu banyak dan lama berdiri solat, sehingga kakinya bengkak-bengkak. Kalau itu boleh dikatakan solatholic, ya Nabi Muhammad adalah seorang yang solatholic. Bahkan baginda menganjurkan jika kita hendak bersamanya di syurga kelak, perlu banyakkan sujud. ”

“Rasulullullah diberitakan bila sujud, seakan-akan tidak mahu berakhir,” tambah saya lagi.
Pengurus itu kehairanan. Jelas kelihatan dia jadi serba-salah dengan kata-katanya tadi. Saya senyum, sambil menepuk bahunya.
“Tapi nabi Muhammad juga workaholic.”
“Baginda juga workaholic?”

“Ya. Bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w begitu banyak kerja dan urusannya. Mentadbir seluruh negara, menyusun masyarakat, mengajar, mendidik, memimpin dan pelbagai lagi tugasan dalam keluarga, masyarakat dan negara.”
“Baginda seorang yang workaholic?”

“Tak tahulah apa yang dimaksudkan dengan istilah workaholic tu tetapi jika itu bermaksud kerja keras, banyak bekerja dan gigih pula… yang Rasulullah saw memang begitulah.”
“Jadi seorang itu boleh jadi solatolic dan dia juga workaholic pada suatu masa yang sama seperti Rasulullah?”

“Ya, sewajarnya begitu. Cuba dengar apa yang diluahkan oleh Sayidina Umar Al Khattab insan yang berjaya meneladani Rasulullah s.a.w…”
“Apa katanya?”

“Aku bimbang untuk tidur pada siang hari, takut urusan ku dengan manusia tidak selesai. Dan aku juga bimbang untuk tidur pada malam hari takut urusan ku dengan Allah tidak selesai.”
Dia diam. Benar-benar dalam berfikir.

“Pada siang hari Umar Al Khattab seorang yang workaholic dan pada malam harinya pula dia seorang yang solatolic. Itu maksud awak?”
“Pray hard, work smart. Begitulah kira-kiranya.” Saya mengiakan.
“Bagaimana boleh jadi begitu? Apa yang saya faham solatolic dan workaholic tidak mungkin bersatu pada diri seorang manusia. Kalau dia solatolic, secara automatik dia bukan workaholic. Begitulah sebaliknya.”
“Tidak begitu. Bekerja adalah satu ibadah… ibadah umum namanya. Manakala solat juga satu ibadah. Ia ibadah yang khusus dan asas. Kedua-duanya dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan. “

“Ada kaitan antara ibadah asas dan ibadah umum? Maksud saya antara solat dan kerja?”
“Ibadah asas itu banyak berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah. Ibadah umum pula berkaitan dengan hubungan kita sesama manusia.”
“Ada kaitan tidak?” tanyanya sekali lagi.


Saya diam. Berfikir sejenak.
“Orang yang paling kuat hubungannya dengan Allah dialah yang juga paling kuat hubungannya sesama manusia.”
“Kenapa?”
“Sebab kesan daripada kuat hubungan seseorang dengan Allah akan memberikan dia satu ketulusan dan kekuatan untuk berhubung sesama manusia. Solat akan memberi satu tenaga, semangat dan kekuatan dalam bekerja.”
“Bagaimana?”
Saya mula diasak dengan soalan bertubi-tubi. Tapi saya akur, bukan maksudnya untuk berbahas. Tetapi didorong oleh rasa ingin tahunya yang semakin tinggi.

“ Solat akan memberikan kita ketenangan hasil mengingati Allah. Solat akan mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran. Cuba lihat rukun fik’li, qauli dan qalbi semasa mengerjakan solat… Bukankah semua itu mendidik kita agar bersih, menepati waktu, amanah, bercakap dan berbuat yang dibenarkan sahaja? Kesan solat yang sempurna akan memberikan kekuatan, keberkesanan dan kecekapan dalam bekerja,” terang saya satu persatu.
“Tetapi kenapa ada yang solatolic tetapi malas bekerja?”

“Tentu ada yang salah dengan solatnya. Mungkin solat itu dilaksanakan berdasarkan ritual semata-mata. Tidak difahami makna, tuntutan dan tujuannya. Itu solat yang tidak berjiwa. Umpama bangkai yang tidak bernyawa. Solat semacam itu tidak akan memberi kesan apa-apa pada perlakuan dan pekerjaan selepas mengerjakannya.”

“Hairan pula kenapa yang workaholic tetapi malas solat?’
“Sebabnya sama sahaja. Jika golongan pertama tadi mengerjakan solat tanpa kefahaman dan penghayatan, golongan kedua ini pula enggan mengerjakan solat kerana tidak nampak apa manfaat solat dalam kehidupan mereka… apatah lagi pada pekerjaan mereka. Solat dan kerja terpisah. Itu anggapan mereka.”

“Jadi bagaimana mengatasinya?”
“Golongan rajin solat mesti disedarkan, difahamkan dan dididik untuk bekerja kerana kerja itu satu ibadah. Tanda akrabnya seorang dengan Allah adalah banyaknya dia berkhidmat untuk manusia. Sayidina Umar pernah mengusir sekumpulan lelaki yang asyik duduk di dalam masjid tetapi tidak bekerja.”
“Bagi golongan workaholic pula?”

“Mereka mesti juga melalui proses yang sama yakni menyedari bagaimana solat itu akan memberi kekuatan dan ketenangan semasa bekerja. Ingat, tadbir kita walau sekuat atau sebijak mana sekalipun masih tertakluk kepada takdir Allah yang Maha Besar.”
Dan bagi mereka yang workaholic ini juga, kita perlu berikan peringatan, “ jangan nanti stres, kecewa dan keletihan melanda kita kerana keterlaluan memerah keringat atau mengasah fikiran. Solat perlu kerana ia memberi satu kerehatan dan penyembuhan kepada keletihan jiwa dan jasad. Lagipun rugi, jika solat ditinggalkan kerja mereka yang banyak itu tidak akan dikira sebagai ibadah. Hanya dapat laba tetapi kosong pahala. Ingat, solat itu kepala ibadat. Tanpa solat, segala amalan yang lain tidak akan diterima Allah.”

“Jadi tidak salah menjadi workaholic dan solatholic jika kita memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna. Bahkan kita memang dituntut begitu. Bukankah begitu?”
Saya mengangguk.

“Workaholic untuk manusia, solatolic untuk Allah?”
“Yang paling tepat ialah bekerja kerana Allah untuk manusia!”
“Apa dia ungkapan yang awak katakan tadi?”
“Yang mana satu?” saya sendiri sudah terlupa.
“Pray hard, work smart!”

“Orang yang solatolic seharusnya menjadi orang yang workaholic. Solat akan membentuk orang yang mampu bekerja keras. Orang yang workaholic perlu melaksanakan solat, agar mendapat kekuatan, ketenangan dan mencegahnya daripada penyelewengan seperti rasuah, penindasan dan perbalahan sewaktu melaksanakan kerjanya.”

“Pemikiran ini akan saya sampaikan untuk meredakan konflik antara solatolic dan workaholic dalam organisasi ini!” ujarnya gembira.

Saya senyum lebar akhirnya. Alhamdulillah, semoga semuanya persoalan tadi dapat diselesaikan dengan jelas dan tuntas. Namun, jauh di sudut hati, masih ada kesedihan yang berbekas. Ya, jelas sekali betapa hubungan yang sinergi dan serasi antara solat dengan kerja sudah semakin kabur dalam diri umat ini. Bukan sahaja dalam amalinya bahkan dalam teorinya. Benarnya seperti yang selalu diungkapkan, Islam bukan sahaja agama yang paling disalahertikan oleh bukan Islam malah oleh umat Islam sendiri!

Sumber : Genta Rasa

Sunday, June 27, 2010

Huffaz Tidak Mustahil

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Sunday, June 27, 2010 0 comments

KALAU beberapa dekad dahulu, memiliki kemampuan menghafaz 30 juzuk al-Quran dan kemudian beralih menguasai bidang profesional lain kedengaran seperti suatu yang jarang berlaku. Namun hakikatnya, sejarah telah membuktikan bahawa keunggulan peribadi ulama terdahulu yang menghafal al-Quran dan pada masa yang sama menguasai pelbagai cabang ilmu, wajar dijadikan idola oleh semua masyarakat Islam pada hari ini.

Ungkapan berbunyi, “Ada ke masa depan dalam bidang hafazan ini?”, “Tamat belajar nanti pun tidak ke mana...” dan “Paling tidakpun, jadi ustaz atau ustazah...”, seharusnya tidak wujud lagi. Kebelakangan ini, telah nampak satu perubahan yang cukup luar biasa daripada semua pihak dalam usaha memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini.

Kerajaan sentiasa memainkan peranan penting bagi memastikan institusi al-Quran terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam. Ini termasuk dengan memberi bantuan-bantuan yang diperlukan bagi menjalankan program-program yang berkaitan tahfiz al-Quran.

Malah kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke maahad-maahad tahfiz semakin menjadi trend masyarakat hari ini. Ini menunjukkan masyarakat kita telah diberi pendedahan tentang prospek cerah pendidikan al-Quran, di samping kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan pendidikan al-Quran.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad, 66, adalah antara lapan orang generasi pertama yang yang dihasilkan oleh Darul Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kira-kira 44 tahun lalu. “Pada masa itu tahun 1966, keadaan belajar waktu itu jauh berbeza berbanding zaman sekarang. “Saya masuk tahfiz disebabkan latar belakang keluarga yang susah di mana ayah dulu hanya bekerja sebagai penoreh getah. “Selepas belajar sekolah Melayu saya layak ke sekolah beraliran agama dan kebetulan mendapat biasiswa yang membolehkan saya boleh meneruskan pelajaran. “Duit itulah saya guna untuk menampung pengajian serta membantu keluarga di kampung di samping duit daripada zakat.


“Cabaran zaman itu, bidang tahfiz tidak ada orang hendak masuk kerana tidak nampak masa depannya. Kedua, ia adalah satu kursus yang baru, jadi tidak ada sesiapa yang boleh dijadikan rujukan, idola atau contoh tauladan. “Jadi semangat dan pendorong saya ialah dengan keazaman mahu keluar daripada kepompongan kemiskinan,” kata Sheikh Ismail mengimbau kenangan ketika berusia 16 tahun.

Menurut Sheikh Ismail, beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua setengah tahun sekali gus memiliki Sijil Tahfiz al-Quran. Pada 1982 beliau telah diberi kepercayaan mengasaskan Sekolah Tahfiz al-Quran di Negeri Terengganu seterusnya dilantik sebagai pengetua selama 10 tahun. “Kemudian pada tahun 1992 saya diminta oleh Kerajaan Brunei untuk menubuhkan sekolah tahfiz di sana. Ketika itu saya sudah nampak ramai para hafiz dan hafizah ini turut berjaya dalam profesion moden lain. “Tidak seperti di zaman saya dahulu. Ketika itu orang yang mengambil pelajaran agama dipandang kelas kedua berbanding dengan sekolah beraliran Inggeris,” jelas anak kedua daripada tiga adik-beradik kelahiran Dungun, Terengganu ini.

Beliau yang mula berkhidmat di Masjid Negara pada 2004 menegaskan, Sabda Rasulullah SAW hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak terdapat pada kerongkongnya sesuatu daripada al-Quran (tidak membaca) maka ia seperti rumah yang usang.” Justeru, masyarakat kena faham bahawa orang yang hafaz ini diasuh dengan ingatan. Malah budaya sebegini telah lama sebati dalam kehidupan masyarakat Arab yang mana seawal usia tujuh lapan tahun, anak-anak ini telah mula menghafaz.

“Hafaz ketika kecil seperti ukir di batu tetapi hafaz ketika dewasa, ia umpama ukir di atas air. Ini bukanlah tidak boleh tetapi agak sukar sedikit. Malah jika kanak-kanak ini telah dididik dan diterapkan al-Quran dalam dada sejak kecil, mustahil mereka akan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama,” jelasnya. Kata Sheikh Ismail lagi, di Mesir, latar belakang pelajar yang cemerlang, kebanyakan mereka adalah hafaz al-Quran.

Manakala di India pula, mereka akan memastikan sekurang-kurangnya seorang anak dalam keluarga mestilah bergelar hafiz atau hafizah. “Alangkah, baiknya jika perkara sebegini juga dijadikan budaya di kalangan masyarakat Islam kita,” saran beliau.

Sumber : Utusan

Thursday, June 10, 2010

Penyuburan Model Islam

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Thursday, June 10, 2010 0 comments

Saidina Ali r.a menggambarkan bahawa remaja adalah cerminan masyarakat hari depan. Sekiranya masyarakat muda pada hari ini dibina secara berkualiti, maka kepimpinan pada mada hadapan juga berkualiti.
Untuk melahirkan generasi bermutu bergantung kepada corak pendidikan di rumah, di sekolah dan pengukuhan dalam masyarakat.

Pengaruh globalisasi yang mendukung aliran liberalisme juga mempengaruhi pembentuk jiwa dan minda remaja.

Pancaran media sama ada yang konvensional mahupun elektronik tidak semuanya memberikan pengaruh bermanfaat kepada generasi muda. Banyak program yang melalaikan tersaji sehingga aliran nafsu nafsi atau hedonisme berkembang tanpa batas. Ia melahirkan pola-pola pemikiran dan kecenderungan popular di kalangan generasi muda sehingga jati diri makin cair.

Kukuhkan Jati Diri

Bagi negara seperti Malaysia, faktor jati diri yang menggambarkan budaya tradisi unggul dengan tamadun sendiri amat penting. Sekiranya generasi muda tidak mendalami sejarah pertumbuhan bangsa, budaya, tradisi dan agama, ia boleh menyebabkan mereka terutamanya remaja Melayu menjadi penciplak utuh kepada budaya orang.

Justeru, amat penting bagi generasi hari ini mencorakkan masa depan mereka dengan mempertimbangkan budaya dan tradisi yang baik serta diperteguhkan dan mengambil pengaruh luar yang bermanfaat.
Ia harus diberikan olahan kreatif supaya menjadi sebahagian daripada peradaban kita.

Inilah proses perubahan dan kemajuan yang perlu dicetuskan di zaman globalisasi supaya pengaruh luar yang positif dijadikan faktor mengukuh dan melengkapkan paradaban kita.

Salah satu strategi dalam agenda Barat ialah mempengaruhi cara berfikir generasi muda. Jalur berfikir orang Barat sering terpisah daripada agama, sedangkan jalur berfikir generasi muda Islam selalunya terkait dengan asas agama yang sepatutnya bersifat ketamadunan.

Maka, harus berwaspada dengan strategi Barat supaya generasi muda tidak terperangkap dalam proses liberalisasi yang menyebabkan umat Islam hilang etika dan nilai-nilai agama.

Jika ini berlaku, globalisasi akan sama dengan penjajahan bertujuan menghakis etika dan nilai supaya umat Islam menjadi pengkagum membuta tuli kepada sesuatu yang datang dari Barat.

Membina generasi muda mestilah bermula dengan pendidikan. Pendidikan Islam seharusnya mampu diolah supaya sifatnya menunjangi tamadun.

Kerohanian atau spiritual tanpa ilmu dan pemikiran boleh menyebabkan umat Islam ketandusan idea untuk mendukung sistem yang ada.

Cabaran generasi muda pada hari ini dan masa depan bukan berkaitan dengan hal fardu ain semata-mata.
Cabaran sebenar ialah dalam bidang profesional, saintifik, teknologi dan strategi.

Kita tidak mahu elemen rohani dan pemikiran sesetengah generasi muda hanya menyeluruh tentang Islam.
Tetapi keupayaan menterjemahkan Islam ke dalam sistem terbatas.

Ini boleh menyebabkan konflik berpanjangan di kalangan umat Islam.

Tanpa kemampuan dan strategi menguasai ilmu dan menguruskan sistem secara komprehensif tidak mungkin akan ada perubahan sosial, pendidikan dan pembangunan mengikut acuan Islam.

Generasi muda Islam amat perlu dididik dengan model-model berasaskan Islam sebagai alternatif untuk berhadapan dengan cabaran masa kini.
Pengambilan model dari luar dan diikuti pula dengan keterbatasan rohaniah generasi muda akhirnya akan menyebabkan dominasi asing semakin teguh.

Tasawwur Islam harus diperteguhkan dalam pemikiran generasi muda kita. Ia bagi mengimbangi dominasi Barat terhadap pemikiran generasi muda yang tidak dapat dielakkan.

Model-model bersifat bersepadu dalam semua sistem kehidupan yang tidak hanya mementingkan soal ritual mampu memberi alternatif kepada nilai dan pembawaan generasi muda masa depan.

Asas mengenai solat, siyam, zakat, haji, bersuci (taharah) dan seumpamanya belum memadai untuk menjadikan seorang remaja Islam sempurna hidupnya.

Corak cabaran yang dihadapi oleh remaja kini tidak hanya berkisar ke persoalan asas mengenai akidah dan ibadah tetapi remaja hari ini sedang diuji dengan masalah pemikiran, keyakinan, contoh teladan malah perkembangan maklumat yang datang dari pelbagai arah.

Memberikan remaja dengan kesedaran rohaniah semata tanpa membangunkan asas pemikiran boleh mendedahkan mereka kepada krisis pemikiran.

Asas-asas keinsanan 

Justeru apa yang lebih penting ialah menterjemahkan nilai-nilai Islam supaya ia bukan sahaja membabitkan pengurusan diri, tetapi juga dalam soal mengurus sistem.

Apabila model-model Islam kena diperteguhkan dalam kurikulum kerana ia mampu menghasilkan modal insan yang seimbang.

Asas ini penting bagi menghadapi cabaran globalisasi yang sifatnya menampilkan kekuatan ilmu dan teknologi Barat di samping gagah dengan penguasaan ekonomi kapitalis liberal.

Pendidikan kewangan dan ekonomi Islam yang dilaksanakan misalnya, harus dipanjangkan dan diperkukuhkan dalam sistem pendidikan kita.

Tanpa semangat itu, remaja hari ini akan terpinggir pada masa depan. Ia boleh menjejaskan pegangan atau ekuiti sedia ada.

Ilmu mengenai perniagaan, etika dalam perniagaan perlu teguh dan dalam masa sama berkeupayaan untuk bersaing adalah faktor amat dituntut.

Lagi pula fokus pada hari ini lebih banyak tertumpu kepada sesuatu yang mempunyai nilai ekonomi hingga mengenepikan batas-batas kemanusiaan.

Pengurusan sains dan teknologi secara Islam yang didasari dengan semangat tamadun silam menjadikan sesuatu penghasilan atau penemuan saintifik tidak hanya bersifat teknologi tinggi tetapi juga mempunyai sentuhan kemanusiaan yang tinggi.

Teknologi selamanya adalah alat bukannya matlamat. Teknologi alat yang dihasilkan untuk membantu manusia mendapat kemudahan dan bantuan dalam kehidupan.

Teknologi menyebabkan gaya hidup berubah dan proses pengajaran dan pembelajaran berkembang. Teknologi memberikan kesan kreatif dan inovatif dalam dunia pengeluaran dan perkhidmatan. Pergantungan manusia kepada teknologi atau alat menyebabkan teknologi dianggap sebagai segala-galanya.

Memang Barat yang mendukung faham sekular dan liberal mementingkan aspek inovatif dan kreatif dalam menghasilkan teknologi. Barat tidak boleh menolak kepentingan nilai, etika, budaya dan tradisi yang baik dalam membangunkan keperluan teknologi untuk manusia dan perubahan.

Oleh kerana teknologi adalah alat, tentu ada asas-asas keinsanan yang boleh memandu aplikasi teknologi itu mencapai matlamatnya.

Oleh itu amat penting model Islam dijadikan petunjuk supaya nilai guna teknologi lebih terarah dan tidak menghapuskan manusia dan kemanusiaan.

Sumber : Utusan

Thursday, June 3, 2010

28 Jam Rasai Azab Palestin

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Thursday, June 03, 2010 1 comments

Friday, May 28, 2010

Musyawarah Majukan Ekonomi Negara

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Friday, May 28, 2010 0 comments

ISLAM diutuskan oleh Allah SWT untuk membentuk keperibadian individu yang sempurna dan menyusun masyarakat umat manusia semoga keharmonian dan kesejahteraan manusia setempat dan sejagat dapat dicapai. Mengikut fitrah kemanusiaan, manusia dicipta Allah bukan saja dengan memiliki sifat 'makhluk individu', ia juga memiliki sifat 'makhluk sosial'.

Bahkan tema isi kandungan al-Quran menumpu kepada kelakuan manusia pada peringkat individu dan di peringkat masyarakat. Shah Waliullah, seorang ulama terkenal dalam abad ke-18 berpandangan bahawa tujuan Islam diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan sifat keperibadian manusia.
Manusia memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani hidup yang bermakna dan sempurna. Pada satu aspek lain, manusia memiliki kecenderungan untuk menjamin kepentingan dirinya sentiasa terpelihara. Kepentingan atau menyayangi kepada diri sendiri adalah sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia.

Islam tidak sekali-kali menghapuskan sesuatu yang tersedia ada dalam diri manusia. Islam hanya cuba menyempurnakan sifat ini dengan mengimbangkan keharmonian kepentingan individu dengan kemuslihatan masyarakat.

Daripada kefahaman itu, manusia memerlukan kepada wujudnya sebuah masyarakat tersusun berteraskan kepada keadilan dan kerjasama dalam usaha memantapkan keutuhan masyarakat. Kerjasama di kalangan ahli masyarakat akan tercapai jika wujudnya keadilan. Semangat kerjasama di kalangan ahli masyarakat menepati konsep al-ihsan.

Orde masyarakat yang bersandarkan keadilan dan kerjasama akan dapat disusun melalui keharmonian keperluan menjaga kepentingan diri individu dan kemuslihatan masyarakat. Dalam proses ke arah matlamat itu, Islam meletakkan institusi pemerintah sebagai suatu keperluan yang menjamin tercapainya ketersusunan masyarakat.
Institusi pemerintah yang menatap dan berwibawa dianggap sebagai prasyarat kepada kemakmuran dan kemajuan sesebuah orde masyarakat. Teras utama kepada pembentukan struktur dan pelaksanaan institusi pemerintah hendaklah berasas kepada kewujudan semangat musyawarah dalam sistem pemerintahan negara.

Asas ini penting untuk melahirkan pemerintahan negara menepati semangat agama. Amalan musyawarah dapat mewujudkan struktur institusi pemerintahan, pemilihan kepemimpinan dan pelaksanaan dasar pemerintahan negara menepati Islam dan seterusnya mewujudkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Musyawarah adalah kaedah terbaik dan buah fikiran di kalangan bijak pandai serta ahli masyarakat pada keseluruhan diberi peluang untuk berperanan pada peringkat masing-masing bagi memandu haluan perjalanan pemerintahan negara.

Daripada amalan musyawarah, sesebuah negara mampu membentuk struktur sistem pemerintahan negara sesuai dengan keadaan setempat dan semasa demi mendaulatkan syariah Islam. Tugas utama sesebuah pemerintahan dalam Islam adalah untuk menjamin kebajikan sosial di kalangan kesemua lapisan rakyat tercapai.

Di samping membentuk akhlak masyarakat, negara dengan sekali gus mesti dapat sebagai permulaan menyelesaikan keperluan kebendaan yang minimum untuk menjalani hidup kesemua lapisan rakyat. Pencapaian matlamat ini akan disertai usaha gigih untuk memajukan ekonomi negara di peringkat setinggi yang mungkin. Sistem perekonomian negara dengan itu mesti menepati beberapa prinsip umum berikut:


  • Membasmi kemiskinan di kalangan rakyat. Kemiskinan tidak seharusnya wujud. Kesemua ahli masyarakat mesti dapat berperanan dan membabitkan dengan kegiatan ekonomi. Rakyat mesti dididik untuk bekerja dan memiliki kemampuan untuk menyelesaikan keperluan minimum dan seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi secara berterusan dengan meningkatkan kekayaan ekonomi negara.
  • Harta negara dan individu perlu sentiasa mengalir dalam kegiatan ekonomi. Pembekuan, pembaziran dan penyalahgunaan harta hendaklah diminimumkan jika tidak dihapuskan. Pengaliran kekayaan negara dalam kegiatan ekonomi akan memberi manfaat kepada keseluruhan lapisan masyarakat.
  • Pengurusan sumber negara hendaklah teratur dan tersusun mengikut keutamaan keperluan ekonomi negara semasa. Negara dengan itu mesti berkemampuan menghasilkan ahli cendekiawan dan teknokrat yang mahir dalam mengendalikan pengurusan ekonomi negara.

    Di samping peranan sektor pemerintah, sektor swasta yang merangkumi sektor isi rumah dan sektor firma turut sama berperanan dalam membangunkan negara dalam kesemua aspek termasuk akhlak dan kemajuan ekonomi. Sesuai dengan kehormatan dan keyakinan Islam terhadap kedudukan individu, sektor swasta dalam pemerintahan Islam adalah rakan kongsi yang akan menentu bersama kemajuan negara.

    Bahkan dalam Islam, sesuai dengan fitrah penyusunan negara, sektor swasta seharusnya mempelopori usaha ke arah memajukan negara. Islam mempunyai pandangan bahawa usaha membangun dan memaju sesebuah masyarakat atau negara memerlukan kepada penggemblengan usaha di peringkat individu isi rumah dan firma.

    Jika sektor swasta dapat berperanan secara positif dan produktif, sudah pasti sektor awam akan dapat dikurangkan dalam memenuhi peranan tuntutan negara. Tindakan pemerintah dalam mengurangkan saiznya seperti melalui dasar penswastaan adalah usaha yang sihat demi mengurangkan saiz tanggungan pemerintah.

    Pendekatan ini perlu diambil untuk mencapai kecekapan dan sekali gus menepati fitrah bernegara. Kedudukan dan peranan pemerintah dalam penyusunan ekonomi negara tidak dapat dinafikan. Islam hanya mengharmonikan peranan sektor awam dan sektor swasta dalam penyusunan ekonomi negara.

    Islam tidak memberi satu formula yang rigid dalam usaha ini. Yang penting ialah keharmonian dalam negara tercapai sehingga dapat menghasilkan kedudukan hak individu terjamin dan nilai kemanusiaan tercapai yang membolehkan negara terus mantap daripada sudut nilai akhlak dan pembangunan ekonomi berterusan.
    Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
  • Tuesday, May 25, 2010

    MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.

    Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Tuesday, May 25, 2010 2 comments
    Kerajaan tidak menghalalkan judi dan arak — Mohd Shauki Abd Majid

    24 MEI — Dalam Islam, larangan meminum arak adalah untuk memartabatkan kehidupan ummah. Larangan itu dilaksanakan secara bertahap. Peringkat pertama, meminum arak dilarang secara perbandingan dan berunsur sindiran, sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat yang diturunkan di Madinah. Ketika itu, sebuah masyarakat baru Islam sedang dalam proses pembinaan. Surah itu adalah surah al-Baqarah, ayat 219.

    Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas .

    Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.

    Berdasarkan urutan turunnya ayat-ayat itu, jelaslah bahawa Allah tidak membuat larangan secara sekali gus, tetapi berperingkat sesuai dengan tahap dan pembangunan ummah pada ketika itu. Lagi pun, di peringkat akhir, meminum arak pada ketika itu sudah bertukar menjadi satu kebiasaan, bahkan menjadi amalan dan lumrah.

    Melihat proses pengharaman arak yang dilakukan secara tadrij (berperingkat), ia menggambarkan Islam mementingkan pendidikan daripada paksaan dan bukannya untuk menunjukkan kuasa mutlak ke atas umatnya atau kaum-kaum lain.

    Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan.

    Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain. Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.

    Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.

    Sebelum menghuraikan kesesuaian ini, kita perlu maklum bahawa dalam pemikiran politik pentadbiran Islam, terdapat satu prinsip yang perlu dipatuhi oleh pemimpin apabila mereka ingin memutuskan sesuatu tindakan atau dasar terhadap rakyatnya.

    Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).

    Berbalik kepada isu arak di Malaysia, para ummah tertanya-tanya apakah hukum ke atas satu pemerintahan yang menghalalkan pengimportan arak dan membenarkan rakyat bukan beragama Islam meminum arak secara berlesen? Begitu juga tentang cukai yang dikenakan ke atas najis tersebut.

    Ada pendapat mengatakan cukai itu halal, sekiranya cukai berkenaan bercampur dengan cukai-cukai barangan halal lain. Pendapat ini, seolah-olah menyamakan arak itu dengan air mutanajjis. Air tersebut ialah air yang bercampur antara najis dengan air mutlak dan campurannya pula melebihi dua kolah. Air ini dikira boleh digunakan untuk keperluan bersuci seperti wuduk, mandi dan sebagainya.

    Jika inilah kiasannya, maka ia tidak tepat dan tidak sesuai. Ini kerana dalam masalah air mutanajjis ini, air berkenaan benar-benar bercampur dan tidak boleh dipisahkan lagi. Walhal, dalam kes cukai, jumlahnya boleh dipisahkan di antara satu cukai dengan cukai yang lain. Ini bererti pendapatan hasil daripada cukai arak boleh dipisahkan dan dimasukkan ke dalam kumpulan wang yang khusus.

    Dalam soal hukum ke atas pemerintahan yang membenarkan pengimportan arak adalah berbeza. Perlu diketahui bahawa mereka yang mengimport arak bukanlah golongan orang Islam. Bagi bukan Islam, meminum arak adalah satu budaya. Sudah pasti mereka akan membawa masuk arak sama ada secara diizinkan oleh pemerintah ataupun tidak.

    Jika pemerintah mengizinkan, bererti pemerintah dapat mengawal dan memantau kegiatan membekal, menyimpan, menjual dan meminum arak, selain mendapat hasil daripadanya.

    Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.

    Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.

    Ini adalah satu lagi prinsip yang terdapat dalam usul fikah, yang mengizinkan kewajaran ke atas sesuatu tindakan. Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).

    Dalam hal ini, kerajaan Malaysia tidak memberi kebebasan sewenang-wenangnya terhadap arak, baik dari segi iklan atau penjualan kepada rakyatnya. Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak memaksa rakyat bukan Islam meninggalkan budaya minum arak kerana melakukan sesuatu secara paksaan akan hanya mengundang keburukan. Lebih penting daripada itu, kerajaan juga mengambil langkah mendidik warganya supaya jangan terjebak ke dalam lembah judi dan arak.

    Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.

    Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.

    Begitu juga dengan persoalan yang sering diajukan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan membelanjakan wang-wang haram itu. Mereka tidak sedar bahawa Rasulullah sendiri pernah mengambil cukai daripada masyarakat Yahudi Madinah, atau masyarakat zimmi. Sudah pasti wang cukai yang dibayar oleh masyarakat itu bergelumang dengan sumber-sumber yang haram di sisi ajaran dan syariat Islam.

    Dalam satu riwayat Imam Bukhari r.a yang dipetik dari Ibnu Umar r.a., ketika Rasulullah membuat perjanjian perdamaian dengan penduduk Khaibar, timbul satu permohonan dari Sayah yang telah meminta harta Huyai. Rasulullah menjawab:

    Harta Huyai telah tiada (harta tersebut) telah dibelanjakan untuk keperluan perang.

    Dengan itu, adalah jelas Rasulullah pernah menggunakan harta orang Yahudi. Dalam hal itu, individunya ialah Huyai bin Akhthab bin Sayah - bapa mertua Nabi SAW sendiri. Kegunaannya ialah untuk kepentingan negara iaitu perang.

    Imam Malik menyebut, tindakan menggunakan harta untuk kepentingan negara sebagai maslahah al-'ammah atau keperluan umum. Hikmahnya adalah jika harta tersebut tidak diambil atau digunakan, harta itu akan jatuh ke satu pihak yang mungkin menggunakannya untuk mencemarkan nama baik negara, menentang kerajaan, atau untuk keperluan yang manfaatnya tidak dapat diperoleh oleh masyarakat umum. — Utusan Malaysia

    * Mohd Shauki Abd Majid ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
    Artikel di atas ini disangkal dengan  kenyataan oleh Ustaz  Khairul Anuar Ismail.

    MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.


    Oleh:
    Khairul Anuar Bin Ismail
    Pengerusi Felow Manhal PMRAM 2010



    “Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani”


    Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak’. Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.

    Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:

    Kesilapan Pertama:

    Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak

    Dalam muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:

    “Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”

    “Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”

    Pada hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada ketika itu selain daripada minuman.

    Oleh itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan oleh al-Quran.

    Kesilapan Kedua:

    Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi (dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.

    Pengarang berkata:


    “Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”

    Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).

    Ketiga, Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.

    Keempat, hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

    Cuma perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia. (Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

    Seterusnya pengarang berkata:

    “Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.

    Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”

    Kemudian pengarang berkata lagi:


    “Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”

    Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan secara baik?

    Apa yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?

    Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.

    Kesilapan Ketiga:

    Pengarang silap menyebut kaedah syara’

    Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:


    “Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”

    Kaedah yang sebenarnya adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).

    Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:

    "دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة"
    Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus


    "ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة"
    Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum


    "يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
    Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar


    "يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
    Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum


    Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)

    Pengarang berkata:

    “Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.

    Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”

    Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah “menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.

    Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.

    Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta, masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan arak dan judi.

    Kesilapan Keempat:

    Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi

    Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara Islam.

    Maaf, saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:

    “Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”

    “Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”

    Sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.

    Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.

    Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.

    Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah Qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.

    Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.
    Sumber artikel kedua : Us Khairul Anuar Ismail

    Ulama'

    Blogger Tricks Habib Omar Dr.Yusuf
    Dr.Wahbah Zuhaily Dr.Ramadhan Buoti Harun Yahya Darul Ifta' darussyifa' PUM

    Tolabah

    pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya

    Akhbar

    Harakah keadilan TranungKite tkodaily detikdaily PahangDaily suarakampus Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan jazeera jazeera MyKKK

    Tv Online

    tvkltan tvpas tvceramah RTM tv3 tv7 8TV tv9 tvseries
     

    Mohamad Mustakim Bin Sarmuji Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez