Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara
satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman
berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada
bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk
apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit.
Manakala
roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang.
Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada
kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok,
sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.
Semua
ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin
bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia
sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa
pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah
yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari
rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman
dahulu kala.
Islam kemudiannya datang bukanlah
sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana
itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah
manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah
SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa
zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah
merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia
yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Tujuan hidup
ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk
kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan
air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli
perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun,
tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT
sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan
dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi
setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai
kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah
jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran
tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia
mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh
kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan
hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman.
Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini
perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.
Jurupandu
kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah
Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya
menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang
merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan
linnas berasaskan firman Allah SWT :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Yang
bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan
(permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan
penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak
dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185
Justeru,
puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah
manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan,
manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk
berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek
kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah
SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit
kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka
sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana
kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka
demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita
yakini.
Inilah sebab mengapa setiap amalan di
dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas
dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan
perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa,
bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana
Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang
dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi
hanya kerana Allah SWT.
Manusia perlulah sentiasa
yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang
Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir
(Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk
lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut
dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang
akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya
keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga
menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda
Rasulullah SAW :
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang
bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa
daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam
tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” –
Riwayat Ibnu Majah
Selain itu, saya menyeru
kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca
al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati
Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita
bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga
bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan
sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa
yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bertarikh: 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431
1 comments on "Ramadhan , Penyucian Diri Kembali Pada Fitrah"
manfaat berpuasa menjadikan kita semakin dekat dengan sang Khalik,semakin mensyukuri segala karuiaNya ,merasakan penderitaan sesama yang kurang beruntung,timbul jiwa yang tak pentingkan dunia dan kesehatan semakin baik karena berkurangnya segala nafsu yang ada pada diri kita,dapat kembali merasakan kebahagiaan yang tak terkira ,karena adanya keyakinan hapusnya sgl dosa.
Post a Comment