24 MEI — Dalam Islam, larangan
meminum arak adalah untuk memartabatkan kehidupan ummah. Larangan itu
dilaksanakan secara bertahap. Peringkat pertama, meminum arak dilarang
secara perbandingan dan berunsur sindiran, sebagaimana yang termaktub
dalam ayat-ayat yang diturunkan di Madinah. Ketika itu, sebuah
masyarakat baru Islam sedang dalam proses pembinaan. Surah itu adalah
surah al-Baqarah, ayat 219.
Pada
peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43,
surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam
menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar
mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih
belum diharamkan secara tegas .
Akhirnya,
Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan
tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala
dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.
Berdasarkan
urutan turunnya ayat-ayat itu, jelaslah bahawa Allah tidak membuat
larangan secara sekali gus, tetapi berperingkat sesuai dengan tahap dan
pembangunan ummah pada ketika itu. Lagi pun, di peringkat akhir,
meminum arak pada ketika itu sudah bertukar menjadi satu kebiasaan,
bahkan menjadi amalan dan lumrah.
Melihat
proses pengharaman arak yang dilakukan secara tadrij (berperingkat), ia
menggambarkan Islam mementingkan pendidikan daripada paksaan dan
bukannya untuk menunjukkan kuasa mutlak ke atas umatnya atau kaum-kaum
lain.
Pernah
berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat
menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para
sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal
dengan nilai barangan yang telah dirosakkan.
Ini
boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman
yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain.
Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan
ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu,
maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam
seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.
Pengajaran
dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat
sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan
bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.
Sebelum
menghuraikan kesesuaian ini, kita perlu maklum bahawa dalam pemikiran
politik pentadbiran Islam, terdapat satu prinsip yang perlu dipatuhi
oleh pemimpin apabila mereka ingin memutuskan sesuatu tindakan atau
dasar terhadap rakyatnya.
Prinsip
itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya
Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud:
Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian
maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).
Berbalik
kepada isu arak di Malaysia, para ummah tertanya-tanya apakah hukum ke
atas satu pemerintahan yang menghalalkan pengimportan arak dan
membenarkan rakyat bukan beragama Islam meminum arak secara berlesen?
Begitu juga tentang cukai yang dikenakan ke atas najis tersebut.
Ada
pendapat mengatakan cukai itu halal, sekiranya cukai berkenaan
bercampur dengan cukai-cukai barangan halal lain. Pendapat ini,
seolah-olah menyamakan arak itu dengan air mutanajjis. Air tersebut
ialah air yang bercampur antara najis dengan air mutlak dan campurannya
pula melebihi dua kolah. Air ini dikira boleh digunakan untuk keperluan
bersuci seperti wuduk, mandi dan sebagainya.
Jika
inilah kiasannya, maka ia tidak tepat dan tidak sesuai. Ini kerana
dalam masalah air mutanajjis ini, air berkenaan benar-benar bercampur
dan tidak boleh dipisahkan lagi. Walhal, dalam kes cukai, jumlahnya
boleh dipisahkan di antara satu cukai dengan cukai yang lain. Ini
bererti pendapatan hasil daripada cukai arak boleh dipisahkan dan
dimasukkan ke dalam kumpulan wang yang khusus.
Dalam
soal hukum ke atas pemerintahan yang membenarkan pengimportan arak
adalah berbeza. Perlu diketahui bahawa mereka yang mengimport arak
bukanlah golongan orang Islam. Bagi bukan Islam, meminum arak adalah
satu budaya. Sudah pasti mereka akan membawa masuk arak sama ada secara
diizinkan oleh pemerintah ataupun tidak.
Jika
pemerintah mengizinkan, bererti pemerintah dapat mengawal dan memantau
kegiatan membekal, menyimpan, menjual dan meminum arak, selain mendapat
hasil daripadanya.
Pada
masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan
cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara.
Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan
dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.
Ini
menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan
najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah
mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada
bahaya yang lebih besar.
Ini
adalah satu lagi prinsip yang terdapat dalam usul fikah, yang
mengizinkan kewajaran ke atas sesuatu tindakan. Malah dalam usul fikah
juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus
adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh
melibatkan kemudaratan yang lebih besar).
Dalam
hal ini, kerajaan Malaysia tidak memberi kebebasan sewenang-wenangnya
terhadap arak, baik dari segi iklan atau penjualan kepada rakyatnya.
Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak memaksa rakyat bukan Islam
meninggalkan budaya minum arak kerana melakukan sesuatu secara paksaan
akan hanya mengundang keburukan. Lebih penting daripada itu, kerajaan
juga mengambil langkah mendidik warganya supaya jangan terjebak ke
dalam lembah judi dan arak.
Inilah
persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan
pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga
tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan
rakyatnya berjudi dan meminum arak.
Tegasnya
arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang
menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka.
Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada
memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan
dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.
Begitu
juga dengan persoalan yang sering diajukan oleh mereka yang tidak
berpuas hati dengan cara kerajaan membelanjakan wang-wang haram itu.
Mereka tidak sedar bahawa Rasulullah sendiri pernah mengambil cukai
daripada masyarakat Yahudi Madinah, atau masyarakat zimmi. Sudah pasti
wang cukai yang dibayar oleh masyarakat itu bergelumang dengan
sumber-sumber yang haram di sisi ajaran dan syariat Islam.
Dalam
satu riwayat Imam Bukhari r.a yang dipetik dari Ibnu Umar r.a., ketika
Rasulullah membuat perjanjian perdamaian dengan penduduk Khaibar,
timbul satu permohonan dari Sayah yang telah meminta harta Huyai.
Rasulullah menjawab:
Harta Huyai telah tiada (harta tersebut) telah dibelanjakan untuk keperluan perang.
Dengan
itu, adalah jelas Rasulullah pernah menggunakan harta orang Yahudi.
Dalam hal itu, individunya ialah Huyai bin Akhthab bin Sayah - bapa
mertua Nabi SAW sendiri. Kegunaannya ialah untuk kepentingan negara
iaitu perang.
Imam
Malik menyebut, tindakan menggunakan harta untuk kepentingan negara
sebagai maslahah al-'ammah atau keperluan umum. Hikmahnya adalah jika
harta tersebut tidak diambil atau digunakan, harta itu akan jatuh ke
satu pihak yang mungkin menggunakannya untuk mencemarkan nama baik
negara, menentang kerajaan, atau untuk keperluan yang manfaatnya tidak
dapat diperoleh oleh masyarakat umum. — Utusan Malaysia
* Mohd Shauki Abd Majid ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Artikel di atas ini disangkal dengan kenyataan oleh Ustaz Khairul Anuar Ismail.
MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD
SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH
MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.
Oleh:
Khairul Anuar Bin Ismail
Pengerusi Felow Manhal PMRAM 2010
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani”
Akhbar
Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan
satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid,
pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang
bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak’. Rencana
itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang
diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang
mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah
dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh
Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.
Namun
setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis
serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat
memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah
dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara
ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum
perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti
perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan
maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan
tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:
Kesilapan Pertama:
Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak
Dalam
muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal
pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang
tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah
Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman
arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana
umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan
iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi
dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:
“Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”
Pada
hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman
arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah
sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain
yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara
bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian
amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan
juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada
ketika itu selain daripada minuman.
Oleh
itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah
Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap
adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah
tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran
sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam
sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu,
maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal
sebelum diharamkan oleh al-Quran.
Kesilapan Kedua:
Mendakwa
dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan
Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi (dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.
Pengarang berkata:
“Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”
Pertama,
pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah
tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman.
Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam
harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).
Ketiga,
Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana
merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan
yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas
tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.
Keempat,
hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah
berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat
yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan
dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka
ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka
tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut
mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
Cuma
perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar
toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang
berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama
mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara
Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya
berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh
mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu
tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia. (Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)
Seterusnya pengarang berkata:
“Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”
Kemudian pengarang berkata lagi:
“Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”
Memang
diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan
oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak),
maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak
menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara
ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan
secara baik?
Apa
yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang
terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita
boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan,
dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam
di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan
diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah
wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara
menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana
maslahah yang didakwa?
Keadah
yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti
yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud
yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan
bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu
kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama
perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan
sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu
membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar
kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.
Kesilapan Ketiga:
Pengarang silap menyebut kaedah syara’
Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:
“Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”
Kaedah
yang sebenarnya adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum
(melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada
bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).
Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:
"دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة"
Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus
"ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة"
Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum
"يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar
"يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum
Semua
kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga
kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau
mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat
secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih
kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)
Pengarang berkata:
“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”
Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah “menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”.
Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang
dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan
toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan
tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat
Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan
urusan perjudian.
Selain
itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana
memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat
yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian
di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan.
Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.
Oleh
itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang
dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian
dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta,
masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding
membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai
mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas
tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’
serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak
dengan arak dan judi.
Kesilapan Keempat:
Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi
Kesilapan
yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah
untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan
membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara
Islam.
Maaf,
saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu
siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara
sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual
dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin
menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian.
Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:
“Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”
Sekali
lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung
aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya.
Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam
untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh
sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu
untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak
mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama
mereka dan lain-lain.
Kesimpulan
hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang
mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya
jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan
lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk
menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.
Setelah
dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil
rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati
realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’
sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.
Tegasnya,
mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah
Qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana
kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana
judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.
Akhir
sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya
mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan
dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan
bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun
sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.
Sumber artikel kedua : Us Khairul Anuar Ismail
2 comments on "MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN."
lega hati ini mendapatkan penerangan dari org yg layak....bimbang kpd org luar yg tiada basic agama akn terpesong apabila terbace Artikel itu...nauzubillah...
smmgnya isu2 yg besr yg mggugt umat islam sptutnya ada yg sntiasa difa' dgn plbagi cra..kalau pyelewngan pnulisan..kita sggh dgn pedang mta pen..gitulh setrusnya.islam di akhir zamn mmg tlh dijnjikan dgn plbagi tribulasi.kita yg wjib brsedia.
Post a Comment