بسم الله الرحمن الرحيم
نحمده ونصلى على رسوله الكريم
BEBERAPA CONTOH SEGI IBADAT DAN HIDUP KEROHANIAN WAHHABIYYAH YANG BERBEZA DARIPADA AHLISSUNNAH
OLEH:
AL-FAQIR ILA’ LLAH MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY
Berhubung dengan in kita mulakan juga dengan huraian tentang syahadah; ini kerana ia menjadi syarat bagi seseorang itu menjadi orang Islam; bila ia Islam baharulah ibadatnya diterima oleh Allah.Sebagaimana yang disebut sebelum ini syahadah pada golongan ini mesti ada lima syarat barulah orang yang berkenaan itu selamat menjadi orang Islam, dan hukum Islam berjalan atasnya, nyawa dan hartanya selamat.
Syarat-syarat itu ialah: (1)menyebut lafaz syahadah,(2) faham ertinya,(3) berikrar tentang keesaan Tuhan,(4) menyeru kepadaNya, dan (5) ditambah akhirnya kufur terhadap apa yang disembah selain daripada Allah.Huraian seperti ini tidak pernah ada dalam mana-mana kitab dalam Ahlissunnah wal-Jamaah.Ia ada pada kitab mereka sahaja.
Dalam Ahlissunnah bila orang mengucap syahadah sah Islamnya, dan selamatlah nyawa dan hartanya; kalau ia tidak percaya tetapi disembunyikan daripada orang lain, itu perkara antara dia dan Tuhan.Dalam masyarakat Muslimin masih bergaul dengannya dengan menganggap dia orang Islam.
Mentauhidkan Allah dan beriman kepadaNya bererti juga beribadat kepadaNya dan taat kepadaNya.Seseorang yang beribadat kepada Tuhan jangan bersikap syirik terhadapNya.
Huraian tentang konsep tauhid dibahagi tiga secara terpisah perlu juga disebut lagi, kerana mereka menjadikan ini sebagai alat senjata menyamakan orang Islam (kerana tawassul disebut menyembah kubur atau menyembah orang mati) dengan penyembah berhala, lalu timbul hukum syirik, lalu orangnya boleh dibunuh, halal darah dan harta.
Hujahnya ialah penyembah berhala itu bertauhid dengan tauhid rububiah dengan mengakui Tuhan menjadikan alam, memberi rezeki, berkuasa dan lainnya.Ia menyembah berhala itu sebagai perantara bagi mendapat perdampingan dengan Tuhan.
Ini sama juga kata mereka dengan orang yang mengucap ‘lailahaillallal’ pergi berdoa di kubur nabi atau kubur orang salih untuk mendapat berkat sebagai perantara dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu hajat; kata pengasas golongan itu ia seperti penyembah berhala; hanya penyembah berhala itu menyembah berhala, yang ini menyembah kubur;’ lalu dipanggil kuburriyun, penyembah kubur.Istilah inipun ada hanya pada golongan ini sahaja, tidak ada pada golongan lain.
Dalam ajaran Ahlissunnah dibenarkan melawat kubur dan berdoa di situ untuk keampunan ahli kubur atau memohon kepada Tuhan dengan berkat orang salih supaya Tuhan tunaikan hajatnya.Ini diharuskan dan hadithnya ada diriwayatkan dalam kitab-kitab yang panjang.
Sebenarnya mereka membandingkan orang Islam yang berdoa di kubur dengan penyembah berhala –dikatakan orang Islam menyembah kubur, menyembah orang mati-penyembah berhala menyembah berhala- itu tidak benar; orang Islam pergi ke kubur untuk melawat kubur kerana Allah dan ini perbuatan yang digalakkan dalam hadith nabi sebagai amalan berdamping dengan Tuhan, dan orang yang melawat itu tidak menyembah kubur, dengan demikian istilah kuburiyyun itu tidak benar, kecuali kalau dimaksudkan untuk kaum yang sesat yang memang benar-benar menyembah kubur (seperti yang ada dalam setengah negeri di mana ada ajaran sesat seperti itu) .
Orang Islam menyembah Allah, bukan menyembah kubur; ia berdoa kepada Allah di kubur untuk mendapat berkat.Itu dibenarkan.Itu disebut tawassul, ataupun disebut itu untuk mendapat syafaat; dan syafaat itu ada dalam Ahlissunnah..Adapun penyembah berhala itu ia memang menyembah berhala itu sendiri; hanya bila dihujah, penyembah berhala mengelak daripada terkena hujah lalu ia membuat helah menyebut berhala itu sekadar perantara sahaja, yang diutujukan ialah Tuhan Yang Esa. Itu bukan bererti bahawa mereka beriman dengan tauhid; mereka masih musyrikin; tetapi golongan ini berkata mereka ahli tauhid jenis tauhid rububiah.Konsep ini tidak ada dalam Ahlissunnah.
Dalam hubungan dengan ibadat juga, antaranya kita boleh melihat perkataan istilah ‘menyeru’ pada golongan ini;huraian simplistic tentang ‘menyeru’ difaham secara zahir (literal), pada mereka kita tidak boleh menyeru kepada orang mati, sebab Quran melarangnya dalam ayat yang bererti ‘jangan kamu menyeru selain daripada Allah’. (Quran ,Syuara:213; Qasas:88 dan lain-lain sepertinya)
Yang dilarang oleh Quran ialah menyeru sebagai menyeru beribadat seperti beribadat kepada Allah dalam doa.Kalau menyeru wahai ahli kubur, mudah-mudahan Allah ampunkan kami dan kamu, itu tidak mengapa.Demikian juga kalau menyeru seperti Saidina Bilal menyeru Rasulullah bila ia melawat kuburnya tidak mengapa. Dalam sembahyangpun kita menyeru Rasulullah dalam tahiyat yang bererti ‘Sejahteralah atas tuan hamba wahai Rasulullah rahmat Allah dan keberkatanNya. Yang tidak boleh ialah menyembah orang dalam kubur itu.
Perkara yang dilarang di sini ialah menyembah kubur atau orangnya. Tetapi tidak ada orang Ahlissunnah yang melakukan demikian kecuali orang yang sesat; bagaimanapun tuduhan itu dibuat juga terus menerus oleh mereka kepada orang Ahlissunnh; ini boleh dilihat dalam sejarah bagaimana mereka sampai berperang dengan orang Turki Othmaniah dan lainnya kerana konon mereka terkeluar daripada Islam.Salam yang mereka tujukan kepada mereka juga –sebagaimana yang ada dalam kitab-kitab sejarah mereka sendiri- adalah salam yang diberikan oleh Musa a.s. kepada Firaun.
Dalam hubungan dengan ibadat , bila kita berbincang tentang sembahyang pula golongan ini tidak mahu kita mengikut ibadat sembahyang sebagaimana yang ada dalam ajaran fiqh yang ada dalam mazhab, katakanlah di Malaysia kita sembahyang mengikut Imam Syafie.Mereka mahu kita ‘sembahyang nabi’ dan maksud ‘sembahyang nabi’ itu ialah sembahyang yang dihurai oleh Syeikh Nasir al-Din Albani dalam bukunya ‘Solatun-Nabi’.
Kalau kita sembahyang mengikut mazhab kata mereka itu bukan sembahyang nabi, itu sembahyang imam mazhab; itu bidaah kata mereka.Jadi kalau kita belajar sembahyang mengikut ajaran ibu bapa kita maka lojiknya boleh dikata sembahyang ibu bapa, demikian seterusnya. Bagi Ahlissunnah wajib orang yang bukan mujtahid ikut imam mujtahid kerana diperintah oleh Quran bertanya kepada ahli ilmu kalau kita tidak tahu; ahli ilmu yang tertinggi dalam Syarist ialah imam mujtahid; sebenarnya orang seperti Nasir al-Din Albanipun perlu bertanya kepada imam mujtahid;dengan merujuk kepada teks-teks mereka, dan mengikut panduan mereka, tetapi dia tidak mahu sebab ia terfikir dia mujtahid; wallahu a’lam.
Pada Ahlissunnah semua imam mujtahid berada di jalan yang betul (sirat al-mustaqim). Dalam hubungan dengan ibadat juga mereka membidaahkan azan dua kali hari Jumuat, (kalau begitu sahabat nabi seperti Saidina Othman pun buat bidaah), qunut subuh, berdoa dan mengaminkannya beramai-ramai di masjid, zikir beramai-ramai, tahlil beramai-ramai, membaca yasin malam Jumuaat, demikian seterusnya yang sudah dibincang dan diselesaikan oleh ulama Malaysia (waktu itu ulama se Malaya).
Dalam hubungan dengan hidup rohaniah juga mereka menentang tasauf walhal diijmakkan dalam Ahlissunnah itu sebahagian daripada ilmu-ilmu syarak yang sah; Imam Ahmad bin Hanbal terlibat dalam tasauf.Tanpa ilmu dan amalan tasawwuf sekurang-kurangnya sekadar tahap fardu ain, hidup ibadat dan kerohanian orang Islam tidak mantap.Wallahu a’lam.
Sumber: Blog Tradisional Islam
0 comments on "Beberapa Contoh Segi Ibadat Dan Hidup Kerohanian Wahabiyyah Yang Berbeza Daripada Ahli Sunnah"
Post a Comment