Penjelasan Hukum Qisas Menurut Perspektif Islam
1.
Pertamanya saya ucapkan terima kepada semua di atas komentar yang
diberikan, terhadap artikel saya sebelum ini yang bertajuk [ Mencari Keadilan Melalui Syariat Islam ]
semoga ianya mencambahkan lagi perbincangan secara tanpa emosi, tetapi
lebih akademik dan berfakta tentang realiti Qisas yang sedang
dibincangkan ini.
Secara
ringkas point yang dilontarkan oleh mereka yang mempertikai artikel
saya sebelum ini berkisar tentang 3 perkara penting, iaitu
- adakah Qisas boleh dilaksanakan di dalam konteks kes pembunuhan Dato’ Sosilawati,
- adakah hudud hanyalah hukuman (Hudud is merely the punishment), dan
- ketiganya punca korupsi puncanya adalah akhlak individu pemerintah, bukan sistem.
2. Berkenaan point pertama,
realiti hukum Islam, isu sama ada non-muslim tertakluk kepada hukuman
Islam atau tidak , ia bukanlah satu isu yang dilihat secara bundle dan
ia juga tidak lah distandardizekan ke atas semua jenis kesalahan, tetapi
ianya berbeza mengikut case by case.
Dalam
kes Qisas yang melibatkan pembunuhan dan begitu juga kecederaan, maka
non-muslim yang terlibat dalam jenayah tersebut turut tertakluk kepada
hukuman jika keluarga mangsa [ muslim ] menuntut supaya hukuman
dilaksanakan.
Ini
kerana, Maqasid dan Hikmat pengsyariatan hukuman Qisas antaranya ialah
untuk menjadikan mangsa kes berpuas hati yang diistilahkan sebagai
Al-Jabr di dalam Fiqh Islam. Justeru itu, hukuman itu dipilih dan diputuskan oleh keluarga mangsa, bukan oleh penjenayah sebagaimana yang digambarkan oleh sebahagian pihak yang mempertikaikannya.
3.
Justeru itu, tidak timbul dalam kes Dato’ Sosilawati hukuman ini tidak
praktikal atau tidak relevan jika di dapati pembunuhnya adalah
non-muslim, justeru pemutus hukuman itu ialah keluarga Dato’ Sosilawati,
bukan pembunuh dan penjenayah.
Ini adalah realiti hukum Qisas , terdapat perbezaan dengan sebahagian hukum hudud. Sebagai contoh, kesalahan meminum arak hukumannya adalah hudud. Kes ini menggariskan syarat pesalah yang tertakluk kepada hukuman Hudud berbeza dengan pesalah kes Qisas, di mana pesalah yang tertakluk kepada hukuman ini hanyalah golongan muslim . [ tidak kepada non-muslim. ]
Titik
perbezaan ialah, kesalahan membunuh bukan sahaja diakui oleh Islam
sebagai jenayah, tetapi juga diakui oleh semua agama, semua bangsa,
semua kaum, semua etnik dan semua manusia. Ini berbeza dengan kesalahan
meminum arak, di mana kesalahan itu hanya menurut agama Islam dan
beberapa agama samawi, tetapi ia tidak dianggap kesalahan bagi agama
yang lain dan juga bagi mereka yang tidak beragama, sehinggalah
kemabukan yang hasil dari minum arak itu membawa kepada kemalangan atau
jenayah.
4. Justeru itu, dalam bab meraikan kebebasan beragama dan berfahaman, kerajaan
Islam tidak boleh menghalang golongan non-muslim meminum arak apatah
lagi menjatuhkan hukuman hudud bagi non-muslim yang meminum arak.
Ini kerana, kesalahan itu bersifat kesalahan agama, maka hukuman hudud
dalam kes ini hanya tertakluk kepada orang Islam, bukan kepada
non-muslim. Ini sebenarnya bagi merealisasikan maksud firman Allah swt
di dalam surah Al-Baqarah ayat 256 yang berbunyi ‘tiada paksaan dalam agama’.
Jadi,
semua kes yang melibatkan kesalahan dari sudut pandangan agama seperti
tidak bersolat jumaat, tidak berpuasa dan seumpamanya, ia hanya
melibatkan muslim , sementara non-muslim tidak terlibat langsung dalam
kes seperti ini .
Tambahan pula, dalam
kes Qisas terdapat mangsa yang memerlukan pembelaan, manakala di dalam
kes Hudud arak, tidak terdapat mangsa yang memerlukan pembelaan. Yang ada hanyalah pesalah, iaitu peminum arak yang muslim, tetapi bukan mangsa.
5. Berkenaan point ke dua pula, adakah hudud hanyalah bersifat hukuman semata - mata sehingga tidak melibatkan penyiasatan dan lain-lain .
Jawapannya ialah, perundangan Islam seperti hudud, qisas dan ta’zir bukan sahaja bersifat penjatuhan hukuman, tetapi
ia adalah sistem yang lengkap, iaitu bermula daripada berlakunya
pembunuhan, penyiasatan, pembuktian, pendakwaan, penghakiman, penjatuhan
hukuman dan sehinggalah kepada kesan penjatuhan hukuman seperti isu
siapakah yang akan menanggung keluarga mangsa dan keluarga pesalah
selepas si pesalah di jatuhkan hukuman bunuh. Sememangnya banyak media
terutamanya media arus perdana milik pemerintah banyak memomokkan hanya
point ‘bunuh balas’ dengan ‘pancung dikhalayak ramai’ sehingga hukum
Islam ini menjadi ‘alergik’ yang ditakuti oleh masyarakat bukan sahaja
khusus kepada non-muslim, tetapi juga ditakuti oleh orang Islam yang
‘jahil agama’.
6.
Artikel saya yang lepas, sememangnya saya mengfokuskan tentang isu hak
pendakwaan dan penyiasatan yang merupakan sebahagian daripada sistem
lengkap perundangan Qisas. Di situ saya membezakan antara hak keluarga
dan mangsa dalam sistem perundangan Qisas dibandingkan di dalam sistem
perundangan konvensional. Di mana hak asli [tulen] penyiasatan,
pembuktian dan pendakwaan adalah hak keluarga mangsa dan dibantu oleh
kerajaan.
Namun
reality perundangan konvensional, keluarga mangsa bukan sahaja tidak
berhak terlibat di dalam penyiasatan, pembuktian dan pendakwaan, malahan
tidak berpeluang untuk akses kepada bukti dan cara siasatan.
Lantaran
itu , apa yang didakwa [ oleh beberapa pihak yang tidak bersetuju
dengan undang - undang Islam ] bahawa pegawai penyiasat, polis dan hakim
boleh dirasuah dan terdedah manipulasi kes sebagaimana dalam sistem
hari ini tidak akan berlaku.
Perbezaannya
ialah, dalam sistem Islam, siasatan boleh dilakukan sendiri oleh
keluarga mangsa jika mereka berkemampuan. Jika mereka tidak
berkemampuan, mereka boleh melantik golongan atau pihak yang
berkemampuan, sama ada dengan sukarela atau dengan upah. Jika mereka
tidak mampu mengupah disebabkan tiada kewangan, maka pada masa itu menjadi kewajipan ke atas kerajaan membantu keluarga mangsa seperti menyediakan kewangan dan kepakaran.
Mereka
yang terlibat dengan pembuktian dan penyiasatan mempunyai interest atau
kepentingan dengan keluarga mangsa, justeru mereka dilantik atau diupah
oleh keluarga mangsa sendiri, bukan oleh pihak kerajaan. Maka,
bagaimanalah pemimpin yang korup boleh merasuah dan menyuap pegawai
penyiasat sebagaimana yang boleh berlaku di dalam sistem konvensional,
kerana authority siasatan dilakukan sendiri oleh keluarga mangsa, atau
orang yang dipercayai yang dilantik oleh keluarga mangsa.
7.
Berasaskan kepada kenyataan ini , tidak timbul isu AG’s Chamber dan
polis terdedah kepada sogokan supaya men’declare’kan NFA (no further
action) dan ‘lack of evidence’ kerana mereka tidak berauthority membuat
pengisytiharan tersebut. Yang berauthority menentukan sama ada NFA atau
sebaliknya, atau menentukan ‘lack of evidence’ atau sebaliknya adalah
keluarga mangsa, bukan AG’s Chamber atau polis sebagaimana di dalam
sistem konvensional.
Dalam
kes mendiang Al-Tantuya sebagai contoh, ruang-ruang penyelewengan
terbuka cukup luas. Saya terlebih dahulu menghormati keputusan mahkamah
dan tidak mahu mempertikaikan keputusan yang telah dibuat. Tetapi apa
yang saya cuba bangkitkan di sini ialah, kita tidak boleh menolak
keraguan dan hak mereka yang meragui beberapa isu di sebalik realiti
yang berlaku.
Keraguan
itu timbul seperti tanda tanya adakah disebalik mereka yang didapati
bersalah terdapat dalang yang lain atau tidak? Apakah kepentingan
mereka-mereka yang didapati bersalah dengan mendiang Al-Tantuya? Adakah
mereka yang didapati bersalah akan diampunkan? Jika dijatuhkan hukuman,
boleh atau tidak kemungkinan mereka sebenarnya akan dibebaskan dengan
senyap-senyap dan akan diberikan kemewahan di luar negara?
8.
Kesemua kebarangkalian ini sebenarnya boleh berlaku. Jika orang politik
yang terlibat, tidak mustahil mereka akan merasuah pegawai penyiasat
untuk menutup bukti terhadap dalang di sebaliknya, tidak mustahil
lembaga pengampunan akan memberikan keampunan jika mereka mempunyai
hubungan dengan mereka-mereka yang terlibat dengan jenayah, tidak
mustahil mereka yagn didapati bersalah dikatakan telah dijatuhkan
hukuman tetapi sebenarnya dilepaskan dengan diberikan kemewahan di luar
negara seperti Australia dan lain-lain. Semua kemungkinan ini boleh
timbul dalam realiti sistem perundangan konvensional.
Semua
kebarangkalian ini boleh berlaku justeru disebabkan keluarga mangsa
bukan sahaja tidak berhak terlibat di dalam penyiasatan dan pembuktian,
tetapi sehinggakan tidak berhak untuk akses kepada maklumat pembuktian.
Tambahan pula, keluarga mangsa lansung tidak ada hak dalam pengampunan
si penjenayah dan juga tidak terlibat sewaktu hukuman di jatuhkan.
9.
Berbeza dengan sistem perundangan Islam, semua kebarangkalian ini akan
tertutup justeru keluarga mangsa adalah pemilik asal kepada authority
untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti, tidak sebagaimana di dalam
sistem konvensional. Mereka juga adalah pemilik asal terhadap hak untuk
membuat pendakwaan jika cukup bukti dan menarik semula pendakwaan dan
pertuduhan jika bukti tidak mencukupi.
Jika
tertuduh di dapati bersalah, maka hak mengampunkan adalah hak asli [
tulen ] keluarga mangsa yang mempunyai interest atau kepentingan dengan
si mangsa, bukan lembaga pengampunan yang tidak mempunyai interest atau
kepentingan dengan mangsa dan keluarganya. Maka jika keluarga mangsa
ingin menuntut qisas, maka perlaksanaan boleh dilakukan sendiri oleh
keluarga mangsa, bukan oleh pihak penjara.
10.
Dalam kes contoh ini, saya menghormati keputusan mahkamah dan tidak
mahu mempertikaikan keputusan mahkamah dalam isu ini. Tetapi saya cuba
membangkitkan tanggapan-tanggapan yang boleh timbul berkenaan isu ini
sebelum ia di bawa ke mahkamah dan selepas diputuskan oleh mahkamah,
bukan keputusan mahkamah itu sendiri.
Begitu
juga dengan hakim yang bukan sahaja perlu seorang yang layak menurut
ciri-ciri Islam, tetapi juga mendapat persetujuan daripada mereka yang
tertuduh dan menuduh. Ini seperti hakim dalam kes penghukuman terhadap
Bani Quraizah dan Saidina Ali yang menuduh seorang Yahudi mencuri baju
besinya. Hakimnya adalah bukan sahaja seseorang yang adil dan baik yang
mencukupi syarat hakim, tetapi ianya dipersetujui oleh kedua-kedua pihak
yang terlibat.
11.
Di dalam Islam, kadangkala penyiasatan boleh berlaku secara terbuka
yang melibatkan saksi yang ramai bagi mengelakkan berlakunya manipulasi
bukti dan kerelaan saksi dan tertuduh yang terlibat.
Di dalam kitab Tabsirah Al-Ahkam
ada meriwayatkan tentang seorang lelaki yang membawa harta yang banyak
mengembara dengan sekumpulan lelaki. Tiba-tiba, lelaki tersebut tidak
pulang bersama-sama rombongannya. Rombongan tersebut memberitahu kepada
anak lelaki tersebut bahawa ayahnya telah meninggal. Anak itu bertanya
ke manakah pergi hartanya yang banyak? Mereka menjawab tidak ada.
Kemudiannya
anak kepada lelaki yang hilang tersebut membawa kes itu kepada Saidina
Ali yang merupakan khalifah pada waktu itu. Mereka yang terlibat
disoal-siasat seorang demi seorang secara berasingan. Soal siasat itu
dihadiri oleh bukan sahaja keluarga mangsa, tetapi dihadiri juga penulis
keterangan, saksi-saksi bebas bagi memastikan perjalanan soal siasat
itu berjalan dengan adil.
Seorang
demi seorang mereka yang tertuduh disoal dan memberikan jawapan
dihadapan khalayak. Setiap tertuduh diambil dan ditulis maklumat tentang
bagaimanakah keadaan lelaki yang mati itu, pada hari apakah beliau
bertolak, dimanakah beliau singgah, apakah punca kematian, apa yang
berlaku kepada hartanya yang banyak, siapakan yang memandikannya,
siapakah yang mengkapankannya, siapakah yanag menyembahyangi jenazahnya,
di manakah ia dikuburkan dan lain-lain soalan. Setiap seseorang
menjawab di hadapan orang ramai dengan jawapan yang berlainan.
Setiap
kali selesai penyiasatan setiap individu, Saidina Ali bertakbir yang
juga turut disambut oleh orang ramai. Ini menyebabkan, tertuduh-tertuduh
yang tidak mengetahui apakah jawapan sahabatnya yang sedang disoal
siasat menyangka takbir tersebut dilaungkan oleh Saidina Ali dan orang
ramai bersamanya justeru sahabatnya yang sedang disoal siasat sudah
mengaku perbuatannya.
Dalam
pusingan berikutnya, Saidina Ali dan orang-orang yang bersamanya
melakukan perkara yang sama, iaitu melaungkan takbir di setiap akhir
sesi soal jawab. Setiap tertuduh terbabit merasakan sahabat-sahabatnya
telah mengaku dan setiap mereka akhirnya menceritakan perkara sebenar,
iaitu mereka telah merampas harta lelaki tersebut dan seterusnya
membunuhnya.
11.
Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, sewaktu soal siasat itu
berlansung, ia bukan sahaja di hadiri oleh keluarga si mangsa, tetapi
juga di hadiri oleh saksi-saksi bebas, guna bagi mengelakkan manipulasi
bukti dan statement pengakuan oleh mereka yang dituduh dan yang
terlibat.
Realitinya,
di dalam sistem perundangan konvensional langsung tidak memberikan hak
keluarga mangsa untuk mengakses bukti-bukti dan juga statement-statement
saksi dan tertuduh, berbeza dengan sistem Qisas Islam. Inilah dia ruang rasuah, korupsi dan manipulasi yang terdapat dalam sistem konvensional, tetapi tidak terdapat di sistem Islam.
12. Adapun berkenaan dengan point yang ke tiga,
iaitu korupsi yang berpunca daripada akhlak individu, bukanlah sesuatu
yang dinafikan. Tulisan saya yang lepas, tidak pernah sama sekali
menafikan tentang akhlak menjadi punca korupsi yang berlaku di dalam
negara. Tetapi apa yang ditekankan di dalam tulisan tersebut ialah kita
perlu keluar daripada kotak pemikiran bahawa punca korupsi itu hanyalah
semata-mata berpunca dan disebabkan oleh moral dan akhlak mereka yang
terbabit.
Di
samping bersetuju dengan akhlak dan sikap korup individu pemerintah
adalah antara punca korupsi, dalam masa yang sama saya mengajak orang
ramai berfikir kepada perkara yang di luar dari kotak permasalahan
tersebut, iaitu bagaimana sistem hari ini memberikan ruang dan peluang
kepada golongan korup melempiaskan hawa nafsu mereka.
13. Realitinya ialah , akhlak sahaja tidak memadai untuk memastikan negara tidak korup tanpa wujudnya sistem yang baik.
Jika apa yang disebutkan pengkritik artikel saya sebelum ini , bahawa
semua individu terdedah kepada korup tanpa mengira muslim atau
non-muslim adalah satu reality tanpa mengira muslim atau non-muslim, ini
bermakna sesiapa sahaja yang kita lantik susah untuk dipastikan dia
tidak korup, justeru korup atau tidak hanya terbukti selepas ia
memerintah. Kalau yang baru naik memerintah itu cerdik politik ,
korupsinya akan terselindung, kalau dia ‘bodoh politik’, atau ‘cerdik
politik’ tapi pembangkang lebih kuat dan lebih cerdik dari pemerintah,
maka korupsinya akan terdedah juga.
14.
Dalam statement pengkritik [ yang mengkritik artikel saya yang lalu ] ,
bahawa semua orang terdedah kepada korup. Kenyataan itu bermaksud
kalau kita tukar pemimpin UMNO sekarang yang kita anggap sebagai korup,
adakah kita boleh yakin pemimpin yang akan menggantikan UMNO dalam
sistem UMNO yang sama tidak korup macam UMNO?
Pula , kalau
kita yakin bahawa muslim atau non-muslim sama ada di dalam PAS, PKR ,
DAP dan lain-lain parti terdedah kepada korup, lalu bagaimana kita boleh
yakin mereka boleh menggantikan UMNO?
Jika
non-muslim dan muslim sendiri dalam kontek Malaysia tidak boleh dijamin
mereka tidak korup, dan juga justeru tidak ada alat untuk scan bahawa
pemimpin alternative tidak korupsi sebagai yang sedia ada, maka di sinilah relevannya saya mengajak semua rakyat Malaysia berfikir tentang sistem
yang boleh menutup ruang naiknya golongan yang korup sebagai pemerintah
atau menutup ruang korupsi atau paling kurang tidak memberikan ruang
yang luas bagi golongan korup yang terlantik melempiaskan nafsu
korupsinya.
15.
Dalam Islam, pemerintah adalah “pengurus bagi pihak rakyat” dan ia
bukan owner kepada negara, sama ada bukan owner terhadap harta negara,
tetapi juga bukan owner kepada perundangan negara. Pemimpin di dalam
Islam seperti ‘pengurus kedai runcit’, di mana ia bukan pemilik kepada
hasilan jualan dan juga bukan pemilik kepada sistem dan peraturan
syarikat yang diuruskannya justeru dia tidak berhak mengubah sistem dan
peraturan yang telah ditetapkan oleh tuannya.
Tuan
dan pemilik rangkaian - rangkaian perniagaan kedai runcit yang bijak,
ia akan lebih menekankan sistem yang digunapakai seperti 'Pos System',
mempertingkatkan Standard of Procedure (SOP), memasang CCTV di kaunter
wang dan lain-lain, guna untuk memastikan pengurus tidak menyalahgunakan
kuasa dan melarikan wang jualan. Lalu, sistem itu mestilah sistem yang
boleh memberikan peluang yang minimum atau mensifarkan peluang kepada
pengurus untuk melakukan penyelewengan. Kemudian barulah isu akhlak dan
moral pengurus dibangkitkan.
16.
Kalau owner kepada rangkaian runcit tadi hanya memikirkan pekerjanya
yang terbukti sudah menyeleweng, kemudian memikirkan siapakah bakal
calon yang akan ditemuduga tidak menyeleweng, bagaimana mahu
dikenalpasti bakal pengganti kepada pengurus rangkaianya yang telah
dibuang disebabkan penyelewengan, maka masalah penyelewengan dalam
business yang besar tidak akan selesai melainkan ownernya juga mesti
mencari sistem dan cara terbaik untuk menutup ruang penyelewengan
pengurus-pengurus yang dilantik.
Oleh
kerana itu, kita melihat kedai-kedai runcit kecil yang biasapun
sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi membeli sistem audit dan sistem
rekod seperti Pos Sistem dan lain-lain, guna bagi mengelakan berlakunya
penyelewengan.
17. Begitulah ibarat yang boleh dilihat dalam kontek mengenengahkan pentingnya sistem di samping akhlak dan moral mereka
yang memegang amanah dan tanggungjawab. Bahkan sebenarnya, sistem yang
baik di dalam negara adalah jauh lebih penting berbanding sistem yang
baik di dalam rangkaian perniagaan justeru urusan negara jauh lebih
rumit, besar dan penting berbanding urusan perniagaan.
Ringkasnya, step
utama dan pertama yang terbaik untuk menangani korupsi ialah sistem itu
sendiri mestilah dipastikan dapat meminimumkan atau mengsifarkan
peluang perasuah dan penyeleweng dariapda merasuah dan melakukan
penyelewengan. Selepas kita memastikan sistem kita adalah sistem
terbaik, barulah kita pergi kepada moral dan akhlak mereka yang
mengunakan, menjalankan atau terlibat dengan sistem tersebut.
Tambahan
pula, korupsi atau tidak seseorang pemerintah bukanlah sesuatu yang
senang untuk dikesan. Hari ini, kita mungkin tidak berpuashati dengna
moral dan akhlak pemimpin UMNO, selepas ini kita belum tahu pemimpin
yang akan kita lantik ,. tidak seperti akhlak dan moral pemimpin UMNO
pada hari ini justeru tidak ada alat yang boleh scan dan detect hati dan
niat seseorang, sama ada dia adalah orang yang korup, berkepentingan
atau tidak. Adalah tidak wajar kita hanya memperjudikan nasib kita
untuk menunggu orang yang kita lantik terbukti korup atau tidak tanpa
kita juga bergantung kepada sistem yang baik.
18.
Menurut Islam, mencegah berlakunya rasuah dan korupsi itu bukan sahaja
nilai moral dan akhlak individu pemegang amanah. Tetapi benteng utama
penutupan pintu rasuah dan korupsi ialah sistem, kemudian barulah
individu pelaksana sistem. Justeru itu, isu korupsi yang terdedah dalam
kes pembunuhan, terlebih awal dicover oleh sistem Qisas itu sendiri bagi
menutup mereka yang korup, berkuasa, kaya dan sebagainya memanipulasi
kes yang akhirnya menjadikan mangsa jenayah tidak terbela.
Justeru itu, rakyat sepatutnya diajak berfikiran lebih terkehadapan, iaitu selain
kita memikirkan untuk mencari pemimpin yang bermoral dan berakhlak,
kita perlu mula memikirkan tentang sistem terbaik bagi menggantikan
sistem yang sebenarnya sudah terbukti kegagalannya dalam mencegah
jenayah, menginsafkan penjenayah dan juga menutup ruang pemimpin korup
melempiaskan nafsu mereka.
19.
Saya sebenarnya sangat bersetuju dengan beberapa pandangan pengkritik ,
yang menyatakan punca korupsi hari ini ialah moral mereka yang
terbabit. Tetapi apabila mereka menyatakan muslim corrupt, non-muslim
juga corrupt, llalu macamana sebenarnya kita nak mencegah corruption ini?
Jika
non muslim tidak corrupt, kita boleh melantik non-muslim. Kalau
non-muslim juga korup, lalu kita nak lantik siapa? Kalau tidak ada
orang yang tidak terdedah kepada korup dan tidak ada alat yang boleh
scan siapa corrupt dan siapa tidak corrupt, jadi bagaimana kita mahu
mengatasi korupsi ini ?
Justeru
persoalan-persoalan ini sebenarnya menyebabkan artikel saya yang lepas
mengajak rakyat supaya menganjak paradigma daripada berbincang tentang
korupsi individu-individu pemimpin kepada perbincangan sistem terbaik di
samping isu akhlak dan moral pemerintah.
20. Saya berpendapat bahawa, sistem
yang korup melahirkan pemimpin yang korup dan memberikan peluang yang
luas kepada golongan korupsi melempiaskan nafsu mereka. Manakala sistem
yang baik menjadikan orang yang korup tidak berpeluang melakukan
korupsi manakala orang yang bijak menyembunyikan korupsinya juga tidak
berpeluang untuk melempiaskan nafsu korupsinya.
Sejarah Islam seperti yang diceritakan di dalam surah Saba’, pemimpin
yang korup jika ingin melempiaskan nafsu korupsinya, maka perkara
pertama yang dia perlu buat ialah, membuang sistem Islam tersebut.
Selepas sistem itu tidak ada atau tidak diguna pakai, kemudian barulah
pemerintah yang korup boleh melempiaskan nafsu korupsi dan
menyembunyikannya daripada orang ramai.
21.
Terakhirnya ialah, pengalaman ‘dark age’ barat yang menjadi mimpi ngeri
sehingga menyebabkan mereka terlalu takut untuk menyebut ‘god’s law’ ,
tidak boleh di samakan dengan sistem pemerintahan Islam.
Cuma
saya tidak mahu panjangkan isu sejarah ini untuk tidak melarikan fokus
asal berkenaan dengan Qisas dan perbandingannya dengan realiti
undang-undang konvensional. Selepas selesai isu ini, jika ada kelapangan
masa yang sesuai , kita boleh bincangkan perbezaan besar realiti God’s
Law di dalam sejarah Eropah dan Shariah Law di dalam sejarah Khilafah
Islam.
PENUTUP.
Ringkasnya,
negara yang adil, kuat dan makmur akan tercapai bukan sahaja bergantung
kepada pemerintah yang bermoral, tetapi juga bergantung kepada sistem
yang diguna pakai.
Oleh
itu, apabila jenayah yang semakin menjadi-jadi, korupsi semakin jelas
kelihatan, pemerintah yang korup tidak berhenti bahkan bersilih ganti.
Maka tibalah masanya kita sama-sama membuka dan menganjak paradigma kita
untuk memikirkan tentang sistem. Lalu
saya cadangkan sistem Islam sebagai sistem terbaik jua sebagai
alternatif di atas kegagalan sistem yang sedia ada untuk membendung
rasuah dan jenayah .
Juga
apa yang saya seru ialah, supaya kita semua cuba berbahas perkara dan
realiti ini secara harmoni, tanpa prejudis, tanpa meletakkan ‘taji’
dikaki, supaya kebenaran dapat dinilai tanpa ada pihak yang terguris.