Manfaat Buku

Sebelum balik Malaysia nanti, anta kena siapkan paling kurang sebuah buku untuk rakyat Malaysia. Kalau mampu tambah lagi, buat untuk ringkasan madah paling susah untuk kuliah anta. Mungkin Balaghah ke? Apa sahaja boleh"

Semanis Tawakkal

"Alhamdullilah, akhirnya imtihan dah selesai, Bolehlah ana balik selepas Asar nanti" sapaku kepada Hanif yang baru keluar dari pintu gerbang Al-Azhar. " Iya, tapi anta kena ingat kita ada syafawi ( ujian lisan) lagi. Kiranya aku bersyukur banyaklah", jawabnya sambil memandang ke arah ladang gandum.

Imam Bukhari

Imam al-Bukhari, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju'fi al-Bukhari (194H-256H) adalah seorang tokoh hadis yang paling unggul dalam sejarah perkembangan ilmu Hadis sehinggalah ke hari ini, ketokohan beliau masih tiada tolok bandingnya.

Followers

Tuesday, May 25, 2010

DHPP Ubah Pandangan Serong Bukan Islam Terhadap Islam

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Tuesday, May 25, 2010 0 comments


Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw mengakui penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang kini sudah dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) banyak mengubah sikap dan pandangan bukan Islam terhadap Islam.

Beliau yang merupakan antara tulang belakang KPP yang ditubuhkan sejak 2004 berkata, penubuhan tersebut merupakan titik tolak kepada pencerahan pemikiran orang bukan Islam yang sering dimomokkan dengan pandangan serong terhadap Islam dan PAS itu sendiri.

"Penubuhan Kelab Penyokong PAS pada tahun 2004 yang lalu , saya lihat banyak perubahan sikap di kalangan masyarakat bukan Islam PAS.

"Usaha-usaha yang dilakukan oleh PAS untuk menyatukan masyarakat bukan Islam nampaknya sudah nmendatangkan hasil," katanya sewaktu berucap di majlis pelancaran DHPP, di sini, semalam.

Sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada PAS khususnya Lajnah Perpaduan Nasional di bawah Dr. Mujahid Yusuf Rawa, beliau juga meletakkan harapan agar PAS terus melaksanakan penyatuan kaum yang tidak dapat dilakukan oleh Barisan Nasional selama ini.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan PAS yang meluluskan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS ini dan kita harap apa yang tidak dapat dilakukan oleh Barisan Nasionl, dapat dilakukan olah PAS.

Tegasnya, beliau akan memastikan DHPP dapat mencapai misi dan visi untuk mewujudkan negara Malaysia yang aman damai dengan penyatuan semua kaum.

"Kita dalam DHPP mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah syurga, kita dapat hidup dengan aman dan harmoni. Marilah kita sama-sama merealisasikan usaha ini.

Pang Chaw juga berkata, beliau menghormati prinsip Islam yang tidak pernah menghalang sesiapa sahaja untuk melakukan kebaikan.

"Dalam Islam tidak pernah menghalang kita untuk buat kerja baik," katanya.

Nada yang sama turut disuarakan timbalannya, N. Balasubramaniam yang turut berucap di majlis tersebut.

"Saya sudah lama menanti kelab penyokong ini dinaik taraf kepada dewan dan hari ini impian kita sudah menjadi kenyataan. Kita sudah berada di sini sebagai ahli dewan.

"Saya mengucapakan terima kasih kepada Presiden PAS dan pimpinan tertinggi yang lain kerana menaik taraf kelab ini kepada dewan himpunan penyokong PAS, " katanya.

Pada majlis berkenaan, ahli DHPP turut melafazkan ikrar taat setia kepada PAS dengan diketuai oleh ketua pemuda DHPP, Balendran.

Ikrar berkenaan mengandungi lima perkara iaitu:

Pertama, menjunjung dasar parti dan mentaati prinsip perjuangannya.

Kedua, menghormati keputusan-keputusan kepimpinan parti dan kepimpinan dewan.

Ketiga, melaksanakan maksud perpauan dalam parti dan dalam negara ini.

Keempat, menghormati segala peraturan dan peraturan dewan sebagai panduan.

Dan kelima, memastikan ahli dewan menjaga nama baik PAS dan perjuangannya.

Sumber : Harakah

Monday, May 17, 2010

Beradab Dalam Berbeza Pendapat

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Monday, May 17, 2010 0 comments


Kita harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeda-beda. Pemahaman dan seterusnya penafsiran terhadap sumber-sumber Islam yang asal iaitu al-Qur'an dan al-Sunnah adalah tidak sama di kalangan para imam dan para ulama mujtahid. Kerana itulah ianya membawa kepada wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi. Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi.

Kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah apabila munculnya sekelompok ‘agamawan reformis' atau digelar juga ‘progresif' yang mendakwa bahawa pendapat mereka sahajalah yang betul lalu mereka ini ingin melakukan apa yang disebut ‘pembaikan' (islah) atau pembaharuan (tajdid) dalam masyarakat. Pembaharuan ini ingin dilakukan atas pelbagai nama dan platform samada ‘minda tajdid', atau mengemudi ‘bahtera itu dan ini' dengan pelbagai slogan pula seperti ‘kembali kepada al-Qur'an dan Sunnah', atau ‘mengikut amalan generasi Salaf' dan seumpamanya.

Apa yang ingin digambarkan oleh kelompok ‘mujaddid palsu' ini ialah bahawa selama ini amalan masyarakat kita kononnya tidak mengikut al-Qur'an dan Sunnah; nenek moyang dan ibubapa kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya; masyarakat kita banyak melakukan amalan bid'ah sesat, bahkan turut mempertikaikan mengikut mazhab kerana katanya di zaman Nabi SAW dulu tiada mazhab lalu kenapa kita harus mengikut mazhab hari ini.

Tiada salah untuk melakukan pembaharuan malah ianya dituntut apabila masyarakat menjadi semakin jauh dari amalan murni Islam yang sebenar lalu mencampur-adukkan dengan amalan khurafat dan bid'ah sesat. Bahkan ada hadith dari Abu Hurayrah r.a., yang menyebut bahawa Allah akan membangkitkan setiap seratus tahun untuk ummah ini orang yang memperbaharui agamanya. (Sunan Abu Dawud)

Namun apa yang mengecewakan ialah apabila golongan-golongan ini bukannya ‘memperbaharui' agama dari perkara-perkara khurafat dan bid'ah sesat, tetapi sebaliknya membongkar perkara-perkara khilafiyyah yang telah disepakati para ulama silam sejak ratusan tahun lalu untuk bersetuju berbeda pendapat (agree to disagree). Kesan pembongkaran itu hanyalah menimbulkan keresahan dan keraguan di kalangan masyarakat sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri.

Perkara-perkara khilafiyyah yang wujud dalam amalan mazhab-mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah seperti membaca qunut Subuh, keadaan jari telunjuk ketika tasyahhud perlu digerakkan atau tidak, berdoa beramai-ramai selepas sembahyang, dan seumpamanya tidak mungkin dapat diselesaikan hari ini jika dahulupun tidak mampu diselesaikan oleh alim-ulama yang ratusan kali ganda lebih hebat dari ulama-ulama hari ini dan lebih dekat dari Rasulullah SAW dan generasi Salaf.

Menyedari hakikat bahawa perbezaan pendapat para ulama itu tidak dapat dielakkan khususnya dalam hal-hal ranting yang terperinci dalam ibadat, maka para ulama usul telah merumuskan bahawa "al-haqqu fil masa'il far'iyyah muta'did" iaitu kebenaran dalam perkara ranting (furu') itu berbilang-bilang". Ianya suatu hakikat bahawa kebenaran dalam perkara bersifat ‘cabang-cabang' Islam ini tidak mampu untuk diseragamkan menjadi satu walaupun ribuan ulama telah mencubanya sejak sekian lama. Lalu selama kita mengikuti pandangan majoriti ulama (al-sawad al-a'zam) iaitu para imam mazhab empat dari kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah, maka Insya Allah kita berada di atas landasan dan jalan yang benar.

Renunglah nasihat para ulama silam dalam mengambil sikap beradab apabila menangani perbezaan pendapat dengan menekuni karya-karya mereka yang banyak berhubung dengan Adabul ikhtilaf (Adab Berbeza Pendapat). Imam al-Shatibi r.a. sendiri sebagai contoh menulis:

Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku adalah dalam masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ianya berlaku pada zaman Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para tabi'en dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain" (al-I'tisom 2/191) 


Selain tidak beradab dalam menangani perbezaan pendapat, golongan reformis agama ini juga mendakwa bahawa Islam yang sebenar ialah dengan mengikut al-Qur'an dan al-Sunnah dan bukannya mengikut mazhab. Bunyinya menarik dan benar tetapi sebenarnya penuh dengan kebatilan dan kepalsuan sepertimana yang sering diungkapkan "kalimatul haq yuridu biha al-batil".

Mereka secara tidak langsung menyeru masyarakat menjadi ‘bebas mazhab' (al-la madhabiyyah) suatu aliran yang dianggap ‘bid'ah' paling bahaya yang menentang syariat Islam sepertimana ungkapan Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya "al-la Madhhabiyya Akhtaru Bid`atin Tuhaddidu al-Shari`at al-Islamiyyah (Bebas Mazhab Bid'ah Paling Bahaya Menyalahi Syariat Islam). Bahkan Imam Ibn Rajab al-Hanbali (w 795H/1393M) telah lama menentang aliran ini menerusi kitabnya Radd 'ala man Ittaba'a Ghayr al-Madhahib al-Arba`ah (Sanggahan Terhadap Mereka Yang Tidak Mengikut Mazhab Empat).

Kita perlu faham bahawa apabila disebut ‘mengikut mazhab' bukanlah bermakna taksub kepada pandangan akali para Imam-Imam mazhab, kerana pandangan mereka itu juga sebenarnya didasarkan kepada al-Qur'an dan al-Sunnah. Bahkan mazhab itu sendiri bukanlah pandangan sosok tubuh seorang individu atau Imam mazhab semata-mata. Mengikut mazhab Shafie bukan bermaksud mengikut pandangan Imam Shafi'e seorang diri sahaja, tetapi ianya melibatkan sekumpulan para alima ulama yang mengikut kaedah mengistinbatkan hukum berdasarkan kaedah dan kriteria Imam Shafie.

Adalah tidak benar seperti apa yang cuba dimomokkan oleh kelompok agamawan reformis ini bahawa mengikut mazhab itu seolah-olahnya tidak mengikut al-Qur'an dan al-Sunnah. Terlalu dangkal jika kita berfikiran begitu dan terlalu hina kita meletakkan taraf keilmuan para imam-imam kita dan ulama mazhab yang menghabiskan usia menjadi penyuluh kegelapan umat dengan menelaah al-Qur'an, al-Hadith dan kitab-kitab saban waktu tanpa jemu. Hidup mereka dipenuhi dengan ilmu dan pengajian sehingga ada ulama silam yang walaupun ketika sedang makan masih tetap menelaah kitab-kitab, sedangkan hidup kita penuh dengan bersenang-lenang dan berseronok-seronok.

Adalah amat mengecewakan apabila kita dapati ungkapan-ungkapan menghina para ulama silam dan dilontarkan bersahaja tanpa rasa bersalah bahkan dengan cukup biadab sekali samada dalam tulisan di dada-dada akhbar mahupun di ceramah-ceramah. Ini bukanlah bermaksud mengatakan bahawa para ulama itu maksum dan tidak melakukan kesalahan, tetapi pendekatan menghina itu tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi oleh golongan agamawan sendiri.

Kesimpulannya, kelemahan para ulama' bukanlah untuk didedahkan kepada masyarakat umum apatah lagi untuk dijadikan bahan ditertawakan kerana tiada sekelumit manfaat pun yang diperolehi dengan pendedahan sebegitu melainkan ‘mengajar' masyarakat bersikap biadap terhadap para ulama silam.

Kita harus ingat bahawa kita juga ulama' dan apabila kita ‘mengajar' masyarakat awam biadap terhadap para alim-ulama' silam dan tidak menghormati mereka, kita jangan terkejut jika masyarakat juga akan bersikap biadap terhadap kita sendiri selaku ulama suatu hari kelak'. 


Sumber : YayasanSofa

Friday, May 14, 2010

Perjudian Bola Sepak........

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Friday, May 14, 2010 0 comments
 
Perjudian adalah satu jenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akan meraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam. Malah juga dilarang oleh semua agama lain.
Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien yang menyatakan pertimbangan sedang dibuat untuk meluluskan lessen perjudian bolasepak sempena kejohanan Bola sepak Piala Dunia yang akan datang ini.
 
HUJJAH BELIAU 
 
Beliau dirakamkan oleh akhabar tempatan berkata : 
 
"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram)."
 
BANTAHAN & RASIONAL
 
Pegeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengethaui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap. 
 
Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.
 
Namun apabila lesen diberikan, ia jelas merupakan satu galakan kepada kaki judi dan seterusnya seolah-olah memberi mesej bahawa: 
 
‘Kerajaan ingin tumpang sekaki dalam perjudian mereka" 
 
"Kerajaan ingin turut merasa sedikit imbuhan hasil perjudian mereka yang berjudi, so jika lebih ramai berjudi, lebih baik kepada kerajaan akan mendapat sesuatu"
 
ANALOGI 
 
Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin menbenarkan benda yang tidak benar. 
 
Bolehkah atas alasan mengetahui jumah sebenar & mengawal MAT REMPIT yang berempit di atas jalan raya secara haram, maka KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mt rempit di atas JALAN RAYA AWAM. Semua mat rempit mestilah mendaftar dan membayar yuran untuk merempit di atas jalan raya. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.
 
Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit itu sendiri dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap' untuk dijadikan ‘terang' tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.
 
JUSTERU
 
Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukannya meraikan dan meluluskannya.
 
Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam :-
 
a-    Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya, yang sering diserbu, diharamkan DAN DISITA oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah ingin membenarkan skim tersebut, perjudian adalah salah satu jenis skim cepat kaya, yang sering membawa kayap.
b-    Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumahtangga. Pergaduahan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya,
c-     Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian khususnya secara online. Dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen telah diberi oleh kerajaan dan perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan.
d-    Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bolasepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya ‘exited' untuk melihat pasukan yang disokong, kini, bakal menjadi begitu obsess dan tertekan kerana keputusan perlawanan melibatkan wang yang ditaruh.
e-    Mendorong rakyat memfokuskan kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa skill, namun akhirnya kerugian sahaja yang lebih kerap menjelma. Manakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yag kalah. Bermakna, jika seorang menang dan bergembira atas kemenangannya, yang kalah mungkin 1000 orang yang berduka cita. Dukacita tersebut mungkin tidak berhenti di situ malah berturutan kepada masalah lain, ibarat ‘domino effect'.
f-     Kesan buruk kekalahan; kekalahan boleh yang menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergaduhan di dalam rumahtangga, kesan psikologi di tempat kerja menyebabkan kurang produktiviti, mungkin dikejar ‘ALONG' kerana berhutang dengan along untuk berjudi.
g-    Pemberian lesen itu seolah menjolok sarang Syaitan, kerana kemungkinan ada indifidu yang tidak begitu terdorong untuk berjudi kerana merasa sukar dek kerana ia merupakan aktiviti gelap dan salah dis isi undang-iundang. Namun akibat lesen tersbeut, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.
 
NASIHAT
Buat menteri dan pihak berkuasa yang beragama Islam khususnya, sedarilah tegahan Allah :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-baqarah : 219)
Dan juga larangan selanjutnya
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya ; Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ( Al-Maidah : 90)
 
Justeru itu, saya amat berharap agar Menteri Agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika Menteri Agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami sekalu ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujjah keharusan tersebut JIKA tiba-tiba Menteri Agama atau mana-mana Mufti bersetuju dengan tindakan itu. 
 
Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.
 
Oleh kerana isu perjudian adalah isu ‘Qat'ie di dalam Islam, saya AMAT BERHARAP pihak Salafi, Wahabi, Ahbash, Tradisional Pondok, Tarekat Sufi, Syiah, ahli akademik universiti, tabligh dan semua pihak agar tampil menyatakan pandangan dan bantahan mereka. Paling minima di blog dan website rasmi mereka. Jangan hanya berselisih dan berdebat bertahun-tahun dengan begitu kreatif, tetapi SENYAP SUNYI tanpa kenyataan umum dalam hal sebegini. 
 
Disebutkan di dalam kaedah Fiqhiyyah yang dicatatkan oleh Al-Imam As-Sayuti Al-Shafi'i:-
لا يُنْكَرُ المختلِفُ فيه وإنما يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عليهِ
Ertinya : Tidak diingkari dalam hal yang diperselisihkan (ijtihad ulama), namun sesungguhnya keingkaran (bantahan) adalah pada perkara yang disepakati (haramnya)( Al-Asbah wa Al-Nazair, kaedah no 35, hlm 292 )
Tanpa syak lagi, perjudian adalah tergolong di dalam perkara yang disepakati secara ijma' berkenaan pengharamannya. Justeru, bantahan kita dan para ulama terhadapnya adalah SANGAT PERLU.
 
Jangan biarkan hanya orang politik berkata, kerana apabila orang politik berhujah dan berkata-kata, mereka akan sering dilihat sebagai bermotif politik. Kita perlu mereka yang lain juga agar bersuara, supaya Allah meredhai usaha kita.

BAGI MEREKA YANG INGIN MEMBERIKAN KOMEN TERHADAP ARTIKEL INI, SAYA HARAP TIDAK PERLULAH BERPOLITIK KEPARTIAN DALAM KOMEN ANDA (KERANA IA HANYA AKAN MENGERUHKAN KEADAAN SECARA KURANG SIHAT DAN MENYERET KEPADA ISU LAIN), CUKUPLAH BAWAKAN TAMBAHAN RASIONAL DAN JUSTIFIKASI SECARA ILMU DAN BUKAN EMOSI.  
Sekian
 
Zaharuddin Abd Rahman
08 Mei 2010
 
 
KUALA LUMPUR 6 Mei - Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).
"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.
Awang Adek mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Sumber :  Ustaz Zaharuddin 

Thursday, May 13, 2010

Definisi Sufi dan Tasawwuf

Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Thursday, May 13, 2010 0 comments

SEBAGAI memulakan siri pengenalan dan penjelasan kita terhadap tasauf dan dunianya marilah kita melihat makna istilah tasauf dan sufi itu sendiri. Terdapat banyak pendapat ulama mengenai kata asal tasauf.

Ini kerana, perkataan sufi pada asalnya diambil atau berasal daripada suatu benda atau perkara yang dinisbahkan kepadanya.

Di antaranya:

1. Perkataan sufi berasal dari nama seorang lelaki yang dipanggil Sufah. Nama sebenarnya ialah al-Ghauth ibnu Mur ibn Ud ibnu Tabikhah ibn Ilyas ibnu Mudhar. Beliau telah menumpukan seluruh kehidupannya hanya untuk beribadat kepada Allah di Masjid al Haram.
Daripada perbuatannya itu, nama sufi dinisbahkan kepada namanya. (al Fairuz Abadi, Qamus al-Muhit, Jld 2. H: 1105).

Ada ulama yang menolak pandangan ini kerana jika sufi sememangnya dinisbahkan kepada nama orang yang kuat beribadat, maka nama para sahabat dan tabien lebih layak dinisbahkan kepada sufi kerana kedudukan mereka yang lebih tinggi dan mulia.

2. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, nama sufi dinisbahkan kepada perkataan suf iaitu pakaian yang dibuat daripada bulu kambing. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Taimiyyah, al Suhrawardi (Awarif al Ma'arif. H: 41) dan Ibnu Khaldun (Muqaddimah Ibni Khaldun, H: 517) berdasarkan beberapa perkara.

3. Dikatakan juga perkataan sufi dinisbahkan kepada Ahli Suffah. Iaitu, mereka yang tinggal di anjung Masjid Nabawi di Madinah yang disediakan oleh Rasulullah SAW untuk sahabat-sahabat yang miskin.

Di antaranya, sahabat baginda, Abu Hurairah, Abu Zar dan Abu Darda' kerana mereka mempunyai persamaan dengan orang sufi dari segi hubungan dengan Allah. Mereka telah memutuskan hubungan dengan dunia dan meluangkan masa untuk beribadat.

Pendapat ini ditolak, kerana dari segi bahasa, sekiranya mereka menyandarkan kepada Ahli Suffah, maka mereka akan dipanggil sebagai Suffi, iaitu dengan dua fa, sedangkan perkataan sufi hanya mempunyai satu fa.

Pengarang Qamus al-Muhit menyatakan, bahawa sandaran nama ini adalah salah dari segi tatabahasa Bahasa Arab.

4. Dikatakan ia berasal daripada perkataan sof iaitu saf hadapan, kerana orang-orang sufi akan berdiri di saf-saf hadapan ketika menghadap Allah di akhirat kelak. Ini juga tidak tepat dari segi bahasa, kerana sekiranya nama sufi disandarkan kepada perkataan sof, maka sudah tentu ia disebut sebagai soffi bukannya sufi.

5. Dikatakan juga, perkataan tasauf dinisbahkan kepada makhluk pilihan Allah (sofwah). Ini juga tidak tepat dari sudut bahasa, kerana mengikut bahasa, orang yang terpilih disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Sofawi.

6. Dinisbahkan kepada Sufanah yang bermaksud tumbuhan di padang pasir. Ini kerana, mereka hidup memadai dengan makanan yang sedikit seperti tumbuh-tumbuhan yang berada di padang pasir.

Pendapat ini juga tidak betul kerana mengikut Bahasa Arab, sekiranya dinisbahkan kepada Sufanah maka ia menjadi Sufani bukannya sufi.

7. Dikatakan, perkataan sufi berasal dari perkataan Sufah al-Qafa (rambut-rambut yang tumbuh di hujung bahagian belakang kepala) kerana ahli sufi memalingkan pandangan mereka daripada makhluk dan menghadapkan pandangan mereka kepada Allah

8. Dikatakan perkataan sufi berasal dari perkataan sofaa, yang bermaksud suci. Sekalipun terdapat pendapat yang menyangkalnya dari segi bahasa, namun ini adalah pendapat yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama.

Abu al-Fath al-Busti r.a (wafat 401 H) pernah menyatakan dalam syairnya:

"Manusia telah bercanggah pendapat di dalam memberikan makna sufi dan mereka telah berselisih pendapat padanya, mereka menyangka bahawa ia terbit daripada perkataan suf (pakaian bulu kambing);

"Dan aku tidak sekali-kali memberikan nama ini melainkan kepada pemuda yang mensucikan dirinya, maka ia menjadi suci sehingga dinamakan sebagai sufi".

Mereka dinamakan sufi kerana dinisbahkan kepada perkataan Sofaa disebabkan Ahli Sufi memandang kepada batin atau dalaman sesuatu perkara, ketika manusia memandang kepada zahirnya.

Orang sufi juga sentiasa berusaha membersihkan dan menyucikan diri mereka daripada kotoran zahir dan batin. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, Al-Tasauf al-Islami al-Sohih, H: 24-27)
Tasauf dari sudut istilah

Sheikh Zarruq r.a menyebut, definisi tasauf mencapai sehingga dua ribu pentakrifan. (ibn Ajibah, Iqaz al Himam. H: 24) Semua definisi tersebut dicetuskan oleh ulama berdasarkan zauq dan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah mereka menuju kepada Allah.
Sebahagian mereka pula, mendefinisikan tasauf berdasarkan peringkat-peringkat yang terdapat dalam tasauf.

Di antaranya, Abu Muhammad al-Jariri r.a mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Bidayah (orang yang berada di peringkat permulaan).

Beliau mentakrifkan: "(Tasauf) adalah berakhlak dengan segala akhlak yang mulia dan keluar daripada setiap akhlak yang hina". (al Qusyari, Risalah al-Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasauf. H: 280)
Manakala Abu al-Hasan al-Nuri mentakrifkan tasauf berdasarkan mujahadah orang-orang yang sedang salik menuju kepada Allah (Orang yang mengambil tariqah daripada penghulu kaum sufi dan menjalaninya mengikut syarat-syarat yang telah mereka tetapkan).

Beliau berkata: "Tasauf ialah meninggalkan segala kehendak nafsu". (Al-Kalabazi, al-Ta'aruf li Mazhab Ahli al Tasauf H: 32, al Munawi, Al-Kawakib al-Durriyyah fi Tarajim al-Sa'adah al-Sufiyyah, Jilid 1 H: 524)

Imam al-Syazuli r.a pula berkata: "Tasauf adalah melatih nafsu ke arah pengabdian kepada Allah dan menundukkan nafsu di bawah hukum-hakam-Nya". (Al-Mafakhir al-'Aliyyah, H: 111)
Imam al-Junaid r.a, yang diiktiraf umum sebagai Imam dan penghulu golongan sufi (w. 297H / 910M) pula mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Nihayah atau orang yang telah merasai hasil perjalanannya yang dicita-citakan.

Menurutnya, tasauf adalah: "Allah mematikan kamu daripada memandang kepada diri kamu (fana') dan Dia menghidupkan kamu dengan mengingati-Nya dan bermunajat kepada-Nya (baqa')". (Al-Risalah al Qusyairiah H: 280, Awarif al Ma'arif H: 39 dan Nataij al Afkar al-Qudsiyyah Jilid 4 H: 6)

Ini merupakan darjat sufi yang paling tinggi dan sempurna. Berdasarkan definisi-definisi di atas, kita mendapati bahawa seseorang Ahli Sufi perlu melalui tiga peringkat berikut:

1. Bidayah

Orang yang berada di peringkat ini, akan merasai pada fitrahnya bahawa terdapat suatu hakikat yang perlu dikecapi. Hakikat itu ialah akhlak dan peradaban yang mulia.
Natijahnya, rohnya benar-benar merasa rindu untuk mengecapinya. Untuk mengenali dan mengecapinya pula, memerlukan kepada suatu perjalanan yang berbekalkan keazaman dan niat yang jujur dan benar.

2. Mujahadah

Aspek amalan yang berhubung kait dengan syariat.
3. Orang yang merasai Zauq

Merasai dan mencapai hasil yang dicita-citakan.
Dalam erti kata lain, peringkat tasauf adalah:
  • Mengenal nafsu, rangsangan dan keinginannya.
  • Menyucikan hati dan membersihkan roh daripada sifat-sifat yang kotor dengan bermujahadah.
  • Menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan meningkatkan diri dari satu makam ke satu makam untuk menjadi ahli sufi yang mempunyai hati yang sentiasa sibuk bersama Allah.
  • Maka, seseorang salik masih belum layak untuk digelar sebagai Ahli Sufi, melainkan setelah melalui ketiga-tiga peringkat ini dan orang-orang yang masih belum merentasi ketiga-tiga peringkat ini, dinamakan sebagai murid atau mutasawwif. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, al-Tasauf al-Islami al-Sohih H:23)

    Kesimpulan

    Berdasarkan semua definisi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan, bahawa tasauf tertegak di atas konsep kejernihan, merebahkan kedegilan nafsu, mengikut sunnah, zuhud terhadap dunia dan keseronokannya, memutuskan hubungan dengan selain Allah dan sentiasa bertafakur tentang-Nya.

    Sebahagian Ahli Sufi berkata: Permulaan tasauf ialah ilmu, pertengahannya ialah amal, dan penghujungnya ialah mendapat kurniaan daripada Allah SWT.

    Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami, tasauf adalah suatu cabang ilmu yang definisinya telah ditangani secara ilmiah dan kemas. Ia juga terbit daripada usul agama yang sahih dan bukannya berpunca daripada mazhab serpihan atau agama lain, seperti dakwaan sesetengah pihak.

     Sumber :Utusan Dari Panel Yayasan Sofa

    Tuesday, May 11, 2010

    Hisbah Menurut Pandangan Islam

    Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Tuesday, May 11, 2010 0 comments

    Memahami Gerak Kerja hisbah

    TAKRIF HISBAH
    HISBAH ialah `Menegakkan yang ma'ruf apabila ianya ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ianya dilakukan secara terang-terangan pula'.

    Ini membawa maksud bahawa sekiranya ianya ditinggalkan atau dilakukan secara sembunyi maka ianya bukan lagi merupakan tanggungjawab hisbah, tetapi menjadi tanggungjawab para hakim apabila wujud pendakwaan yang mana ianya melibatkan penyaksian dan keterangan.
    WAJIBNYA HISBAH

    Ramai orang menyangka bahawa walaupun melaksana tugas-tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar diberikan ganjaran yang amat besar, tetapi mereka menyangka tidak menjadi kesalahan jika meninggalkan kerja-kerja tersebut. Mereka menyangka kejayaan hanya terhenti kepada usaha-usaha dan amal-amal berkaitan dengan ibadat-ibadat seperti solat, puasa, sedekah, haji dan sebagainya sahaja dan kesalahan serta keburukan orang lain tidak menjadi tanggungjawab mereka untuk membetulkannya.

    Mereka seolah-olah telah lupa ataupun sengaja cuba melupakan bahawa tugas ini merupakan arahan Allah dan melaksanakannya merupakan prasyarat kepada kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Maka bersandarkan kepada nas-nas di atas, para ulama' berpendapat bahawa kerja-kerja hisbah adalah sesuatu yang fardhu. Antara mereka ialah ada yang menyatakan bahawa amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan dua fardhu dari fardhu-fardhu Allah manakala Abu Bakar al Jassas berpendapat Allah memperkuatkan kefarduannya dalam beberapa ayat manakala Rasul-Nya pula menjelas melalui hadith-hadith yang mutawatir darinya. Oleh itu dalil wajibnya melaksanakan hisbah bersandarkan kepada :

    • Arahan Allah dan Rasul-Nya
    • Iman dan Hisbah merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan
    • Antara yang menjadi syarat kepada bai'ah ialah memberi nasihat sesama muslim
    • Antara syarat mendapat kejayaan ialah melaksanakan kerja-kerja hisbah
    • Meninggalkan tanggungjawab hisbah dianggap bersekutu dalam melakukan kemungkaran dan dosa bersama-sama pelakunya
    • Amaran keras dengan azab Allah disebabkan meninggalkan kerja-kerja hisbah
    • Turunnya azab Allah diakibatkan kerana meninggalkan hisbah.

    STATUS KEFARDHUAN HISBAH

    Para Ulama' berselilih pendapat dalam menentukan status kefarduannya sama ada fardhu `ain ataupun fardhu kifayah, namun dalam suasana-suasana tertentu para Ulama' bersepakat mengatakan bahawa ianya boleh berubah menjadi fardhu `Ain. Antara suasana-suasana tersebut ialah :

    • Apabila petugas atau pegawai dilantik oleh pihak berkuasa
    • Apabila tidak kedapatan orang lain yang mengetahui dan memahami kewajipan hisbah kecuali dirinya sahaja
    • Apabila kemampuan untuk melaksanakan tugas ini hanya terbatas kepada beberapa orang sahaja maka hisbah itu menjadi fardhu `ain ke atas mereka
    • Apabila berlaku perubahan situasi di mana bilangan para da'ie berkurangan ditambah pula dengan bertambahnya kemungkaran serta kejahilan menguasai keadaan, maka ketika itu hisbah menjadi fardhu `ain.

    AMAR MA'RUF

    • Hak-hak Allah
    Wajib ke atas al-Muhtasib melaksanakan tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar apabila berkenaan perkara-perkara yang berkait dengan hak Allah seperti sembahyang Juma'at sembahyang jamaah di masjid dan lain-lain yang secara terbuka ditinggalkan.

    • Hak-hak Anak Adam
    Ianya terbahagi kepada dua:
    1. Hak Am
    Merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan keperluan manusia seperti bekalan air minuman di dalam sesebuah negeri atau kemudahan-kemudahan awam yang asasi. Perkara ini bergantung kepada kedudukan kewangan negeri atau baitulmal dan pihak kerajaan bertanggungjawab supaya memperbaiki keadaan tersebut. kalau tidak ada harta baitulmal, hendaklah diarahkan orang-orang Islam yang kaya untuk menyelesaikan masalah tersebut.

    2. Hak Khas
    Ianya mencakupi hak-hak yang berkaitan dengan individu-individu seperti hutang piutang dan lain-lain hak. Dalam keadaan ini, muhtasib hendaklah mengarahkan kepada orang-orang yang berhutang supaya membayar hutang-hutang mereka dengan syarat ada pengaduan dan jika mempunyai keupayaan.

    3. Hak bersama
    Ianya mencakupi antara lainnya perkara-perkara berikut:-
    • Mengarahkan para bapa mengahwinkan anak-anak perempuan mereka apabila menepati syarat-syarat agar mereka tidak terhalang daripada berkahwin
    • Mewajibkan para wanita mematuhi idah mereka sama ada idah wafat atau idah talaq
    • Mengarahkan pemilik-pemilik pengangkutan supaya tidak memuat secara berlebihan ke atas kenderaan mereka
    • Mengambil kecaknaan terhadap luqatah seperti kehilangan barangan dan sebagainya

    NAHI MUNGKAR

    • Hak-hak Allah
    Antaranya:
    1. Berkaitan dengan `ibadah yang mengandungi perkara-perkara berikut:
    • Orang melakukan `ibadah tidak mengikut syari`at Islam
    • Orang yang tidak mengambil berat terhadap kesihatan tubuh badan pakaian dan tempat sembahyang
    • Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa ada keuzuran syar'ie
    • Orang yang tidak membayar zakat harta-harta batin
    • Orang yang mengajar dan memberi fatwa tanpa ada ilmu.
    2. Berkaitan dengan larangan-larangan syara'
    • Hendaklah mencegah orang ramai dari berada ditempat-tempat yang meragukan dan yang boleh mendatangkan tohmahan serta tuduhan orang seperti wujudnya percampuran kaum lelaki dan perempuan yang bukan mahram di tempat-tempat yang diragui.

    3. Berkaitan dengan mu'amalah
    • Hal ini mengandungi mu'amalah-mu'a malah yang mungkar dari sudut syara' seperti jual beli yang tidak sah dan apa-apa urusan jual beli yang dilarang oleh syara' walaupun di kalangan mereka saling redha menredhai seperti penipuan harga, timbangan dan sukatan.
    • Hak-hak Anak Adam
    1. Hak jiran
    Hal ini mengandungi pencerobohan seseorang terhadap sempadan jirannya. Walaupun begitu, muhtasib tidak boleh mengambil tindakan selagi tidak ada aduan dari jirannya.

    2. Di pusat-pusat perniagaan dan di kilang-kilang; ada tiga keadaan yang perlu diambil perhatian:
    • Kesempurnaan dan kekurangan, contoh kerja-kerja perubatan yang dilakukan oleh para doktor
    • Amanah dan khianat; contohnya amalan tukang-tukang jahit yang tidak menepati janji
    • Elok dan tidak elok dalam apa-apa kerja yang dilakukan
    • Hak-hak bersama
    Antarannya ialah pencegahan perbuatan mengintai rumah orang lain, mencegah imam-imam masjid besar daripada memanjangkan sembahyang dan mencegah para hakim daripada tidak melayani orang-orang yang berbalah, mencegah pemilik alat-alat pengangkutan dari mengangkut lebih dari had muatan dan lain-lain lagi. Muhtasib hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka oleh pihak berkuasa selain dari perkara-perkara yang disebutkan di atas.

    PENUTUP
    Semoga dengan penerangan ringkas ini memberi kefahaman kepada semua untuk menggerakkan hisbah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kitab Al Ahkam As Sultaniah oleh Imam Mawardi.


    Disediakan Oleh : Unit Penerangan Hisbah PMRAM 2010

    Saturday, May 8, 2010

    Hati Menjadi Beku, Mati Akibat Ketawa Melampau

    Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Saturday, May 08, 2010 0 comments

    SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan atau penderitaan. Ketawa pula selalu menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasai.

    Islam tidak melarang umatnya melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ini bagi mengelakkan umat Islam dipandang rendah martabatnya oleh orang lain. Ini menyingkap sirah Rasulullah ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah. Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan bersama Nabi Muhammad di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal berperang dengan kekuatan tentera musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

    Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman bermaksud: “Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan.” (Surah at-Taubah: 82).

    Jelas daripada maksud ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan. Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku keadaan yang melampau.

    Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami. Rasulullah bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

    Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.
    Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

    Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan akan lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

    Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.

    Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.

    Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.

    Thursday, May 6, 2010

    Buruk Sangka Amalan Jahiliah Boleh Memutuskan Silaturahim

    Posted by Mohamad Mustakim Bin Sarmuji at Thursday, May 06, 2010 0 comments

    DALAM dunia yang penuh tohmah dan buruk sangka ini, manusia sering bertelingkah kerana tidak mengetahui kebenaran. Ada segolongan kecil yang bijak melakukan fitnah kerana hasad dengki dan terlalu cintakan dunia sehingga umat Islam sering bermusuhan sesama sendiri, sekali gus merendahkan nilai dan maruah agama di mata bukan Islam. Ia juga menjadi sebab umat Islam semakin jauh daripada ukhuwah dan silaturahim berasaskan takwa malah merenggangkan persaudaraan.

    Sebagai penganut agama yang menganjurkan umatnya hidup rukun dan damai, kita dilarang melakukan perkara yang menjejas dan merosakkan hubungan baik sesama manusia. Allah berfirman (Surah Al-Hujuraat: 12) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”

    Allah mengingatkan kita, sebahagian prasangka itu perbuatan dosa kerana ia timbul daripada perasaan iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan berasas kerana orang lain turut serta melakukan perbuatan serupa. Ini menambahkan lagi prasangka buruk sedia ada. Teknologi komunikasi yang tidak bersempadan meluaskan penyebaran maklumat yang boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan hak.

    Oleh itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah, kita perlu menjaga pertuturan dengan berbicara yang baik saja atau berdiam diri seperti sabda Rasulullah (diriwayatkan Iman Al-Bukhari) maksudnya: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam.”

    Buruk sangka dengan hasrat mempengaruhi minda orang lain supaya turut membenci saudara seagama adalah perbuatan jahiliah kerana tamakkan dunia dan terlalu cintakan isinya yang menjadi bahan bakar neraka. Banyak yang boleh diteladani daripada kisah sahabat Rasulullah dan sejarah sehingga boleh menggadaikan negara dan agama akibat buruk sangka. Ini patut menjadi iktibar setiap umat Islam yang cintakan agama. Jika tidak kerana buruk sangka menjadi padah kepada umat Islam, mustahil Allah memperincikan betapa penting menyelidiki maklumat yang disampaikan seseorang kerana bimbang kita turut mempercayai dan menjadi penyampai kepada fitnah terhadap orang lain.

    Allah mengingatkan kita dalam al-Quran (Surah Al Hujuraat: 6) bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya.”

    Kerana buruk sangka, menyebabkan putus silaturahim. Sebab itu, perpaduan umat Islam akan goyah malah menjadi laba kepada musuh yang sentiasa menantikan saat kehancuran manusia yang dibimbing dengan perintah dan larangan Allah.

    Satu demi satu keistimewaan umat Islam yang tiada bandingannya diselongkar dan dibinasakan dengan janji syurga di dunia mengakibatkan janji Allah mengenai hari pembalasan dipandang sebelah mata. Perkataan dusta yang dibawa orang fasik pula dikitabkan menjadi rujukan utama.

    Untuk menjauhkan diri daripada terus melakukan fitnah terhadap setiap umat Muhammad, kita hendaklah membataskan prasangka buruk terhadap seseorang setakat dalam hati tanpa meluahkan atau memberitahu orang lain, apatah lagi meyakinkan orang lain supaya mempunyai perasaan serupa. Sebagai manusia, kita mempunyai kata hati yang lahir daripada pelbagai faktor dalaman diri sendiri yang boleh menerajui tindak tanduk kita seperti berprasangka.

    Allah berfirman (Surah Al-Hujuraat: 12) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”

    Justeru, prasangka yang boleh mendatangkan dosa wajib dijauhi jika kita sayangkan kehidupan sesudah mati. Sebaliknya, tukarkan buruk sangka dengan kasih sayang dan belas kasihan sesama umat bersaudara kerana itulah asas sebuah kehidupan berkeluarga yang berpaksikan Adam dan Hawa.

    Ulama'

    Blogger Tricks Habib Omar Dr.Yusuf
    Dr.Wahbah Zuhaily Dr.Ramadhan Buoti Harun Yahya Darul Ifta' darussyifa' PUM

    Tolabah

    pmram PMRAM Hewi PMRAM MyMaqaz umi Pahang Perak Johor Terengganu Melaka Pulau Pinang Dumyat Mansourah Damanhur eKPKM Kedah Medic Permaya

    Akhbar

    Harakah keadilan TranungKite tkodaily detikdaily PahangDaily suarakampus Malaysiakini Metro beritaharian NST utusan jazeera jazeera MyKKK

    Tv Online

    tvkltan tvpas tvceramah RTM tv3 tv7 8TV tv9 tvseries
     

    Mohamad Mustakim Bin Sarmuji Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez